Ulang tahun kelahiran saya baru-baru ini, saya mendapat hadiah yang paling berharga, berita bahawa saya akan memperolehi cahaya mata ketiga, insyaAllah, penghujung Julai tahun depan. Walau tak berharap namun Dia menentukan, saya terima dengan redha, alhamdulillah. Khabar gembira saya sampaikan pada suami, walau separuh tidak percaya namun dia tersenyum, cepat saja meng’sms’ adik-adiknya menyampaikan khabar. Senyumnya sampai ke telinga bila menerima balasan sms daripada adik-adik yang mengucapkan tahniah. Sejak mengetahui khabar ini, suami makin sibuk mengambil berat mengenai saya. Seawal pagi, jika saya tidak sempat makan pagi bersamanya, jam 9 pagi pasti saya menerima sms daripadanya, menanyakan sama ada saya telah makan atau tidak? Begitu juga dengan waktu tengahari. Suami saya juga lebih senang melakukan kerja-kerja rumah atau menguruskan puteri dan putera saya tanpa saya perlu meminta bantuan. Syukur alhamdulillah, sesungguhnya, benarlah seperti kata orang, anak adalah penyubur kasih suami isteri.
Namun, tidak semua yang bertuah seperti saya dan kebanyakan isteri-isteri yang lain. Masih ingat lagi, semasa awal-awal penglibatan saya bersama Resepi Hidup, saya pernah menceritakan bagaimana sepasang suami isteri telah berpisah gara-gara kelahiran sepasang kembar lelaki seiras? Memang satu dalam sejuta kerana kebiasaannya, rumah tangga akan bergolak sekiranya perkahwinan tersebut tidak dikurniakan cahaya mata. Ada suami yang mula pasang mata apabila isteri gagal melahirkan zuriatnya selepas beberapa tahun perkahwinan, ada juga hanya setelah setahun perkahwinan kerana merasakan si isteri tidak mampu memberikannya zuriat. Paling bermasalah sekiranya ibu bapa campur tangan, terlalu inginkan cucu, sanggup menggadaikan kebahagiaan menantu dan selalunya, si isteri yang akan disalahkan walau ada kes, wanita yang diceraikan atas alasan mandul, kemudian wanita itu berkahwin dengan lelaki lain, beliau mampu melahirkan zuriat. Siapa yang bersalah sebenarnya??
Sebenarnya, di dalam satu-satu perkahwinan, suami dan isteri perlu berbincang dari hati ke hati mengenai kesediaan masing-masing untuk menimang anak. Sungguh, anak-anak adalah penyeri rumah tangga namun jika kehadirannya tidak disenangi oleh salah satu pihak, maka kelahirannya akan menjadi punca keretakan rumah tangga. Dah anak yang tidak berdosa dikatakan membawa bala bencana, nauzubillahh!! Menimang cahaya mata bukan sekadar membuktikan kelelakian atau kewanitaan sebenar. Anak-anak yang dianugerahkan oleh Allah adalah satu amanah kepada pasangan suami isteri, sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab mendidiknya menjadi insan yang berguna kepada dirinya, agama dan bangsa. Lantas, sebelum berfikir untuk menimang cahaya mata, segala persediaan perlu dilakukan, dari segi mental, fizikal dan juga kewangan.
Dari segi mental, sama ada anda sebagai seorang suami atau isteri, anda perlu melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan, bukan hanya berserah dan menunggu emosi anda berubah dan bersedia. Perlu diingat, apabila anda memasuki gerbang perkahwinan, dunia anda yang sebenar adalah rumah tangga. Sekarang bukan lagi masanya untuk bersuka ria bersama rakan-rakan sebaya, tidak kiralah jika anda berkahwin di usia muda. Sebelum berkahwin, semua itu perlu difikirkan. Bukan bererti anda tidak boleh meluangkan masa bersama kawan-kawan tetapi keutamaan adalah kepada rumah tangga. Dari segi fizikal, anda terutamanya isteri, perlu bersedia untuk menerima perubahan diri. Tidak dinafikan wanita yang mengandung dan melahirkan akan berubah bentuk badan, walau ada yang berjaya kembali anggun namun hakikatnya, organ dalaman tetap berlaku perubahan. Jika gagal bersedia dengan sebaiknya, anda akan menghadapi masalah kesihatan yang akan mengganggu rutin kehidupan anda sebelumnya.
Dari segi kewangan pula, anda perlu bersedia secukupnya agar mampu memberikan kehidupan yang sempurna walaupun sederhana kepada anak-anak anda. Selalunya, kewangan merupakan masalah yang biasa dialami oleh pasangan yang baru menimang cahayamata. Namun, seperti yang Allah janjikan, setiap anak yang lahir ke dunia, ada rezekinya, insyaAllah.
Nasihat saya, kepada mereka yang baru berkahwin, berbincanglah dengan pasangan anda sebaiknya, bersediakah untuk menimang cahaya mata? Tidur malam yang sebelumnya indah dibuai mimpi, akan terganggu. Kepenatan bekerja seharian bertambah apabila pulang perlu melayani pula kerenah anak-anak yang pelbagai. Namun, sepanjang pengalaman saya dan saya pasti pengalaman ramai ibu bapa lain juga, kepenatan akan hilang sejurus selepas melihat wajah anak-anak. Jika ada yang tidak merasakan sedemikian, koreksi diri, pasti ada yang tak kena dengan diri anda. Kepada para suami pula, anak yang lahir itu adalah anak anda dan isteri anda, maka sama-samalah menjaga dan mendidiknya dengan penuh kasih sayang. Jangan harapkan isteri sahaja. Tidak salah jika anda bangun malam menukar lampin anak atau membuatkan susu anak. Ianya akan merapatkan lagi kasih sayang anda suami isteri.
Kepada yang masih belum dikurniakan cahayamata, akan tiba masanya, berusaha dan berikhtiarlah. Jangan salahkan kaum wanita semata. Sebaiknya, anda suami isteri sama-sama melakukan pemeriksaan. Jika ada kekurangan, sama-sama betulkan. Jika masing-masing suami isteri dapat berbincang dari hati ke hati tentang isu kehadiran cahaya mata ini, sungguh…. anda pasti tidak sabar menunggu untuk mendengar tangisan pertamanya.
****Siaran Disember 2005
Tiada ulasan:
Catat Ulasan