03 Mac 2009

Segalanya di dalam diri anda

12hb Januari datang lagi. Kali ini puteri sulung saya, Ayuni Syafiqah menyambut ulangtahun kelahirannya yang keempat. Begitu cepatnya masa berlalu sedangkan masih terasa macam baru jer semalam stesen minyak Petronas Sg Perak arah ke utara menyaksikan saya melahirkan puteri saya itu di dalam kereta. Memang pengalaman yang cukup indah walau agak melucukan dan ada juga kisah yang agak mengerikan. Melucukan bila saya tak sedar puteri saya itu dah menangis di lantai kereta. Mengerikan bila saya dapat tau, luka yang saya alami kesan bersalin dalam keadaan separuh duduk itu perlu dicuci dan dijahit, berkemungkinan melebihi 15 jarum. Tambah mengecutkan perut bila doktor berpesan: Tahan sikit sakit yer sebab memang sakit jugak walau dah disuntik ubat bius. Aduhhh! Walaupun saya ni tangkas dan keras namun saya paling tak tahan sakit. Dengar jer nak kena suntik pun, saya boleh jadi demam tiba-tiba.

Mungkin ada yang pelik… ruangan apa yang sedang ditatap sekarang, resipi hidup atau pengalaman bersalin? Maafkan saya, bukan nak jadikan ruangan ini diari sendiri cuma nak kongsi pengalaman tentang bagaimana diri anda sendiri sebenarnya menjadi pemangkin kepada apa yang anda inginkan dan anda rasai. Atas kepercayaan itulah juga, kesakitan yang saya alami ketika menjalani proses rawatan luka bersalin hanya terasa bagaikan digigit semut dan tempoh masa hampir setengah jam kerana melibatkan proses jahitan 18 kali berlalu bagai sekejap cuma. Kenapa? Kerana tika proses jahitan bermula, saya membawa diri saya meneroka keseronokan melayan telatah bayi saya. Alhamdulillah, ilmu yang saya pelajari sekian lama akhirnya dapat saya praktikkan. Ilmu inilah yang ingin saya kongsi dengan pembaca semua kali ini. Bukan ilmu menahan sakit, bukan ilmu yang pelik-pelik tetapi sesuatu yang cukup mudah dan ada dalam diri anda sendiri: kuasai minda.

Pernah dengar lagu: Jika kau fikirkan kau boleh, kau pasti boleh melakukan, jika kau fikirkan ragu-ragu, usahamu tidak menentu…. Melodi lagu ini bukan sahaja sedap didengar malahan liriknya amat bererti. Yang sedihnya, tak semua yang mendendangkan lagu ini mengerti apa yang dinyanyikan. Bukan itu sahaja, ada yang meluahkan kepada saya betapa seronoknya mengikuti perbincangan demi perbincangan di ruangan ini dan beberapa ruangan motivasi diri yang lain namun masih belum mampu mencari kebahagiaan sendiri. Paling menyedihkan saya apabila menerima emel dan sms daripada isteri-isteri yang meluahkan rasa macam nak gila malah rasa bagai nak bunuh diri apabila mengetahui suami ada orang ketiga. Kenapalah sampai begitu jadinya?

Saya tau, soalan saya tadi akan menimbulkan jawapan beberapa pihak: Kau tak rasa, senanglah kau cakap. Malah ada komen yang saya terima: Tak semua orang bertuah seperti awak. Alhamdulillah, terima kasih kerana mendoakan perkara yang baik untuk saya. Cukuplah saya khabarkan, kita semua manusia yang tak dapat lari daripada ujian-Nya. Biar apa pun ujian yang diterima, hakikatnya seperti tajuk perbincangan saya kali ini, segalanya adalah di dalam diri anda. Bagi saya, setiap ujian yang saya alami sepanjang hidup ini bukanlah satu masalah sebaliknya adalah satu cabaran untuk saya terus membina kehidupan selagi hayat dikandung badan. Lantas, apabila sesuatu itu menjadi cabaran, saya akan berusaha sedaya mampu di samping berdoa agar saya mampu melepasi cabaran tersebut. Bukan sekadar berjaya melepasi cabaran tetapi mengharapkan agar Allah memberikan saya yang terbaik dan tak semestinya impian dan harapan saya adalah yang terbaik untuk saya.

Jika apa yang saya terima adalah di luar impian saya, saya cuba untuk terima walau saya tak nafikan, saya tetap rasa sedikit kecewa kerana saya juga manusia biasa. Bezanya saya tak biarkan kekecewaan terus mengganggu keceriaan saya. Kenapalah nak menangis sepanjang masa memikirkan sebuah kesedihan hingga mengganggu urusan kehidupan yang lain? Penat sebenarnya jika membiarkan emosi melayan hati dan perasaan. Bagi saya, apa juga yang saya alami hari ini atau semalam, dah pun berlaku dan esok, akan tetap hadir dan saya perlu bersedia untuk menghadapi hari esok agar kelukaan dan kepedihan yang telah dialami tidak berulang. Inilah yang saya lakukan hingga ada antara pembaca yang mengatakan, saya cukup bertuah. Alhamdulillah.

Bukannya meninggi diri atau mendabik dada, saya sekadar menyatakan sebuah realiti. Itulah yang saya lakukan bila ditimpa ujian. Jika saya boleh malah saya pasti, masih ramai lagi yang boleh menghadapi liku hidup lebih baik daripada saya, kenapa anda tidak? Jangan sesekali tanamkan dalam fikiran: aku tak boleh… aku tak mampu… aku dah penat atau apa sahaja yang boleh memadamkan semangat anda. Saya faham, ada kalanya semangat akan pudar tetapi jangan sampai terus padam. Jika anda biarkan semangat anda padam, anda sendiri yang susah sebab orang lain takkan boleh membantu anda menyemarakkan semangat anda kecuali diri anda sendiri. Bacalah seberapa banyak artikel motivasi, dengarlah sebanyak manapun ceramah jati diri namun jika anda sendiri tiada kehendak dan inisiatif untuk menebalkan semangat diri anda, segala pembacaan dan ceramah hanyalah sia-sia.

Paling penting, simpan dalam fikiran… aku lakukan semua ini demi hidup yang diredhai Ilahi. Bila anda mempunyai pegangan sedemikian, anda akan mudah redha dengan ujian yang datang dan tidak akan patah semangat untuk mencari hikmah yang tersembunyi di sebalik ujian yang anda alami. Pasti ada cara, jalan dan ikhtiar untuk anda mendepani hari muka. Sebagai penyuntik semangat juga, lihatlah insan lain yang lebih teruk ujian hidupnya, pasti anda akan rasa betapa bertuahnya anda. Boleh juga membandingkan diri dengan mereka yang hidup lebih ceria cuma anda perlu jadikan keceriaan orang lain itu sebagai satu penawar bahawa akan tiba masanya, anda juga mampu hidup ceria dan bahagia seperti mereka.

Sempena tahun 2007 yang baru bermula dan sempena tahun baru hijrah yang juga akan bermula minggu hadapan, sama-samalah kita membina kekuatan di dalam diri kerana segala apa yang kita ingini, semuanya bermula dari diri sendiri…

****Siaran Januari 2007

Tiada ulasan: