Seorang isteri meluahkan rasa tidak puas hati, geram malah marah dengan sikap suaminya yang enggan memohon maaf dan mengakui kesilapan sendiri walau memang nyata suaminya yang bersalah. Bukan sekali tetapi sudah acap kali. Bukan sekadar enggan memohon maaf tetapi si suami bersikap seperti tak ada apa-apa yang berlaku. Bagai tiada apa-apa perkara salah yang dilakukannya. Paling menyakitkan hati, setiap kali perang dingin meletus berpunca daripada kesalahan suami, isteri jugak yang perlu mengalah. Terpaksa berkomunikasi dengan suami seperti biasa, seperti perang tidak pernah ada dan setiap kali itu juga, kesakitan dan kepedihan hati isteri terpaksa dipujuk sendiri. Hmmm…. bukan kes luar biasa kan? Namun, apa yang menarik minat saya berkaitan emel ini ialah, satu soalan yang diajukan kepada saya, tinggi sangatkah nilai ego lelaki?
Camana saya nak jawab yer? Sebab saya pun tak pernah tanya berapa harga ego lelaki di pasaran? Cuma saya takkan lupa satu ayat penuh makna di dalam satu artikel yang saya pernah baca: Lelaki lebih rela terlondeh seluar daripada terjatuh ego. Maaf jika bunyinya agak lucah tetapi itulah hakikatnya. Kata-kata yang dikeluarkan itu pun, bukan berdasarkan cerita atas angin tetapi ianya berdasarkan satu hasil penyelidikan. Sememangnya kaum lelaki, walau bukan semua tetapi hampir 93% daripadanya, sukar memohon maaf, walau hakikatnya dia yang bersalah. Jangankan memohon maaf, mengakui kesalahan sendiri apatah lagi. Baki 7% tu pulak, 5% sekadar mendiamkan diri apabila diajukan mengenai kesalahannya dan hanya 2% yang mengakui kesilapan diri. Lantaran, pembaca semua boleh agak sendiri betapa tingginya ego lelaki kan?!!
Saya yakin, pembaca lelaki akan marah dengan perbincangan kali ini. Apa boleh buat, saya berusaha menegakkan benang yang kering walau ternyata sukar. Kenapa sukar? Kerana bagi lelaki, mengakui kesalahan bukan menjatuhkan ego tetapi demi menjaga maruah diri di hadapan perempuan, apatah lagi di hadapan isteri? “Kita sebagai ketua keluarga, sebagai suami, mana boleh mudah jer nak mohon maaf. Nak akui kesilapan? Isyyy… kiamat dunia pun, tak wajar lelaki sejati mengakui kesilapan sendiri. Perempuan ni, kita kena tunjuk power, tunjuk kuasa, baru ler dia hormat dan takut pada kita…..”
Ini adalah kata-kata lelaki yang pernah sampai ke telinga saya. Jika saya tak bertudung, saya pasti orang lain yang ada di sekeliling akan perasan betapa merahnya telinga saya menahan marah. Kalau ada yang perasan air muka saya, memang taulah saya sedang marah. Memang saya marah. Bayangkan, lelaki ini tidak berikan wang belanja kepada isteri dan anak-anak. Bila isteri menagih hak, suami buat tak peduli. Bila isteri tidak menyediakan hidangan kerana tiada wang belanja, suami marah-marah, bukan setakat marah malah si isteri yang malang ini turut dibelasah. Ini bukan cerita rekaan. Saya mendengar pengakuan lelaki yang tersampukkan setan ini di sebuah hentian kenderaan awam, ketika dalam gerimis hujan, menunggu kenderaan untuk pulang daripada kerja. Memang setan kan???
Ingin saya tanyakan kepada kaum lelaki, khasnya para suami, power apa yang anda nak tunjuk? Kuasa apa yang anda nak dedahkan? Kalau sekadar tahu mengaku diri sebagai ketua keluarga, mengakui diri sebagai suami dan ingin dihormati tetapi gagal jalankan peranan dan tanggung jawab, tak perlu cakap banyak ler… menghabiskan liur jer. Itukah ego yang anda nak jaga? Maruah yang anda nak pelihara? Isteri dan anak-anak tak terjaga…. makan minum isteri dan anak-anak pun harapkan ihsan dan pertolongan isteri, buat malu diri sendiri jer!!! Jangan melatah, sungguh…. fenomena rumah tangga masyarakat sekarang ini mendedahkan bahawa kebanyakan para suami era globalisasi ketika masing-masing mengejar kemajuan ini, adalah para suami yang gagal menjalankan peranan dan tanggung jawab mereka dengan sempurna. Saya belum ada statistik terperinci mengenai perkara ini tetapi sedang dalam proses menyediakannya.
Apa yang dapat saya nyatakan untuk perbincangan kali ini ialah, kebanyakan para suami sekarang ini hanya menggunakan ‘satu senjata’ yang ada untuk menunaikan tanggung jawab sebagai suami. Itu pun, bukan sebenarnya menunaikan tanggung jawab tetapi memenuhi tuntutan sendiri. Tanpa senjata anugerah Ilahi itu, secara kasarnya, memang hampehhhh ler!!! Jangan marah kerana memang itu lah realitinya. Kebanyakan kes yang berlaku, suami mengabaikan tanggung jawab memberikan nafkah zahir iaitu makan minum, pakaian dan belanja-belanja lain yang perlu. Kalau tanya bab nafkah batin pulak, memang 100% malahan isteri pulak yang terpaksa cari jalan mengelak diri.
Saya bukan nak mempertikaikan hak kaum lelaki tetapi saya nak berikan keadilan kepada kaum wanita bagi mendapatkan hak mereka. Kalau nak buktikan kuasa dan power anda sebagai suami, buktikan dengan sesungguhnya anda adalah suami yang hebat dalam segala hal, dalam segala perkara dan bukan hebat di ‘satu tempat’ jer. Jangan pulak nak jaga ego tapi tak kena tempat. Kepada kaum wanita khasnya kaum isteri, bersabar selagi daya. Terpaksa mengalah bukan bererti anda kalah. Satu hari, kemenangan pasti menjelma.
****Siaran Februari 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan