Pernahkah anda berdepan dengan rakan atau saudara anda yang kecewa? Kecewa dalam peperiksaan, pekerjaan, percintaan, perkahwinan dan berbagai kekecewaan lain? Bagaimana reaksi mereka? Sedih adalah perkara biasa. Menangis juga adalah perkara biasa tetapi tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana mampu mengundang masalah lain pula. Meraung? Menjerit? Marah-marah? Fenomena ini juga bukan agak luar biasa tetapi adalah melampau. Biasanya, kekecewaan melampau ini terjadi dalam perhubungan cinta atau perkahwinan. Perbuatan meraung, menjerit atau marah-marah adalah kesan tekanan melampau yang dirasai oleh seseorang yang kecewa terhadap sesuatu. Perbuatan ini perlu dihentikan segera kerana jika dibiarkan, akan membawa padah bukan sahaja kepada insan yang kecewa sebaliknya kepada insan sekelilingnya juga.
Jika anda berhadapan dengan insan-insan kecewa dan bersikap seperti ini, anda perlu bertindak untuk mententeramkan mereka. Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah takluk dan tandingi mereka. Sudah pastilah anda perlu bersikap lebih agresif berbanding rakan atau saudara anda yang kecewa itu. Bukan agresif yang negatif sebaliknya yang positif. Jika insan kecewa tersebut menangis meraung-raung, pegang atau peluk dirinya agar dia rasa lebih tenang. Jika anda tidak berdaya memegang atau memeluknya, contohnya insan kecewa yang menangis dan meraung-raung itu adalah rakan atau saudara berlainan jantina dan tidak ada orang lain bersama anda berdua tika itu, paksa dia berhenti menangis dan meraung.
Tanyakan, apakah dengan meraung, kecewanya akan hilang? Jika dia putus cinta, persoalkan apakah dengan meraung, cintanya akan kembali bersatu? Kenapa perlu meraung sakitkan fikiran dan emosi sendiri kerana insan yang tak menyayangi dirinya? Tanamkan dalam fikirannya, hidupnya takkan berakhir walau tanpa insan yang mengecewakan dirinya itu. Dah nyata insan yang mengecewakan tersebut bukan lelaki atau gadis terbaik untuk dirinya. Minta dia ingati dan kenang ibu bapa atau siapa sahaja insan tersayang lainnya yang ada di dalam hidupnya. Apakah perasaan mereka jika melihat dirinya yang bersikap sedemikian? Sudah tentu mereka juga akan sedih dan kecewa. Apakah dia sanggup kecewakan orang yang betul-betul ikhlas menyayangi semata-mata kerana seorang insan penipu?
Mungkin tika ini, anda perlu tinggikan sedikit suara anda. Yang penting, anda perlu menakluk dan menandingi emosinya tika itu. Insan yang menangis dan meraung ini terlalu mengikut perasaan hingga tidak mampu memikirkan perkara lain kecuali kekecewaannya. Tugas dan peranan anda untuk membawa emosi dan perasaannya ke dunia nyata semula. Sama juga jika insan kecewa tersebut menjerit atau marah-marah. Tindakan tersebut adalah satu luahan kekecewaan. Tika ini, anda perlu lawan emosi marah tersebut. Bukan marahkan sikapnya sebaliknya mengingatkan insan kecewa tersebut agar tidak marahkan orang lain yang tidak bersalah dan tidak ada kaitan dengan kekecewaannya.
Paling penting, minta dia istighfar ingatkan Allah. Minta rakan anda itu ucapkan Allah, Allah, Allah berulang kali. InsyaAllah, dalam beberapa ketika sahaja, dia akan mula tenteram dan tenang. Minta insan kecewa ini mandi dan sejukkan diri sekaligus sejukkan emosi dan tekanan perasaannya. Anda juga perlu memantau setiap perlakuan dan perbuatan insan kecewa ini. Jangan biarkan dia bersendirian. Elakkan daripada membincangkan perkara yang mengecewakan tersebut jika dia belum bersedia. Dia hanya bersedia jika anda dapati, dia boleh bercakap mengenai kekecewaan tersebut secara bersahaja. Hingga tiba saat itu, setiap kali dia cuba luahkan kekecewaannya, minta dia bertenang dan jangan dikenang lagi kisah-kisah lama yang boleh melukakan lagi hatinya. Jangan minta dia melupakan sebaliknya elakkan dari memikirkan kisah-kisah luka tersebut dengan menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti.
Cuba elakkan daripada menyebut perkataan sabar sebab ada tikanya perkataan sabar ini akan lebih menambahkan kekecewaannya. Kenapa? Semua orang tahu, sabar adalah perkara yang perlu dipraktikkan dalam setiap agenda kehidupan tetapi sabar bukanlah perkara yang mudah dilakukan. Bagi insan-insan yang kecewa, sabar boleh mengundang pelbagai maksud. Ada tikanya, perkataan sabar mampu didefinisikan sebagai hidupnya sedang berdepan dengan ujian yang maha berat dan sukar ditangani. Ada juga yang merasakan dia perlu bersendirian mengharungi hidupnya.
Sebaliknya anda boleh gunakan perkataan tabah, kuat, boleh dan pelbagai lagi kata-kata semangat dan motivasi. Ceritakan kisah orang lain yang lebih menyayat hati tetapi orang tersebut mampu meneruskan kehidupan seperti biasa agar insan kecewa tadi sedar dan tahu, bukan dia sahaja yang diuji oleh Allah malah ada orang lain yang lebih teruk ujiannya dan mampu meneruskan hidup dengan ceria. Minta dia lebih dekatkan diri kepada Allah dan mohon kekuatan daripada-Nya. InsyaAllah, kekecewaan akan beransur hilang walau kisah duka masih belum luput di fikiran.
****Siaran September 2008
1 ulasan:
Salam,
Saya pernah berhadapan dengan seorang teman (senior) yang putus cinta dengan teman satu batch yang juga teman serumah saya....
Memang mencabar hendak mententeramkan seorang lelaki yang kecewa/patah hati dengan seorang wanita yang amat-amat-teramat dicintainya...
Saya tak pujuk 'lembik' dan sebut 'sabar' tapi beri kata semangat (naik juga temperature masa tu) sambil beringat2 supaya tidak memburukkan teman serumah sendiri.
Bukan senang hendak menenangkan orang, kena juga ada ilmu psikologi...
Terima kasih atas perkongsian ini.
Catat Ulasan