16 Oktober 2008

Menghitung hari menjejak usia

Hari ini, saya masuk bekerja semula selepas lima hari bercuti pulang ke kampung menziarah Wan saya yang uzur. Wan saya menitiskan air mata apabila saya bersalam dan memeluknya erat. Wajah tua Wan saya tetap tenang walau telah dimamah usia. Wan memang baik dan rapat dengan saya dan cucunya yang lain. Wan selalu berbual-bual menyampaikan cerita-cerita nasihat kepada saya dan adik-adik. Tapi ketika kunjungan baru-baru ini, Wan hanya sesekali bersuara. Cakapnya tidak selancar dan sefasih seperti satu ketika dulu. Bila bercakap dengannya pula, saya perlu bercakap lambat-lambat dan dengan suara yang agak kuat. Pergerakan Wan juga tidak sepantas dulu, jalannya perlu dipimpin. Bangunnya perlu dibantu. Memang sedih melihatkan keadaan Wan sekarang ini. Saya masih ingat lagi, sewaktu saya kecil, Wan seorang yang sangat kuat, seguni padi begitu senang diusung di atas bahu di bawa meniti batas sawah, membanting tulang empat kerat demi membesarkan emak saya dan sebelas adik beradiknya yang lain. Memang berbeza dulu dan sekarang.

Melihat Wan, saya kenangkan nasib diri. Bagaimana agaknya dengan diri saya bila makin bertambah usia? Sekarang ni, saya kuat bertenaga. Satu masa nanti…. Allah sahaja yang mengetahui. Melihat ke dalam diri Wan sekarang juga, saya pasti, tiada yang lebih menggembirakan dirinya kecuali apabila diri dikunjungi anak-anak dan cucu cicitnya. Apa lagi yang diharapkan oleh orang tua selain perhatian, kasih sayang dan hilai tawa anak cucunya. Alhamdulillah, Wan saya memiliki semua itu.

Saya teringat iklan Petronas sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini. Empat ibu tua sibuk menceritakan kejayaan anak-anak masing-masing. Namun, seorang ibu tua hanya menceritakan anaknya sering membawanya walau ke mana sahaja si anak pergi. Cerita tersebut disampaikan dalam nada lebih bangga dan ceria berbanding kisah-kisah kejayaan anak-anak kawan-kawannya. Iklan tersebut memang membekas di jiwa saya. Sememangnya, seorang ibu dan ayah, apabila diri telah dimamah usia, hanya perhatian dan kasih sayang anak-anak yang diharapkan. Walau berbangga dengan kejayaan dan kecemerlangan anak-anak, mereka lebih berbangga apabila anak-anak sentiasa menghubungi dan mengunjungi mereka.

Tanyakan diri anda, berapa kalikah anda menghubungi ibu bapa anda dalam seminggu? Berapa kalikah anda mengunjungi ibu bapa anda dalam setahun? Kalau sekali setahun, itupun hanya masa perayaan, memang sukar nak dikategorikan siapakah ibu bapa anda di mata anda? Ya, memang saya faham. Anda sibuk. Kerja banyak. Kadang-kadang ujung minggu pun kena kerja. Saya tahu dan saya faham sangat sebab saya pun mengalami keadaan yang sama tetapi apalah salahnya jika dalam kekalutan dan kesibukan itu, luangkan sedikit masa anda untuk ibu bapa anda. Kalau yang tinggal beratus-ratus kilometer jauhnya dari rumah ibu bapa, memang wajarlah hanya boleh balik dua bulan atau tiga bulan sekali. Yang penting, sentiasa menghubungi agar ibu bapa anda tidak lupa suara anda. Yang menyedihkan tu, ada anak-anak yang tinggal dekat dengan rumah ibu bapa, jarak tam sampai 10 kilometer, itu pun nak balik hanya setahun sekali? Allah Akbar!

Ingat lagi firman Allah agar kita sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu bapa? Berbuat baik bukan sekadar tidak menjawab apabila dia bercakap atau marah. Berbuat baik bukan sekadar mengirimkan sejumlah wang kepada ibu bapa anda setiap bulan. Berbuat baik bukan sekadar menyimpan gambar ibu bapa anda di dalam dompet. Berbuat baik bererti kita perlu memberikan layanan yang baik kepada ibu bapa kita. Termasuk menjaga segala kebajikannya dan menjaga hati dan perasaannya. Kalau kita gagal melaksanakan tanggungjawab ini, satu masa nanti, kita akan turut sama merasai kelukaan hati seperti ibu bapa kita apabila kita pula diperlakukan sama seperti lakukan kepada ibu bapa kita.

Saya nak kongsi satu kisah yang saya yakin, ramai yang telah mengetahuinya. Seorang ayah tua telah dihidangkan makanan di dalam tempurung oleh menantu perempuannya. Apabila si anak lelaki bertanyakan kenapa ayahnya diperlakukan sedemikian, isterinya menjawab, lebih mudah agar ayah mertuanya tidak memecahkan segala pinggan mangkuknya. Persoalan dan jawapan pasangan suami isteri tadi didengar oleh anak lelaki mereka. Pada satu hari, pasangan suami isteri ini membawa anak mereka berjalan-jalan melalui sebuah pasar yang terdapat longgokan tempurung kelapa. Dengan segera si anak mengambil beberapa tempurung kelapa tersebut. Gelagat si anak mengejutkan ibu bapanya. Si ayah segera bertanya, kenapa anaknya mengumpulkan tempurung kelapa tersebut? Jawab si anak, supaya mudah isterinya nanti memberikan makanan kepada ayah dan ibunya apabila telah tua sama seperti yang dibuat oleh ibu kepada atuknya. Jawapan si anak betul-betul mengejutkan pasangan suami isteri tadi.

Sama jugalah dengan kita, andai satu hari nanti aa perangai anak-anak yang tidak kita sukai, jangan terus marahkan atau salahkan mereka. Selidik diri sendiri dahulu, mungkin kita juga pernah melakukannya. Lantas, kita inginkan yang terbaik daripada anak-anak, bentuk diri kita menjadi yang terbaik kepada ibu bapa kita. Ibu bapa gembira, kita juga akan bahagia.

****Siaran Mac 2006

1 ulasan:

lanterahidup berkata...

Saya setuju dengan artikel akak. Saya masih lagi mempunyai kedua2 ibu bapa. namun baru kehilangan ibu mertua baru2 ini. Sungguh terkesan di dalam hati kami suami isteri.pada sahabat yg masih mempunyai ibu bapa hatta ibu bapa mertua, berbaktilah!Pada para isteri, ingat2kanlah dan galakkan suami kita berbakti pada ibu bapanya.kadang2, kita tak sedar yg kita 'terlalu menyibukkan' suami dgn hal kita&anak2,sampai mungkin kita tak sedar kitalah yg membuatkan suami 'terleka'..
saya nak kongsi artikel sulung saya di blog
http://mindacemerlang.wordpress.com