Hampir dua minggu di dalam tempoh berpantang bererti hampir dua minggu juga saya ‘menamatkan perkhidmatan’ talian telefon bimbit saya untuk sementara, hari ini saya ‘buka’ semula talian tersebut. Bagai anak ayam dilepas dari reban, begitulah beberapa sms terus –menerus menerjah telefon bimbit saya. Dalam banyak-banyak sms tersebut, satu sms menarik perhatian saya: “Puan, apakah cinta hanya boleh dimiliki oleh gadis berbadan cantik dan berbentuk badan menarik? Apakah gadis gemuk seperti saya tidak layak memiliki cinta?”
Alahai apalah yang baru dilalui oleh si gadis hingga sanggup menyuarakan persoalan tersebut? Mungkin baru dikecewakan oleh jejaka pujaan atau mungkin juga rasa cinta mendalam masih tersimpan di hati dan tidak berjaya diluahkan lagi kepada yang dipuja? Biar apa pun yang baru dilalui oleh si gadis, jawapan saya adalah satu dan sama: Cinta hanya bukan milik gadis cantik dan berbentuk badan menarik. Setiap gadis samada kurus atau gemuk, saiz L, XL atau XXL, semuanya Allah ciptakan untuk layak dan berhak memiliki cinta.
Bukti paling mudah, saya sendiri. Saya mengenali suami tika bersaiz XL dan tika berkahwin hampir enam tahun dahulu, saya bersaiz XXL, suami pula bersaiz M. Tika awal perkahwinan memang terasa diri diperhatikan bila kami berjalan bersama. Rasa segan memang ada pada mulanya tapi hilang serta-merta apabila suami tanpa segan memegang tangan saya erat. Malah seorang pemandu teksi pernah tersilap menyebut suami saya bebagai adik saya. Bila saya menyatakan bahawa itu adalah suami dan bukan adik, berulang kali pemandu teksi tersebut memohon maaf. Pedulikan apa orang nak kata, yang penting walau bersaiz XXL, saya tetap memiliki cinta.
Saya yakin, bukan saya sahaja malah ramai lagi wanita dan gadis lain seperti saya yang telah berjaya memiliki cinta. Kepada si gadis yang meluahkan persoalan mengenai cinta XXL ini, percayalah belum tiba masanya untuk anda memiliki cinta dan yakinlah, masa itu akan tiba jua.
Dan…hingga tiba saat dan detik tersebut, ada beberapa perkara yang perlu anda lakukan. Pertama dan paling penting, jangan terlalu rasa rendah diri dengan penampilan anda. Saya masih ingat lagi, seorang gadis pernah berhadapan dengan saya bagi membincangkan masalah yang sama. Bial saya ceritakan kisah saya, cepat saja dia membalas: “Puan lain la. Puan dah ada nama.”
Ya! Saya akui, saya dah ada nama. Nama yang diberikan sejak kelahiran saya, hanya itulah sahaja nama yang saya ada tika saya memiliki cinta suami saya. Saya mula aktif hingga agak dikenali umum hanyalah selepas kelahiran anak kedua. Yang ada dalam diri saya ketika mula mengenali suami ialah rasa yakin dengan diri sendiri dan percaya dengan keikhlasan cinta. Kerana itulah, saya ingin berpesan kepada anda yang bersaiz XL, XXL atau berapa pun X dan Lnya, jangan patah semangat dan jangan hilang keyakinan diri. Terimalah hakikat diri anda yang sebenarnya dan bersyukurlah kerana walaupun bertubuh besar, anda tetap sihat.
Perkara kedua jangan terlalu cepat menyimpan perasaan pada seseorang walau apa pun yang diluahkannya. Bukan ingin menuduh tetapi ada kes, gadis malah jejaka gemuk kerap kali menjadi bahan usikan dan gurauan teman-teman hingga melibatkan perasaan. Tika berhadapan dengan situasi sebegini, anda perlu bijak menilai antara gurauan dan satu pernyatan serius. Tak salah jika bersikap “jual mahal sambil merendah diri” hingga anda mendapat kata pasti.
Perkara ketiga ialah pastikan diri anda diterima seadanya. Dalam maksud lain, jangan sembunyikan identity anda yang sebenarnya. Dalam dunia serba canggih sekarang ini, perhubungan melalui dunia internet bukanlah sesuatu yang luar biasa. Bukan luar biasa juga bila ada orang yang menipu tentang diri semata-mata ingin memiliki cinta sejati. Pernah sampai ke telinga saya satu pendapat: Pupuk cinta di dalam dirinya dulu, bila dah cinta walau apa yang dilihatnya di depan mata dah tak penting lagi.
Mungkin bagi sesetengah orang ya tetapi bukan semua. Ada kes “percintaan buta” hingga dah merancang untuk berkahwin namun bila berhadapan, segalanya musnah dalam sekelip mata. Kerana itulah, anda perlu tampilkan diri anda yang sebenarnya. Jika si dia nak terima, terimalah anda yang sebenarnya dan bukan anda yang di’renovate’ semula.
Seperti yang saya katakan, cinta adalah milik semua termasuk anda yang bersaiz besar. Anda tetap berhak memiliki cinta kerana anda juga istimewa. Teringat kata-kata Enod di dalam satu cereka: Lebih baik cantik macam teddy bear kerana teddy bear dipeluk tika tidur, cantik Barbie hanya untuk mainan di siang hari.
Lantas, jangan putus asa dan mengalah. Akan tiba satu hari, cinta akan anda miliki, insyaAllah.
****Siaran November 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan