15 Ogos 2009

Mengatasi cemburu di kalangan madu

Mungkin ada yang rasa topik perbincangan saya kali ini agak kelakar. Ya lah, dah nama pun bermadu, sudah tentulah ada rasa cemburu. Cemburu memang tak boleh dielakkan hatta isteri-isteri Rasulullah SAW pun mempunyai rasa cemburu di kalangan mereka. Walau cemburu adalah penyakit biasa di dalam kehidupan berpoligami namun ianya tidak boleh dibiarkan berlarutan. Sakit cemburu ini perlu dibendung dan diatasi agar ianya tidak membawa padah dan mudharat kepada diri sendiri, suami dan ahli keluarga lainnya.

Saya teringat luahan hati seorang kakak dari pantai timur. Cukuplah saya namakan dengan Kak B. Kata Kak B, dia rasa terlalu rendah diri dan amat cemburukan madunya walau hakikatnya dia mengizinkan suaminya menikahi madunya tersebut. Sebabnya, madunya dan suaminya sama-sama mempunyai kerjaya, sedangkan dirinya hanya seorang suri rumah. Malah menurut Kak B, terlalu banyak persamaan antara suaminya dan madunya itu: bulan kelahiran, kegemaran, makanan kesukaan…. hinggakan Kak B merasakan dirinya begitu asing walaupun layanan suami masih sama seperti dulu.

Buat Kak B dan isteri-isteri lain di luar sana yang ditakdirkan mempunyai madu, tak kiralah anda yang pertama, kedua, ketiga atau keempat, ingatlah satu perkara: ANDA JUGA MEMPUNYAI KEISTIMEWAAN YANG TERSENDIRI. Jika anda yang pertama, anda paling istimewa kerana anda adalah wanita pertama yang berjaya merebut hati suami anda hingga anda dijadikan suri hidupnya berbanding jutaan wanita lain yang ada tika itu. Sudah semestinya anda memiliki keistimewaan tersendiri yang membuatkan suami anda memilih anda. JANGAN SALAH SANGKA, walaupun ada wanita lain hadir di antara anda dan suami anda, tidak bermakna wanita itu lebih istimewa daripada anda. Anda tetap unggul dan istimewa lantaran itulah suami anda memilih untuk memberikan anda seorang madu dan bukannya menceraikan anda walaupun setelah hatinya diusik oleh wanita lain. Yang nyata, suami anda masih memerlukan anda di dalam hidupnya.

Jika anda adalah isteri kedua, ketiga atau keempat, JANGAN BERASA DIRI TERLALU ISTIMEWA. Kedudukan anda dengan isteri sedia ada sebelumnya adalah sama sahaja. Tak kiralah anda lebih berpendidikan, lebih berharta atau berkerjaya menarik atau mungkin terasa lebih cantik dan lebih muda, anda belum layak diiktiraf sebagai lebih istimewa. Hakikatnya, walau di mana pun kedudukan anda, semuanya adalah sama iaitu seorang isteri kepada seorang lelaki. Jadi, anda tak perlu berasa terlalu cemburu dengan madu-madu anda.

Seperti yang saya jelaskan di awal tadi, setiap daripada anda mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang membuatkan suami anda memilih anda sebagai teman hidupnya. Mungkin anda pandai memasak, suara anda manja, anda seorang yang kelakar, peramah dan pandai mengambil hati dan entah beribu alasan lagi yang hanya suami anda dan mungkin juga anda mengetahuinya. Kekalkan keistimewaan anda itu dan berusahalah untuk terus menambat hati suami dengan keistimewaan tersebut.

Ingatlah, sifat diri yang peribadi boleh dikekalkan sebaliknya jika anda sekadar menambat hati suami dengan rupa paras yang menawan hati, jangan terkejut jika tiba satu masa, anda dipinggirkan. Rupa paras yang cantik dan bentuk badan yang menarik tidak akan kekal walaupun sekarang ini terdapat beribu produk dan pusat rawatan kecantikan. Anda perlukan sesuatu yang lahir daripada diri dalaman anda untuk kekal istimewa setanding dengan madu-madu anda yang lain. Bila anda sedar keistimewaan diri anda, terimalah juga hakikat bahawa anda dan madu-madu anda juga mempunyai kelemahan yang tersendiri. Atas rasa kesedaran ini, insyaAllah rasa cemburu anda kepada madu-madu anda akan dapat dibendung dan diatasi.

Paling penting juga, anda perlu menganggap madu anda sebagai saudara anda sendiri, sebagai kakak dan adik. Saya tahu, bercakap memang mudah, nak lakukan tu amatlah payah. Hanya yang menghadapi dan mengalaminya sahaja yang tahu. Namun, satu sahaja nasihat saya, anda telah terpilih untuk berkongsi kasih dan hampir merelakan walau dalam keadaan terpaksa, berlapang dadalah menerima hakikat dan kebenaran ini kerana anda memiliki satu persamaan; sama-sama menyayangi dan disayangi seorang lelaki. Jika anda berjaya menanam anggapan tersebut di dalam diri, percayalah, rasa cemburu anda yang ada tikanya akan hadir membabi buta akan dapat dibendung dan diatasi.

Kenapa? Realitinya seorang kakak dan adik akan saling sayang menyayangi dan bantu membantu antara satu sama lain. Ianya bukan satu perkara mustahil. Saya pernah menyaksikan sendiri kesanggupan isteri pertama menjaga madunya yang sedang di dalam tempoh berpantang. Malah komunikasi antara mereka menggunakan bahasa kakak dan adik, tak terasa tika itu saya sedang berhadapan dengan dua wanita yang sedang berkongsi suami, subhanallah. Jangan lupa, di samping segala tindakan tersebut, sentiasalah berdoa agar anda dan madu-madu anda serta suami anda sentiasa dijauhkan daripada hasutan nafsu dan syaitan. Poligami adalah perkara yang harus dan halal di dalam Islam. Melaksanakannya dan redha menerimanya adalah perkara yang dibenci oleh syaitan. Jika anda tersasar walaupun sedikit, syaitan akan mengawal emosi anda dan anda akan dikuasai sepenuhnya oleh nafsu anda, nauzubillah.

Kepada yang berkongsi kasih suami, tahniah kerana terpilih untuk menerima ganjaran indah di akhirat. Laksanakan peranan dan tanggungjawab anda yang sewajarnya dan biarkan suami anda juga melaksanakan tanggungjawabnya yang sewajarnya kerana hak anda adalah sama dengan hak madu anda. Ingatlah, hanya kalian sahaja yang mampu menjadikan suami kalian sebagai suami yang adil di dalam poligami.

****Siaran November 2007

2 ulasan:

ISTERI PERTAMA berkata...

Ye, saya setuju. Byk benarnya. Terima kasih ats pandangan dan nasihat itu. Tuhan tidak akan menguji kita melebihi kemampuan kita.

Unknown berkata...

Syukur..saudari telah memberi kefahaman kepada isteri-isteri yang bermadu dan bakal dimadukan..saya yakin jika ada isteri yang membaca tajuk ini dengan akal yang sempurna dan dengan penuh rasa ketaqwaan InsyaALLAH mereka akan mendapat ganjaran yang bernilai dari ALLAH s.w.t bila tiba tikanya kelak..InsyaALLAH..wallah hu waklam..