21 Mac 2009

Belajar kawal rasa marah

Minggu lepas, saya dah bincangkan perlunya perasaan dan emosi diluahkan. Jika dipendam, bahayanya bukan hanya pada diri sendiri tetapi melibatkan orang lain termasuk insan-insan tersayang di sekeliling kita. Minggu ini, saya masih nak bincangkan mengenai isu yang hampir sama yang jika gagal dibendung, juga akan membahayakan diri sendiri dan insan-insan tersayang iaitu bagaimana caranya untuk mengawal rasa marah. Semua orang tau, marah adalah satu perasaan yang ada pada setiap orang. Memang perkara yang tidak normal jika ada yang mengakui, tak tau nak marah atau tak pernah nak rasa marah. Bezanya antara setiap individu ialah bagaimana perasaan marah ini dikawal. Rasulullah s.a.w sendiri mempunyai rasa marah. Baginda marah apabila penduduk Thaif menghina Islam hingga cuping telinganya merah tetapi baginda mampu menahan rasa marah. Di dalam satu hadis menjelaskan: Mereka yang benar-benar seorang satria ialah mereka yang mampu mengawal diri mereka daripada marah.

Ada yang cakap, kalau dah marah tu memang segalanya boleh lupa. Inilah yang perlu dielakkan. Walaupun marah adalah emosi yang normal tetapi rasa marah ini perlu dikawal dan sememangnya ia masih boleh dikawal oleh anda sendiri. Tak kiralah anda marahkan sesiapa… isteri, suami, anak, kawan, saudara, ibu bapa atau sesiapa sahaja, anda perlu kawal rasa marah anda. Walaupun anda marahkan rakan sepejabat tetapi jika marah anda tidak dikawal, marah anda itu boleh merebak menyebabkan anda akan turut memarahi anak-anak dan isteri atau suami anda. Persoalannya, bagaimana kita nak kawal diri daripada marah?
Ada dua perkara penting untuk mengawal rasa marah iaitu mengawal fikiran dan pertimbangan anda jangan sampai dikuasai sepenuhnya oleh emosi dan meluahkan rasa marah itu secara bijak.

Seperti yang selalu saya tegaskan, diri anda dikawal sepenuhnya oleh diri anda sendiri. Jika fikiran anda percaya anda boleh melakukannya, insyaAllah anda mampu melakukannya. Sama jugalah dengan mengawal rasa marah. Apabila berlaku sesuatu perkara atau sebab yang boleh menyebabkan anda marah, cepat-cepat sampaikan mesej kepada fikiran anda supaya bersabar. Sebagai Muslim, anda boleh cepat-cepat ucapkan perkataan astaghfirullah atau sebut kalimah Allah berulang kali. Inilah yang saya lakukan setiap kali rasa marah mengacau saya hinggakan anak-anak juga mengucapkan perkataan yang sama apabila marah sesama sendiri. Apabila anda mampu bertindak sedemikian secara tidak langsung anda telah berjaya mengawal pemikiran anda agar mengawal emosi anda. Apabila emosi anda telah dikawal oleh pemikiran, anda pasti dapat mempertimbangkan situasi yang berlaku dan keputusannya, walaupun anda masih rasa marah, ianya akan dapat diluahkan secara bijak dan terkawal.

Di dalam kes rumahtangga pula, jika berlaku pergaduhan atau pertengkaran antara anda dan pasangan anda, anda perlu mengawal keadaan pergaduhan tersebut. Jika anda dapati pasangan anda gagal mengawal emosi marahnya lagi, anda perlu mendiamkan diri dan biarkan pasangan anda meluahkan rasa marahnya WALAUPUN ANDA DI PIHAK YANG BENAR. Jika anda sendiri merasakan tidak mampu lagi berdepan dengan keadaan tersebut, jauhkan diri anda daripada ketegangan yang berlaku. Perlu diingat, api akan membesar jika dicurah minyak. Untuk memadam api, anda perlukan air. Jika anda mampu menjadi air, bertahanlah. Jika tidak, jalan terbaik untuk tika dan saat itu ialah ‘melarikan diri’ buat seketika. Bila rasa marah anda telah reda, kembalilah dan jika anda dapati kemarahan pasangan anda dah reda, mulakan perbincangan secara baik, insyaAllah masalah akan dapat diselesaikan.

Anda juga perlu bijak meluahkan rasa marah anda. Jangan kerana orang yang anda marah itu lebih lemah maka anda bertindak sesuka hati hingga melanggar batas-batas kemanusiaan. Luahkan marah biarlah kepada orang yang anda marah, bukan orang lain. Memang ada orang yang anda tak boleh nak marah sebagai contoh, isteri yang mempunyai suami yang kaki marah hinggakan isteri takut untuk marahkan suami walaupun mempunyai rasa marah yang amat sangat. Jangan sesekali simpan rasa marah ini, luahkanlah kerana marah yang dipendam lebih membahayakan. Tetapi, jangan luahkan kepada orang yang tidak patut anda marahi. Anda boleh lepaskan marah anda dengan menulis apa yang ingin anda luahkan pada sekeping kertas. Anda boleh juga bayangkan orang yang anda marah di hadapan anda dan lepaskanlah rasa marah anda. Cara yang dianjurkan oleh Islam, cepat-cepatlah berwuduk. InsyaAllah marah anda akan reda kepada marah yang anda rasai itu datangnya daripada syaitan. Anda juga boleh mandi atau berenang di kolam atau apa saja asalkan anda akan rasa sejuk.

Perkara paling penting, jangan benarkan diri anda bertindak kasar dan keras semata-mata untuk melepaskan rasa marah terutamanya kepada anak-anak. Jika anda dah biasakan diri anda dengan menjerit dan memekik ketika marah, sikap tersebut akan menjadi satu perkara biasa dan tidak mustahil, bermula dari jeritan dan pekikan, anda akan mula menampar dan memukul. Kesannya, sikap ini akan menjadi satu kebiasaan dan akan terjadilah kes deraan kepada isteri, anak-anak atau sesiapa saja di sekeliling anda. Anak-anak yang sering dimarahi ketika membesar walaupun hanya kerana kesalahan kecil, akan terbiasa dengan sikap marah tersebut dan memungkin dirinya menjadi seorang yang pemarah di belakang. Sikap marah tidak membawa apa-apa kebaikan kepada diri dan orang sekeliling anda. Ingatlah… senakal mana pun anak-anak anda, jangan biasakan dengan memarahi atau memukul mereka. Mendidik anak-anak bukan dengan kekerasan tetapi tegas dan penuh kasih sayang.

****Siaran Mac 2007

1 ulasan:

Nannyy NanO berkata...

memang kadang2 kite tak dpt mengawal rasa marah... Saya sendiri sering mengingatkan diri saya spy sentiasa bersabar dgn kerenah anak...
Hurmm..itu baru sorang..agak2 kalo 2-3 org...saya tak tau lar boleh tahan ke tak.