Seperti yang saya jangkakan, isu Nilai Ego Lelaki mendapat reaksi hangat daripada pembaca. Pembaca wanita semestinya menyokong, memang menepati jangkaan. Namun, yang mengejutkan saya ialah terdapat beberapa enel daripada para suami yang menyetujui dan menginsafi kesalahan diri. Syukur alhamdulillah. Tapi… yang membuatkan saya tergelak sendiri ialah beberapa emel daripada beberapa lelaki. Saya tak tau sama ada mereka itu seorang suami atau tidak, namun saya lebih yakin, lelaki-lelaki itu adalah suami kerana isu Nilai Ego Lelaki menyentuh tentang lelaki berstatus suami. Kenapa saya tergelak sendiri?
Mungkin bagi setengah orang, emel-emel itu akan membuatkan jiwa dan perasaan menggelegak. Ya, emel-emel itu meluahkan rasa marah, geram malah ada yang mengutuk saya berhabis-habisan. Saya tak marah. Kenapa? Kerana saya pasti apa yang saya bincangkan di dalam topik tersebut bukan perbincangan kosong. Bila ada yang memberi respons melampau bererti ada yang bengang. Bila ada yang bengang bererti ada yang terasa. Nak terasa hanyalah bila orang itu melakukan seperti apa yang dibincangkan. Tak gitu? Sebab itu lah saya gembira. Kegembiraan saya itulah yang akan saya kongsikan sekali lagi dengan para pembaca semua.
Merujuk kepada tajuk perbincangan, sudah terhantuk masih enggan tengadah. Itulah kata-kata yang memang layak ditujukan kepada para suami yang sedar tentang kesilapan dan kesalahan diri tetapi masih enggan mengakuinya. Seperti yang saya terangkan dahulu, itulah keegoan lelaki. Ya, bukan semua lelaki ego. Sebab itu saya telah berikan statistik hasil kajian seorang pakar psikologi tentang keegoan lelaki ini. Bukan semua, mengikut nisbahnya, dalam sepuluh hanya seorang sahaja yang lebih rela terlondeh seluar daripada terjatuh ego. Kalau anda bukan yang seorang itu, kenapa nak marah-marah? Kenapa nak maki hamun saya sampai melibatkan soal keturunan dan asal kejadian saya? Kalau anda tak makan cili, kenapa anda yang rasa pedasnya?
Masalahnya, seperti yang saya katakan tadi lah…. dengan rela hati memakan cili, bila dah terasa pedas, mengamuk sampai lupakan diri? Alahaii.. sampai bila nak teruskan sikap sebegini? Sikap mengamuk kepedasan atas pilihan sendiri ini bukan sahaja ada pada lelaki dan suami. Saya akui, ada juga kaum wanita dan para isteri yang bersikap sedemikian. Kerana ego? Ya, saya akui wanita juga mempunyai egonya tersendiri cuma bezanya, peratusan lelaki yang mempertahankan keegoan diri adalah lebih tinggi berbanding wanita atau isteri, lantaran itulah suami atau lelaki lebih sinonim bila perkataan ego disentuh atau dbincangkan.
Saya mohon maaf kepada para suami yang ‘marah gila’ dengan isu Nilai Ego Lelaki. Seperti yang saya tegaskan, saya tidak berniat menjatuhkan sesiapa. Saya cuma berusaha menegakkan satu realiti dan kebenaran dengan harapan kekusutan dapat dirungkaikan. Untuk merungkaikan kekusutan, semua orang tak kira wanita, lelaki, suami atau isteri malah saya sendiri, kita semua perlu tengadah apabila telah terhantuk. Bererti, jika kita disedarkan tentang kesalahan dan kesilapan kita, kita perlu memikirkannya dengan tenang, teliti dan mempertimbangkannya. Mungkin tidak semua teguran orang itu benar dan betul tetapi kita harus ingat, jika ada komen atau aduan mengenai diri kita, maksudnya ada sesuatu di dalam diri kita yang tidak menyenangkan diri orang lain. Itu juga bererti, kelemahan kita telah cuba dibaiki oleh orang lain.
Yaaa… kita tidak dapat memenuhi semua hajat dan kehendak orang lain tetapi jika boleh berusaha memberikan yang terbaik. Paling penting, jika pasangan anda menegur tentang kesilapan anda. Kalau suami menegur, biasanya isteri akan menurut walau tak semua. Kalau isteri yang menegur, biasanya suami akan buat tak tau walau tak semua. Oppsss… nanti dulu. Jangan marah dulu. Memang saya memberikan dua situasi yang berbeza dan ianya memang menjurus kepada lelaki yang lebih tidak dengar kata. Bukan bererti saya membenci lelaki kerana suami saya lelaki, bapa saya lelaki dan saya mempunyai adik dan anak lelaki. Apa yang saya jelaskan adalah kebenaran. Sememangnya, kebanyakan suami jarang mendengar kata nasihat isteri kerana bagi suami, dia adalah ketua rumahtangga. Dah nama ketua, mana pulak orang bawah senang-senang jer nak komen itu ini. Sikap inilah yang perlu kita ubah.
Setiap orang inginkan kebahagiaan di dalam perkahwinan. Seperti yang selalu saya ingatkan, perkahwinan adalah perkongsian hidup. Berkongsi suka, duka, cinta, harta, jiwa dan kata-kata. Setiap suami berhak menegur kesilapan isteri begitu juga setiap suami patut dan wajar mendengar nasihat dan teguran isteri. Memang isteri terkenal dengan bebelan namun bebel isteri adalah kerana kasih sayang. Ingat lagi perbincangan saya mengenai bebelan isteri satu masa dulu? Bukak semula majalah kesayangan anda ini bil.1095 dan 1096, anda akan dapat jawapannya.
Hingga jumpa lagi minggu depan, berhati-hati agar tidak terhantuk dan jika sudah terhantuk, berusaha agar tidak akan terhantuk untuk kali kedua. Kita yang mencorakkan kehidupan kita. Kita nak bahagia dalam erti kata sebenar, kita perlu ubah diri kita menjadi yang terbaik, bukan untuk diri kita sahaja tetapi untuk pasangan dan anak-anak kita.
****Siaran Mac 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan