03 September 2008

Mendidik anak perlu tegas bukan keras

Ketika bertandang ke rumah seorang rakan sempena menghadiri rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan pada cuti hujung minggu baru-baru ini, puteri sulung saya beraksi nakal, sama-sama berlari bermain tangga rumah, menuruti jejak rakan-rakan sebaya yang berbuat demikian. Pada mulanya saya melarang dengan nada perlahan. Dalam keadaan ini, saya menggunakan panggilan manja untuk puteri saya, Ayang. Puteri saya terdiam sebentar, memerhatikan saya kemudian kembali beraksi ketika rakan-rakan yang lain makin galak bermain-main di tangga. Sekali lagi saya memanggail, nada suara agak keras daripada tadi, sebagai tanda amaran. Ketika itulah seorang tetamu rakan saya yang baru saya kenali ketika menghadiri rumah terbuka tersebut bersuara: “Biarlah!! Budak-budak!!” Saya tersenyum, memahami kenapa anak-anaknya mengepalai aksi bermain di tangga itu.

Tanpa mempedulikan kata-katanya, sekali lagi saya memanggil puteri saya, kali ini dengan satu pertanyaan, “Ayuni Syafiqah!!! Ummi cakap apa?” Alhamdulillah, bagai memahami pertanyaan saya, tambah pula saya menggunakan nama penuhnya, panggilan yang hanya akan saya lakukan jika saya bertegas, puteri saya kembali bersama saya dan si adik, yang tadinya turut berminat untuk bersama si kakak malangnya tertahan kerana beliau di dalam pegangan saya. Tidak lama, terdengar suara-suara berbisik tetapi cukup untuk saya mendengarnya… garangnya… kesian kat anak dia, nak main-main pun tak boleh. Saya tersenyum sendiri. Biarlah apa orang nak kata… saya garang, saya tegas atau apa sahaja, segala yang saya lakukan adalah demi kebaikan anak-anak saya. Ya, saya faham, anak-anak saya masih kecil, masih budak-budak yang tidak lepas daripada keinginan untuk bermain, untuk mencuba sesuatu yang baru tetapi di usia yang masih muda inilah juga, anak-anak perlu diajar dan dididik agar menjadi insan yang berguna, paling tidak pun, untuk dirinya. Kalau dah besar, dah panjang akal untuk mempertimbangkan kehendaknya sendiri tanpa adanya panduan daripada kita sebagai ibu bapanya, didikan dan teguran dah tak berguna lagi.

Saya akui, kalau ada yang melihat cara saya mendidik putera puteri saya, akan ada yang melafazkan, saya terlalu garang dengan anak-anak. Tetapi, bagi emak dan bapa saya sendiri, saya tidak dikatakan garang atau keras tetapi tegas. Dengan ketegasan jugalah, emak dan bapa saya mengajar dan mendidik saya bersama tujuh lagi adik-adik saya dan berkat ketegasan dan doa daripada emak dan bapa saya, kami adik beradik berjaya di dalam hidup. Kami tidak kaya harta, cukuplah sekadar menjalani hidup dengan cara yang sederhana. Tetapi kami adik-beradik amat disenangi oleh semua pihak. Pergilah ke mana sahaja, insyaAllah, kami akan mudah mendapat kawan. Saya meneladani cara emak dan bapa saya mendidik anak-anak. Pengalaman emak dan bapa saya ditambah dengan ilmu yang saya kutip di sepanjang pengajian dan pembacaan saya berkenaan psikologi keluarga, saya praktikkan pula kepada anak-anak saya.

Ingat lagi pepatah orang tua kita, sayang anak tangan-tangankan… tangan-tangankan bukan bererti boleh membelasah sesuka hati sampai anak-anak rasa serik dan takut nak mendekati. Tangan-tangankan bermaksud perlu tegas dalam mendidik dan membimbing anak-anak. Menyayangi anak-anak bukan bererti segala kehendak dan kemahuannya dituruti. Juga bukan bermaksud segala keinginannya perlu dipenuhi. Apa yang perlu dikatakan ya, katakan ya. Apa yang perlu dikatakan tidak, katakan tidak, bukan diam sahaja. Jika ada perkara yang kita tak mahu anak-anak lakukan, nyatakan kenapa kita melarang. Begitu juga bila kita menyuruh anak-anak melakukan sesuatu, jelaskan kenapa anak-anak perlu melakukannya.

Sebaiknya, jika si ibu melarang atau memarahi si anak, si ayah pula mengambil tugas memujuk dan menjelaskan kenapa si ibu melarang atau marah-marah. Jika si ayah yang melarang, si ibu pula mengambil peranan memujuk dan menjelaskan punca kemarahan si ayah. Elakkan daripada si anak tidak mempunyai tempat untuk mengadu. Maksud saya, jika si ibu memarahi si anak, jangan pula si ayah turut sama memarahi hinggakan si anak merasakan dirinya tidak disayangi lagi. Jiwa anak-anak amat sensitif dan mudah terasa. Lantas, berjaga-jaga dalam menegur dan memarahi anak-anak. Seperti yang saya katakan awal tadi, boleh malah memang perlu tegas tetapi bukan keras. Tegas bererti anak-anak dijaga dengan kasih sayang yang seimbang dengan proses didikan, bukan kemanjaan atau kemarahan yang melampau.

Satu perkara lagi, jika si ayah menegur perlakuan si anak, jangan pula si ibu menegur tindakan si ayah. Sikap ini akan membuatkan si anak naik tocang. Tak per lah kalau ayah tak suka, ibu ada untuk membela. Kesannya anak-anak tidak akan terdidik dan akan memberikan impak yang tidak baik kepada si anak di belakang hari. Bukan itu sahaja, si anak akan tidak menghormati si ayah. Samalah juga jika si ibu yang menegur, si ayah jangan pula nak membela. Kalau ada pun teguran si ayah atau si ibu yang dirasakan agak melampau, pasangannya boleh membincangkan semula mengenai teguran tadi tetapi bukan di hadapan anak-anak. Tidak dinafikan, ada tikanya si ibu atau si ayah tersilap teguran, paling mudah terjadi ketika si ibu atau si ayah tidak dapat mengawal emosi, sakit kepala memikirkan hal lain, si anak pula menjadi mangsa herdikan. Dah namanya manusia, takkan lari daripada kesilapan dan tugas pasangan sebagai penyempurna kehidupan untuk menegur. Menegur tindakan pasangan juga ada caranya. Jangan sampai disebabkan hal anak-anak, suami isteri pula yang porak peranda. Moga kita semua menjadi ibu bapa yang cemerlang demi menjadikan anak-anak kita insan yang terbilang.

****Siaran Disember 2005

Tiada ulasan: