“Alahai!!! Cemburu tak kena tempat!” Lantang benar suara suami saya. Saya tergelak sendiri. Sebenarnya, suami saya bertindak sedemikian selepas mendengar pengakuan seorang suami yang disiarkan di dalam satu rancangan televisyen, bagaimana dia boleh bertindak memukul isterinya hingga luka-luka dan lebam-lebam: Saya sampai rumah, saya tengok isteri saya pakai baju bukan main punya lawa. Saya dah ler penat, tiba-tiba pulak isteri saya pakai lawa dan nak keluar rumah. Memang ler saya geram sebab tu saya pukul isteri saya. Saya pasti, bukan suami saya sahaja yang berpendapat sedemikian malah ramai lagi yang mempunyai pendirian dan pandangan yang sama.
Ya lah, memang ler cemburu tu tandanya sayang. Tapi nak cemburu pun, biar ler kena tempat dan masanya. Ini tidak, baru nampak isteri berpakain cantik dan nak keluar, dah dibelasah si isteri bagai membelasah anjing jalanan. Apa salahnya kalau tanyakan dulu, nak ke mana? Keluar dengan siapa? Seorang wanita yang berkahwin memang menjadi hak milik mutlak suaminya tetapi bukan bererti isteri dinafikan hak untuk berkawan, bersantai dan menghiburkan hati. Para suami perlu peka dan faham dengan kebenaran ini. Jangan pulak, kerana perasaan cemburu anda yang entah apa-apa itu, kehidupan isteri bagai katak bawah tempurung, terkurung dan tidak boleh bergerak ke mana-mana. Jangan juga menjadikan kuasa yang ada pada anda sebagai suami untuk menghalang kebebasan yang sepatut dan sewajarnya isteri anda miliki.
Cemburu lah, saya tak melarang anda nak cemburu. Kalau tak cemburu langsung pun, dah macam orang tak ada perasaan pula tetapi pertimbangkan situasi yang berlaku, wajarkah anda cemburu? Tak sempat nak fikir sebab hati sedang marah? Sungguh anda tidak layak menjadi suami. Kenapa? Kerana anda bukan seorang pahlawan. Pahlawan bulan askar, bukan tentera, bukan juga hulubalang. Pahlawan ialah orang yang dapat mengawal api kemarahannya. Bila seseorang itu dapat mengawal api kemarahannya, dia akan dapat berfikir dan bertindak dengan rasional. Bila bertindak dengan rasional dan bukan emosional, barulah tidak ada istilah cemburu buta. Bila tidak ada cemburu buta, takkan ada pergaduhan dan salah faham dalam perkahwinan maka rumah tangga akan bahagia.
Mungkin ada yang bertanya, bagaimana cemburu yang celik? Cemburu yang boleh dianggap sebagai tanda kasih sayang? Ya, kita berhak cemburu apabila pasangan kita, sama ada isteri atau suami bersikap dan berkelakuan yang boleh dikategorikan sebagai berlaku curang. Ada antara kaunselor yang menyebut, jika seorang suami atau isteri keluar berdua sahaja dengan wanita atau lelaki bukan muhrim iaitu yang boleh dikahwini, walaupun kedua-duanya adalah rakan sekerja, lelaki atau wanita itu boleh disifatkan sebagai curang. Walau nampak seperti terlalu jumud tetapi saya bersetuju. Sebabnya, daripada sekali akan jadi dua kali, kemudian banyak kali dan seterusnya acap kali. Bila dah acap kali, makan pagi, makan tengahari… ke mana sahaja berdua bagai merpati dua sejoli, memang boleh diragui dan memang wajar pasangan mereka ini cemburu.
Jika pasangan anda mula berahsia, menjawab panggilan jauh daripada anda atau menyembunyikan sms yang diterima, ini juga perlakuan yang boleh dikategorikan sebagai perlakuan mencurigakan dan anda berhak cemburu. Sama juga, jika pasangan anda dah jarang-jarang ada di rumah, hari minggu pun sibuk bekerja, dah dinihari masih belum pulang ke rumah, bukan sekali atau dua kali dalam sebulan tetapi dalam sebulan kebelakangan ini, dah selalu-selalu. Bila bertanya, cuma satu alasan, sibuk. Anda hubungi pun, susah nak dapat. Asyik berada di luar kawasan sahaja. Kalau anda hadapi situasi seperti ini, memang anda layak cemburu.
Tapi ingat…. nak cemburu pun, ada caranya. Bukan marah atau membelasah membuta tuli saja. Jika pasangan anda selalu keluar bersama rakan sekerja, tanyakan kenapa dia berbuat demikian. Jika betul tak ada apa-apa hubungan, mintak pasangan anda ubah pendekatan, ajaklah rakan-rakan sekerja lain turut serta dan sebaik-baiknya, elakkan terus daripada keluar bersama walau bukan berdua, bimbang pasangan anda tidak ada apa-apa perasaan tetapi si dia di sana pulak yang menaruh harapan. Jika pasangan anda mula bercakap jauh daripada anda atau merahsiakan sms yang diterima, tanyakan kepadanya, siapa yang menghubungi atau menghantar mesej kepadanya. Kalau tiada apa-apa, kenapa nak berahsia? Jika sukar dihubungi pula, tak salah anda mulakan penyiasatan. Ingat lagi perbincangan kita mengenai percayakan pasangan juga punya batasan? Penyiasatan dilakukan kerana kita cemburu, demi kerana kasih dan sayang. Bila jawapan dah pasti, barulah ambil tindakan.
Sama saja, tak kira lelaki atau perempuan, masing-masing berhak untuk cemburu tetapi biarlah cemburu yang kena pada tempat dan situasinya. Masalahnya, sekarang ini, terlalu ramai lelaki yang bersikap panas baran. “Kau isteri aku, apa yang aku cakap kau kena ikut. Kau tak ikut cakap aku, aku belasah kau cukup-cukup.” Amboii!!! Sedapnya bercakap! Ya lah, mungkin sebab tak ramai wanita yang sanggup membelasah suami. Apa pun, suami atau isteri, masing-masing perlu mengawal perasaan, jangan marakkan bara kemarahan anda, tak ke mana sudahnya. Jika anda waras, keputusan dan tindakan anda juga waras maka benarlah cemburu anda satu bukti kasih sayang.
****Siaran Februari 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan