Saya tahu, semua orang maklum mengenai tajuk topik perbincangan kali ini. Ya lah, kalau nak padamkan api, mestilah dicurahkan air. Mana ada orang yang mencurah minyak ke dalam api yang marak sebaliknya pihak bomba yang dipanggil untuk membantu memadamkan api. Habis, apa gunanya perbincangan ini saya ketengahkan? Ya… kerana kebanyakan kita hanya nampak api yang nyata sebaliknya api yang kerap terjadi di dalam rumahtangga, seringkali gagal dipadam terus dengan air. Rata-ratanya, api yang kecil itu dicurah dengan minyak dan dibiarkan terus membakar.
Saya teringat kepada satu kes. Seorang isteri yang sarat mengandung bayi sulung diceraikan dengan talak tiga gara-gara menyemarakkan api di dalam diri si suami. Puncanya, ketika si isteri menghubungi pejabat suami, beliau diberitahu bahawa suaminya keluar bersama bossnya. Isteri tahu, boss si suami adalah seorang wanita yang masih belum berumahtangga. Mengetahui berita tersebut membuatkan rasa cemburu membuak-buak. Nampak sahaja kelibat suami di muka pintu, pelbagai soalan malah kata-kata berbaur cemburu dan sindiran dilontarkan kepada suami. Tanpa mengetahui bahawa suami sebenarnya dimarahi oleh bossnya, kemarahan suami yang terpendam sejak tadi terus dihamburkan dan kesannya, si isteri menerima talak tiga. Apa nak dikatakan lagi? Bukan nasi dah jadi bubur tetapi dah hangus langsung, tak boleh nak dimakan lagi.
Sebenarnya, kes sebegini boleh dielakkan jika prinsip mencurah air ke dalam api diamalkan oleh setiap pasangan suami isteri. Tak kiralah siapa yang mulakan api, sama ada suami atau isteri, pihak yang satu lagi mestilah berusaha untuk memadamkan api tersebut terlebih dahulu. Walaupun anda berada di pihak yang benar, tidak ada salahnya anda mengalah terlebih dahulu. Mengalah bukan bererti anda kalah. Anda masih berpeluang mempertahankan kebenaran anda selepas api kemarahan pasangan anda reda. Tambahan pula, jika anda masih berkeras untuk mempertahankan kebenaran anda dalam keadaan yang panas berapi, ianya takkan membuahkan apa-apa hasil. Tidak mustahil kebenaran yang anda ingin perjuangkan akan hilang begitu sahaja.
Bukan sekadar kebenaran sukar diperjuangkan sebaliknya kesulitan akan menjadi makin parah. Jika anda dapati api mula membakar diri anda, begitu juga pasangan anda dan anda dapati pasangan anda makin terbakar, cepat-cepatlah anda menjadi air. Jika gagal mendinginkan keadaan, carilah jalan keluar yang lain. Anda boleh mendiamkan diri, jangan menjawab walau apa pun perkataannya, walaupun ianya sekadar tuduhan yang amat menyakitkan hati anda. Bila anda berdiam, lama-kelamaan,pasangan anda akan berdiam diri juga. Jangan pula bila pasangan mula berdiam diri, anda pula menyiram minyak sekali lagi. Biarkan keadaan tersebut berlalu begitu sahaja. Bukan untuk seminit, bukan lima minit, bukan satu jam tetapi biarlah dalam masa yang agak lama. Mungkin seharian, mungkin semalaman, mungkin selepas seminggu barulah anda buka semula kisah yang berlaku. Paling penting, anda perlu mencari masa yang sesuai untuk kembali membincangkan perkara tersebut.
Selain berdiam diri, anda boleh meninggalkan pasangan anda sendirian seketika. Biarkan pasangan anda menghamburkan api kemarahannya sendirian. Jika anda suami, anda boleh lah keluar dari rumah sekejap. Sebaliknya, jika anda isteri, anda berundurlah ke bilik lain terlebih dahulu. Anda juga boleh membawa diri ke bilik air, mandi dan berwuduk kemudian tunaikanlah solat sunat memohon agar anda dan pasangan diberikan ketenangan serta rumahtangga anda kekal bahagia. Ingatlah! Apabila seseorang manusia itu marah maka tika itulah syaitan akan bersorak gembira dan akan cepat merasuk minda dan emosi manusia. Amalkan juga menyebut kalimah Allah dan astaghfirullah. Apabila kata-kata ini sentiasa di bibir anda, insyaAllah anda akan dapat mengawal diri anda daripada bersikap marah yang keterlaluan.
Ingat!!! Jangan simpan kemarahan anda. Lepaskanlah pada orang yang boleh anda percayai atau luahkan semuanya di dalam kertas. Tuliskan segalanya kemudian bakarlah kertas tersebut. Anggaplah segalanya telah anda musnahkan. Paling penting, jangan sesekali menyimpan niat untuk menarik diri daripada perkahwinan hanya kerana anda baru melalui kes ‘terbakar’ tersebut. Apabila niat tersebut ada di dalam diri anda, percayalah… anda dan pasangan anda akan lebih bermasalah. Sebaliknya, anda perlu tanamkan dalam diri bahawa anda akan berusaha keras untuk mempertahankan kebahagiaan rumahtangga anda.
Ada di antara pembaca yang meminta petua bagaimana untuk menghadapi suami yang panas baran. Bukan sahaja suami panas baran sebaliknya ada juga kes isteri yang pemarah, nauzubillahmin zalik. Saya tidak ada petua khas, mungkin Tok Muda boleh membantu. Ada juga yang menghubungi saya untuk mendapatkan nombor Tok Muda. Maaf ya! Saya tak tau bagaimana untuk menghubungi Tok Muda, hubungilah terus dengan pihak Mingguan Wanita.
Apa yang dapat saya sarankan, amalkanlah bacaan ayat-ayat al-Quran. Paling penting, amalkanlah doa al-ma’thurat setiap pagi dan petang, selepas solat subuh dan asar. Amalan ma’thurat ini bukan sahaja dapat menjaga diri daripada bersikap pemarah sebaliknya akan dapat membantu kita menghadapi pelbagai ujian di dalam hidup.
****Siaran Oktober 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan