24 Oktober 2008

Rezeki penentu bahagia hiudp

Malam tadi, saya membaca MW terkini, seperti biasa antara siri yang tak pernah saya lepaskan ialah Diari Wartawan. Catatan Almaswa tentang keberkatan rezeki amat menarik perhatian saya. Hari ini, saya mempunyai temujanji dengan salah seorang kakitangan awam. Kebetulan perbincangan kami agak panjang, membawa ke waktu makan tengahari. Mengambil peluang untuk mencuba menu di tempat baru, saya menyertai rakan temujanji saya itu untuk makan di kafe berhampiran. Sambil menjamu selera, sempat juga saya tanyakan tentang persekitaran tempat tersebut. Menurut rakan temujanji saya itu, kebanyakan kakitangan di situ tinggal di rumah yang disediakan oleh pihak kerajaan dan kedudukannya tidaklah terlalu jauh dari tempat kerja.

Memandangkan keadaan tempat tinggal dan rumah yang dekat, terkeluar dari mulut saya… “Mudah lah yer kalau saper-saper yang dah berkahwin dan isteri tak kerja tu untuk balik makan kat rumah. “ Tersenyum rakan temujanji saya itu… “Bukan sekadar balik makan jer Su, kul 10 balik antar ikan, kul 12 balik makan, kul 3 petang baru masuk kerja semula..” Terkejut saya… “Betul ker?!!!” “Betul!! Tak ler semua.. tapi ada ler yang buat macam tuh!!” Saya terdiam. Sungguh saya terkejut. Bukan saya tak pernah jumpa dengan senario curi tulang tetapi sekadar buang masa berborak kosong, menjahit di depan komputer sedangkan kerja selambak… dah pernah jumpa dan maaf kerana terpaksa menyatakan senario tersebut, banyak terdapat di pejabat-pejabat kerajaan.

Teringat semula catatan Almaswa yang saya baca malam tadi. Teringat juga kata-kata Bapa saya yang sering mengingatkan kami adik-beradik: “Bila dah dapat kerja tu, buat kerja elok-elok. Kerja tu bukan setakat periuk nasi tapi tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul hingga ke akhirat”. Dari ilmu yang pernah saya pelajari juga, bahawa keberkatan rezeki itu adalah penentu kebahagiaan hidup. Bila rezeki berkat, barulah hidup akan bahagia dan ceria. Jika rezeki tidak berkat apatah lagi jika rezeki yang andaperolehi itu dari sumber yang haram, natijahnya kehidupan akan kacau bilau dan kebahagiaan tidak akan diperolehi.

Teringat saya kepada banyak kes gejala sosial yang berlaku kebelakangan ini. Apa punca sebenarnya? Kurang didikan agama? Kurang perhatian ibu bapa? Antara mereka yang terlibat, ada yang mempunyai pengetahuan agama, tahu apa hukumnya jika melakukan sesuatu perkara. Antara mereka yang terlibat juga mendapat perhatian dan sepenuh kasih sayang daripada ibu bapa. Faktor persekitaran? Mungkin juga… tapi saya teringat kepada satu hadis: Setiap apa yang anda lakukan bermula dengan niat. Bila bercakap tentang niat, sudah pasti ianya bermula di hati. Jika hati elok, maka perkara yang akan dilakukan itu pastilah elok juga. Sebaliknya jika hati rosak, memang segalanya akan rosak. Disebabkan hati rosaklah maka segala apa yang dilakukan adalah tidak kena dan tidak betul.

Melihat kepada senario dan cara kerja yang tercapai dek pengetahuan saya hari ini, saya percaya, sikap sambil lewa dan cuai ketika melakukan kerja adalah punca kepada berleluasanya masalah sosial sekarang ini. Ya lah… kerja anda adalah satu amanah. Walau sebagai amanah, anda tidak disuruh melakukan amanah tersebut secara percuma. Anda tetap diberi upah yang berupa gaji atau pendapatan anda pada setiap hujung bulan. Kalau anda tak menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada anda bererti anda dah makan gaji percuma. Bukan sekadar percuma tetapi anda seperti telah mencuri kerana telah melakukan satu kesalahan apabila tidak menjalankan kerja yang sepatutnya agar anda menerima gaji setiap hujung bulan.

Bila gaji yang anda terima adalah pendapatan yang sepatutnya tidak wajar anda terima maka kesimpulannya anda telah menerima wang dengan cara yang salah. Walau bukan hasil curi tetapi hampir sama tarafnya dengan wang curi kerana anda terima wang hasil anda curi tulang. Bila dah sama taraf bererti wang tersebut bukan dari sumber yang halal. Jika bukan dari sumber yang halal atau lebih tepat lagi adalah sumber yang haram, segala perbelanjaan anda untuk diri anda dan untuk menyara anak-anak dan isteri anda, atau bagi kaum wanita yang juga berkongsi tugas suami menguruskan kewangan keluarga, adalah dari sumber yang haram. Jika makanan yang dimakan oleh anda, pasangan anda dan anak-anak adalah dari sumber yang haram, mana mungkin hati yang menjadi punca kepada segala perlakuan dan tingkah laku akan suci bersih? Mana mungkin anda, pasangan anda dan anak-anak anda akan mudah menerima kebenaran atau ilmu? Mana mungkin anak-anak anda akan menjadi seorang yang bijak? Mana mungkin akan wujud kebahagiaan di dalam keluarga anda?

Perhatikan sekeliling. Saya pasti anda pernah jumpa satu keluarga yang hidup serba kekurangan, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang tetapi mempunyai kehidupan berkeluarga yang ceria dan bahagia… anak-anak bijak dan berjaya di dalam mengejar cita-cita. Saya juga pasti, anda pernah jumpa satu keluarga yang punya segala kemewahan harta benda tetapi hidup tidak ceria dan porak peranda. Tengok juga ke dalam diri anda, di manakah kedudukan anda tika ini? Apa sebabnya? Jika anda adalah antara golongan yang hidupnya sering bermasalah, kenal pasti diri sendiri, adakah anda antara golongan orang yang curi tulang? Anda ada jawapannya. Anda tentukan kebahagiaan hidup anda.!!!

Moga kita semua akan menjadi seorang yang benar-benar menjalankan amanah… moga kita akan bahagia di dalam hidup kita!!!

****Siaran April 2006

Tiada ulasan: