“Along, wajar atau tidak kita berubah demi memenuhi kehendak buah hati?” soal salah seorang adik saya baru-baru ini. Bila saya tanyakan kenapa, adik saya lantas menceritakan tentang seorang rakan serumahnya yang telah menghabiskan hampir RM4000 daripada wang pinjaman pelajarannya semata-mata memenuhi kehendak kekasih yang baru dikenali di dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Menurut adik saya, rakannya itu telah menjalani rawatan bagi menguruskan badan dan mencantikkan kulit muka. Saya cuba ingati rakan adik saya itu. Bagi saya yang pernah berjumpa dengannya, tindakan rakan adik saya adalah satu tindakan yang melampau. Rakan adik saya itu bukanlah gemuk sangat dan kulit mukanya pun, tak lah teruk sangat hinggakan sanggup menggunakan wang yang sepatutnya digunakan untuk pembelajaran, semata-mata memenuhi kehendak seorang yang hanya dikenali beberapa bulan walaupun dikatakan sebagai buah hati.
Ya! Memang kita wajar berubah demi insan yang disayangi tetapi perubahan yang patut dan wajar adalah dari segi perwatakan, bukan penampilan diri atau perubahan ‘body’. Saya teringat satu ayat penuh makna yang diucapkan oleh Sanjana, salah seorang heroin filem Mohabbatein kepada ayahnya yang maksudnya: Cinta bererti kita menerima seseorang itu seadanya. Jika kita perlu berubah untuk seseorang itu menerima kita, itu bukan cinta tetapi kompromi.
Memang jelas maksud kata-kata tersebut kan? Ya, kita benar seseorang itu cintakan kita, dia akan menerima diri kita seadanya. Tidak salah jika si dia inginkan kita berubah dalam aspek perwatakan tetapi bukan perubahan yang melampau. Sebagai contoh, si dia mengenali anda sebagai seorang yang peramah, ceria dan cepat mesra, apabila anda menjadi miliknya (dalam erti kata saling menyintai), tiba-tiba anda disuruh bersikap pendiam dan dilarang bergaul dengan orang lain, larangan tersebut adalah larangan yang tidak wajar. Hatta jika sebagai suami isteri sekali pun, anda tidak berhak disuruh berbuat demikian. Kenapa? Tanyakan kepadanya, kenapa dia memilih anda jika dia tidak suka dengan perwatakan anda sebelum ini hingga memaksa anda melakukan perubahan?
Lazimnya, jika pasangan anda bersikap sebegini, punca utama adalah kerana cemburu. Saya tau, cemburu tanda sayang tetapi nak cemburu pun, biarlah kena pada tempat seperti yang pernah saya bincangkan sebelum ini. Sama juga jika anda mengenali si dia sebagai seorang yang pendiam dan jarang berbicara. Jangan pulak bila si dia menjadi milik anda, anda nak komen dan bising-bising dia terlalu pendiam dan jarang melayan bicara anda. Dah itu pilihan anda. Kenapa nak komen dan minta si dia berubah sesuka hati anda?
Namun, ada pengecualiannya pula. Jika anda disuruh berubah ke arah yang lebih baik dan demi memenuhi kehendak syarak, maka anda wajib mengikut kehendak pasangan anda. Sebagai contoh, suami mengarahkan isteri supaya berpakaian menutup aurat maka isteri wajib berpakaian menutup aurat seperti yang diarahkan oleh suami walaupun sebelum itu, si suami mengenali si isteri sebagai seorang yang berpakaian tidak menutup aurat. Sebaliknya, jika suami melarang isteri berpakaian menutup aurat sama ada si isteri memang telah berpakaian menutup aurat atau si isteri baru belajar berpakaian menutup aurat, larangan suami boleh dipedulikan kerana kehendak syarak adalah lebih utama. InsyaAllah, satu hari nanti saya akan bincangkan dengan lebih terperinci tentang konsep ketaatan kepada suami.
Jika perwatakan yang munasabah tidak wajar diubah, apatah lagi dengan perubahan fizikal. Seperti di dalam kes rakan adik saya, apa sebenarnya yang kekasihnya itu inginkan? Jika sukakan rakan adik saya, kenapa meminta beliau mengubah bentuk badan dan wajah? Kalau tak suka dengan fizikal rakan adik saya itu, kenapa ingin mendekati dan menyintai? Kalau sukakan orang yang berfizikal lebih kecil dan wajah yang lebih cantik, carilah orang lain yang menepati kehendak diri, kenapa perlu ubah fizikal orang lain menjadikan seperti yang anda sukai? Apakah anda benar-benar cinta atau sekadar bermain kata?
Apa bukti anda benar-benar menyintai jika anda inginkan perubahan mengenai segala tentang dirinya? Dia lebih Mengetahui tapi saya tak yakin benar-benar ada cinta di sini. Jika benar cinta, terima dia seadanya. Jika benar cinta, jangan bebankan dirinya. Jika anda dibebani dan anda disuruh berubah demi memiliki kasihnya, sungguh itu bukan cinta tetapi kompromi.
Kompromi dan cinta adalah dua perkara yang berbeza. Cinta adalah penerimaan seadanya. Kompromi pula adalah penerimaan bersyarat. Jika bersyarat, bagaimana boleh dipercayai ianya cinta? Cinta bersyarat? Sejatikah cinta jika bersyarat? Mungkin ada orang yang tidak kisah untuk berubah asalkan dicintai. Fikirkan, apa yang akan terjadi jika tiba satu masa, anda kembali seperti sedia kala? Tidakkah si dia akan berubah hati? Apakah akan ada cinta sejati yang kekal dan abadi hingga akhir hayat nanti?
Tarik nafas dalam-dalam. Tenangkan fikiran. Fikirkan, berbaloikah segala apa yang anda lakukan demi si dia tersayang? Jangan butan kerana cinta. Kelak diri sendiri yang merana.
****Siaran Mac 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan