Dalam proses menyediakan siri perbincangan mengenai perkahwinan mis-yar, tiba-tiba terdengar suara-suara kecoh membincangkan tentang isu Pok Leh, jurunikah palsu. Hmmm… teringat kes pertama yang saya kendalikan, tika itu masih belum bernama peguam atau perunding psikologi keluarga sebaliknya, saya masih seorang pelajar jurusan undang-undang syariah di UM. Pada tahun kedua, saya dan kawan-kawan diwajibkan menjalani latihan praktikal. Pilihan saya, pejabat agama daerah Kuala Muda. Seminggu di sana, saya terlibat di dalam satu perbicaraan. Dakwaan kes, atas kesalahan khalwat tetapi pasangan yang ditangkap itu mempertahankan bahawa mereka berdua sebenarnya adalah suami isteri.
Yang peliknya, bila disoal siapa wali perempuan? Wanita yang mengaku sebagai isteri menjawab tidak tahu. Si lelaki pula menjawab, saya tak tahu, semuanya abang angkat saya yang uruskan…abang angkat saya mintak saya sediakan RM3000 dan berjanji, dia akan uruskan semuanya. Sampai saat ini, saya masih teringatkan fakta-fakta menarik kes tersebut dan membuatkan saya senyum sendiri. Kenapalah sampai begitu sekali. Selesai perbicaraan, nyata sekali perkahwinan pasangan tersebut adalah perkahwinan palsu atau nikah sindiket. Lebih kurang sama lah dengan kisah Pok Leh yang konon kesiankan orang awam lantas bertindak menjadi jurunikah. Itu kisah Pok Leh yang memang nyata sekali mengambil kesempatan di atas nama kesian.
Tujuan saya mengutarakan isu Pok Leh ini ialah untuk pengajaran kepada anak gadis dan kaum wanita di luar sana. Jangan terikut-ikut dengan kehendak teman lelaki anda untuk mengambil jalan mudah bagi merealisasikan impian perkahwinan. Anda juga, jangan sesekali terfikir untuk bertindak mengambil jalan mudah sedemikian. Saya tahu, banyak kes perkahwinan atas nama jalan mudah ini. Ada yang pergi ke negara jiran untuk berkahwin setelah hasrat hati tidak direstui oleh ibu bapa ataupun pasangan sedia ada. Bukan sekadar tindakan anda menyalahi undang-undang tetapi dibimbangi tindakan anda itu turut bercanggah dengan kehendak syarak.
Islam menetapkan, setiap wanita sama ada gadis atau pun janda, perlu mempunyai wali untuk pernikahan. Walaupun ada peruntukan mengenai wali hakim, tidak semua gadis atau janda layak menggunakan wali hakim ketika pernikahan. Bagi pasangan yang ingin berkahwin tetapi dihalang oleh ibu bapa atas alasan yang tidak munasabah… kalau halangan daripada ibu bapa lelaki, tidak ada apa-apa halangan untuk pernikahan sebenarnya. Sekiranya halangan atas alasan tidak munasabah itu datang daripada ibu bapa pihak perempuan, maka pihak perempuan layak memohon daripada mahkamah syariah untuk mendapatkan kebenaran berkahwin menggunakan wali hakim. Kes-kes seperti ini dibicarakan atas aduan wali enggan.
Pihak mahkamah akan membicarakan kes wali enggan ini dengan mengambil kira pandangan dan pendapat bapa pihak perempuan, kenapakah si bapa enggan mewalikan perkahwinan si anak? Sekiranya pihak mahkamah berpuas hati bahawa keengganan si bapa adalah atas alasan yang tidak munasabah maka pihak mahkamah akan mengeluarkan perintah kebenaran kepada si gadis untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya menggunakan wali hakim. Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan alasan tidak munasabah? Alasan tidak munasabah yang dimaksudkan di sini ialah alasan yang tidak wajar diterima menepati kehendak syarak. Sebagai contoh, hubungan terhalang kerana pihak lelaki dan pihak perempuan tidak sama taraf pendidikan atau harta. Walaupun ada istilah kufu di dalam Islam namun kufu yang dimaksudkan bukanlah daripada sudut harta kekayaan. Kufu yang wajar dipertimbangkan ialah pengamalan seseorang terhadap agamanya.
Begitu juga dengan kes berkahwin tanpa pengetahuan pasangan sedia ada atau poligami. Islam tidak mensyaratkan secara terperinci bahawa poligami itu dengan kebenaran atau pengetahuan isteri sedia ada. Namun, atas nama kejujuran dan keikhlasan di dalam berkasih sayang, isteri sedia ada wajar diberitahu tentang maksud anda untuk berpoligami. Kepada wanita yang berhajat untuk berkongsi suami, jangan ketepikan ‘kakak’ anda. Jangan fikir anda telah menang di dalam perebutan kasih. Saya tidak katakan anda perampas kerana anda berkongsi tetapi jika anda menyalahgunakan perkongsian yang dibenarkan di dalam Islam, anda memang seorang perampas. Jika tidak ingin disebut sebagai perampas, gunakanlah jalan yang betul untuk merealisasikan impian anda berkongsi kasih.
Kenapa perlu bertindak secara sembunyi? Bimbang dimarahi ‘kakak’ anda? Bimbang dipandang jelik oleh masyarakat? Lantas mengambil jalan mudah? Usah diutamakan kebimbangan yang ada. Anda hanya ingin berkongsi kasih, bukan merampas kasih. Tindakan secara sembungi bukan sahaja membuatkan anda dimarahi tetapi memungkinkan hak anda sebagai isteri tidak terbela. Anda perlu ingat, jika perkahwinan anda tidak sah di sisi undang-undang, hak anda sebagai isteri sukar untuk dikecapi. Jika perkahwinan anda tidak sah di sisi syarak, anda telah mengorek lubang kubur anda sendiri.
Nasihat saya kepada pasangan yang niat perkahwinan mereka terhalang atau mendapat tentangan, jangan guna jalan mudah. Islam tidak pernah menyusahkan kita sebaliknya memudahkan. Undang-undang, biarpun banyak prosedurnya, juga untuk kemudahan kita. Bersusah-susah dulu, bersenang-senang kemudian… bukan senang nak senang….
****Siaran Jun 2006
1 ulasan:
salam,
saya ingin mendapat kepastian tentang perkahwinan yang tidak direstui ini...
1.berkahwin dengan wali hakim yg tidak dipohon secara sah melalui undang2 dan berkahwin di Malaysia, adakah sah?mengikut artikel yg ditulis dan mengikut fahaman saya, perkahwinan tersebut tidak sah.adakah benar fahaman saya untuk kes ini?
2.sekiranya pasangan mengambil keputusan untuk lari kawin kali ke-2 disempadan dengan jurunikah yg sah di negara tersebut dan mendaftar perkahwinan tersebut di Malaysia, walhal bapa si perempuan tidak bersetuju,adakah perkahwinan itu sah?
Catat Ulasan