Tika perbincangan ini disiarkan, mungkin isu ini tidak lagi dibicarakan secara panas. Namun bagi memenuhi beberapa permintaan yang meminta pendapat saya berkenaan isu ini, saya rasa tidak salah jika isu ini saya timbulkan kembali. Mungkin satu kebetulan tika perbincangan ini saya tulis, saya baru melepasi tempoh seminggu berpantang.
Apa yang boleh saya katakan? Wajar atau tidak? Sebenarnya wajar atau tidak adalah bergantung kepada setiap individu. Kenapa? Kerana setiap individu mempunyai alasan yang tersendiri.Ya, saya tau. Mendidik anak adalah lebih penting dan utama kerana ia melibatkan kebajikan anak-anak.Persoalannya apakah mendidik anak-anak hanyalah tugas wanita atau ibu? Di mana peranan bapa?
Kenapa pula kaum wanita atau isteri bekerja? Untuk suka-suka? Inginkan kemewahan hidup? Atau membantu suami menambah pendapatan keluarga? Apakah dengan berhenti kerja dan mendidik anak selama lima tahun, akan memudahkan proses mendidik anak-anak? Cukupkah lima tahun? Bagaimana dengan tempoh seterusnya? Memang terlalu banyak persoalan namun semua persoalan ini perlu diteliti dan dipertimbangkan untuk mendapat jawapan bagi persoalan di dalam perbincangan kali ini.
Semua orang sedia maklum,tanggungjawab membiayai perbelanjaan rumahtangga terletak di bahu suami. Semua orang juga maklum, dunia hari ini terlalu bersifat materialistik. Gaji kakitangan awam baru ura-ura akan dinaikkan, harga barang keperluan telah melambung di pasaran. Sekiranya anda di kalangan yang berpendapatan sederhana, memang sukar untukmemberi kehidupan yang sempurna kepada isteri dan anak-anak. Bukan sekadar makan minum dan pakainya tetapi satu-satunya jaminan kebahagian hidup di dunia dan akhirat iaitu ilmu, kos untuk mendapatkannya juga terlalu tinggi sekarang ini.
Keadaan ini merupakan faktor pendorong utama kenapa ramai wanita bergelar isteri dan ibu keluar bekerja. Jika anda bertindak mengambil cuti panjang dengan alasan untuk mendidik anak, bagaimana dengan kehidupan anda sekeluarga selepas itu? Ya, setiap bayi yang dilahirkan mempunyai rezekinya, tetapi jaminan tersebut takkan memberi apa-apa makna jika tidak disertakan dengan usaha. Sebaliknya jika suami anda berkemampuan dan tak perlukan bantuan anda untuk memberikan kehidupan yang wajar, sempurna dan selesa kepada anda dan anak-anak, tindakan berhenti kerja adalah wajar malah adalah lebih baik anda berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada anak dan rumahtangga tetapi pastikan jaminan kehidupan yang pernah saya sarankan sebagai surirumah dilakukan.
Seperkara lagi, tempoh lima tahun bukanlah tempoh yang cukup untuk menentukan anak anda terdidik. Sebabnya pendidikan yang sebenar bagi anak-anak bermula tika mereka berumur tujuh tahun. Sebelum tempoh tersebut, corak pendidikan lebih kepada memupuk kasih di dalam diri. Umur tujuh tahun ialah usia anak-anak mula terdedah kepada dunia dan persekitaran luar yang lebih mencabar dan perlukan tumpuan dan pemerhatian anda. Seandainya ingin bercuti panjang, usia anak 7 hingga 12 tahun (masih lima tahunkan?) adalah tempoh yang baik dan sesuai.
Perkara paling penting yang perlu diingati dan diberi perhatian ialah mendidik anak-anak bukan tanggungjawab isteri atau ibu semata-mata tetapi juga merupakan tanggungjawab suami atau bapa. Jika kedua-dua suami istei saling bekerjasama di dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab ini, insyaAllah anak-anak akan terjaga dan terdidik dengan sempurna. Bagaimana?
Perkara pertama perlu dilakukan ialah kenalpasti latar belakang orang atau tempat asuhan atau taska yang ingin anda letakkan anak anda di sana. Selidiklah dengan mereka yang berpengalaman menghantar anak mereka di sana. Anda juga boleh bertanya terus dengan pemilik taska tentang kelayakan taska dan para pengasuhnya. Pastikan taska mempunyai pengasuh yang cukup bagi menjamin anak anda dijaga sepenuhnya. Sesekali lakukanlah pemeriksaan mengejut bagi memastikan keselamatan dan kebajikan anak anda. Elakkan menghantar anak anda kepada pengasuh persendirian di rumah yang mempunyai bilangan anak diasuh melebihi tiga orang. Banyak buruk daripada baiknya.
Seterusnya berikanlah perhatian dan kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak anda pada setiap senggang masa yang ada. Saya faham tentang kepenatan anda bekerja, tetapi jika anda berlapang dada melayan anak-anak anda, kepenatan anda akan hilang dengan sendirinya.
Jesteru itu, wajar atau tidak anda sendiri tahu jawapan yang sesuai untuk anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan