Ini bukan perbincangan tentang program kat TV3 tu tapi perbincangan kali ini adalah bagi merungkai permasalahan para pengirim emel yang meluahkan rasa sedih dan sepi mereka kerana masih gagal menemui jodoh apatah lagi merasai nikmat cinta. Bukan hanya keluhan golongan wanita malah luahan rasa kaum lelaki juga. Masing-masing mempersoalkan, tidak adakah jodoh untuk mereka? Sukar untuk memberikan satu jawapan yang pasti kerana segala yang terjadi adalah atas kehendak dan kuasa Yang Maha Esa. Namun, berpegang kepada satu firmanNya… setiap kejadian adalah secara berpasangan… saya percaya sesungguhnya setiap dari kita mempunyai jodohnya masing-masing. Cuma, masa untuk bersama dengan pasangan yang dijanjikan itu masih belum tiba.
Mungkin ada yang mempertikaikan.. habis tu, ada juga yang meninggal dunia dalam usia yang dah agak tua tetapi masih kekal dengan status bujangnya? Bukan itu saja, ada juga yang meninggal dunia dalam usia yang masih agak muda hingga tidak sempat menikmati hidup berumah tangga. Malah ada antaranya bakal memasuki gerbang perkahwinan atau baru saja kering dari peluh dingin yang merembes keluar ketika melafazkan akad nikah tetapi telah dijemput pergi mengadap Ilahi. Ya, saya akui kebenaran fakta tersebut tetapi semua itu di luar kawalan kita sebagai hamba. Tidak mustahil, pasangan yang dijanjikan untuknya bukan untuk bersama di dunia tetapi jodoh mereka bertemu di akhirat, hanya Dia yang mengetahuinya. Namun sebagai hamba, kita semua dibenarkan untuk mengecapi nikmat cinta, nikmat satu hubungan yang suci atas nama perkahwinan.
Persoalannya, bagaimana caranya untuk merasai nikmat cinta sekiranya sukar memperolehinya? Tepuk dada, tanya minda. Apakah sebabnya, ketika berada dalam usia yang rata-ratanya orang lain yang sebaya dengan kita telah mendirikan rumah tangga tetapi kita masih lagi sendiri? Mungkin ada yang menjawab, siapalah yang sukakan saya, rupa tak ada, harta jauh sekali. Fikir semula, apakah cinta itu kerana rupa atau harta? Ingat lagi artikel saya dulu, jika kita memilih cinta kerana rupa atau pun harta, percayalah… cinta tersebut tidak akan kekal lama. Bila rupa mula berubah, bila harta makin kurang tak bertambah, cinta juga akan mula berubah arah. Ada juga yang menjeruk diri kerana kekecewaan yang lalu. Bukan sekadar kecewa tetapi tidak mampu untuk percaya lagi kepada kata-kata cinta. Sikap seperti ini akan tambah menjerukkan perasaan sebenarnya. Allah telah janjikan bahawa cinta akan membahagiakan kita. Sekiranya kita kecewa kerana cinta bererti ada sesuatu yang tidak kena dengan cinta kita itu, sama ada yang tidak kena itu ada pada kita, mungkin juga pada pasangan kita.
Maksud saya dengan ‘ada yang tidak kena’ ialah sikap kita tentang cinta. Ya, semua orang inginkan cinta sejati. Hanya cinta sejati yang boleh memberikan kebahagiaan kepada diri. Saya akui kebenaran itu tetapi, apakah dia cinta sejati? Apakah dengan memiliki cinta dari insan yang menepati keinginan dan impian kita maka itu adalah cinta sejati? Bercakap mengenai keinginan dan impian seseorang, tidak pernah ada yang inginkan kekurangan, betul tak? Jadi, bila ada kekurangan maka ianya bukan lagi cinta sejati, begitu? Tidak salah mengasah impian tetapi kita semua perlu akui bahawa kita adalah manusia yang tidak pernah sunyi dari kekurangan. Cinta sejati adalah cinta yang menepati enam peraturan cinta seperti yang pernah saya jelaskan satu ketika dulu. Kita perlu menerima segala kelebihan dan kekurangan pasangan kita barulah kita akan memiliki kesejatian cinta. Lantas, jika kita menunggu hari demi hari dengan matlamat untuk memperolehi cinta daripada putera atau puteri impian kita, memang payahlah impian itu menjadi nyata.
Teringat saya kepada satu kisah yang saya perolehi daripada forwarding email. Seorang lelaki menginginkan seorang gadis yang memiliki ciri-ciri terbaik sebagai calon isteri. Setelah sekian lama mencari, ditakdirkan satu hari beliau bertemu dengan seorang gadis yang memenuhi impiannya itu. Setelah lama berkenalan, si jejaka berhasrat untuk melamar si gadis. Sebelum meluahkan hasrat hati, si jejaka bertanya kepada si gadis, kenapa si gadis masih belum berkahwin sedangkan si gadis mempunyai segala-galanya yang diinginkan oleh seorang lelaki. Jawab si gadis: sehingga ke saat ini saya belum menemui seorang lelaki yang saya yakin terbaik untuk diri saya. Ringkas jawapan si gadis tetapi bernas kan?! Kenapa saya katakan bernas? Ya, jawapannya itu wajar kita teladani bersama. Tidak salah untuk memilih yang terbaik tetapi apakah kita terbaik untuk orang lain? Maka, bersyukurlah dengan apa yang ada pada diri kita dan terimalah pasangan kita seadanya.
Cinta juga tidak datang dengan sendirinya maka kita perlu mencari cinta. Tidak salah mempraktikkan perigi mencari timba tetapi perlu kena caranya. Rasulullah s.a.w sendiri dipinang oleh Sayidatina Khadijah, lantas kenapa malu meluahkan rasa kepada lelaki yang kita yakin dapat menjadi teman hidup kita sepanjang hayat? Bagaimana caranya? InsyaAllah, kita akan bincangkan untuk resipi yang lain pula.
****Siaran September 2005
Tiada ulasan:
Catat Ulasan