19 Mac 2009

Jangan pendam perasaan

Masih ingatkah anda tentang kisah seorang suami yang membunuh diri dengan meminum bahan peluntur selepas membunuh dua anaknya? Paling tragis, kisah seorang isteri yang melepaskan geram dan amarah kepada suaminya yang hendak berkahwin lagi hingga sanggup menjerut leher dua anak kandungnya sendiri menggunakan wayar sterika. Menitis air mata saya apabila membaca kisah menyayat hati tersebut. Apalah salah si kecil berusia enam tahun dan 17 bulan itu? Jika marahkan suami, kenapa si kecil yang tak tau apa-apa itu menjadi mangsa? Nak katakan si ibu bersifat zalim? Hakikatnya, mana ada ibu yang sanggup melukakan anak sendiri, yang dikandungnya lebih daripada sembilan bulan, yang sanggup digadaikan nyawa untuk melahirkannya ke dunia?

Terus terang, jika saya melihat suami terlebih marahkan anak-anak, saya sendiri akan rasa sedih dan nak marah. Sebab hanya ibu yang mengandung dan melahirkan anaknya sendiri akan rasa betapa anak-anak adalah segalanya di dalam hidup mereka. Namun, di dalam kes ini, satu perkara yang pasti adalah, si ibu bertindak di luar kawalan fikiran dan emosi. Saya yakin, si ibu tidak berada di dalam keadaan waras ketika melakukan pembunuhan tersebut. Sama seperti kes-kes yang pernah kita dengar sebelum ini: seorang bapa mengelar leher anak-anaknya sendiri, anak didera hingga mengalami kecederaan teruk oleh ibu atau ayahnya sendiri dan berbagai kes lagi. Hakikatnya semua kes ini adalah sama iaitu pelaku jenayah luar batas kemanusiaan ini berada di dalam keadaan fikiran dan emosi yang tidak stabil. Yang nyata juga, mereka ini mempunyai masalah yang mengganggu fikiran dan emosi mereka.

Sebenarnya, setiap individu yang hidup di muka bumi ini memang tidak dapat lari daripada masalah ataupun secara jelas, masalah itulah ujian hidup. Sebagai seorang Muslim, kita wajib percaya bahawa setiap apa yang Allah berikan kepada kita adalah ujian: kepayahan, kesenangan, kemewahan harta benda, masalah kewangan, suami, isteri malahan anak-anak, segalanya yang ada di sekeliling kita adalah ujian untuk kita. Ujian diberikan untuk kita lebih dekat dan hampir kepada-Nya, untuk menguji sejauh mana kebergantungan kita kepada Allah yang Maha Esa. Namun, walaupun itulah konsep ujian yang perlu kita terima, tidak bererti setiap masalah yang kita hadapi perlu kita biarkan berlalu pergi tanpa sebarang ikhtiar untuk menyelesaikannya. Penyelesaian boleh berlaku dengan cubaan untuk menamatkan masalah tersebut ataupun mengurangkannya atau juga membuang tekanan perasaan yang lahir kesan daripada masalah yang dihadapi.

Tekanan perasaan bermula daripada rasa hampa, kecewa dan amarah yang disimpan. Saya teringat luahan seorang isteri yang kini telah membenci suaminya sendiri gara-gara tidak puas hati dengan sikap suami yang terlalu mengikut kehendak ibunya hingga sanggup mengabaikan rumahtangga sendiri. Ini satu kesan daripada rasa emosi yang disimpan dan tidak diluahkan. Saya faham, ada individu yang tak mahu cari pasal, biarlah rasa sedih, kecewa atau tidak puas hati dipendam asalkan rumahtangga tak kecoh dan bising. Sikap ini bukan sikap yang baik untuk anda dan rumahtangga anda sebaliknya akan mendatangkan masalah yang lebih besar hingga boleh meragut nyawa seperti kes di awal perbincangan tadi, nauzubillah.

Saya akui, ada yang berpendapat hal rumahtangga atau apa yang berlaku antara suami isteri adalah rahsia yang tidak boleh diketahui oleh orang lain. Saya akui kebenaran pendapat tersebut dengan sedikit pembetulan, bukan semua perkara yang berlaku antara suami isteri adalah rahsia. Jika anda mengalami kepayahan di dalam hidup berumahtangga sebagai contoh anda didera emosi dan fizikal, kisah anda itu bukan lagi rahsia yang perlu disimpan rapat. Hatta kes di tempat tidur boleh diceritakan kepada pihak yang berkuasa sekiranya diperlukan. Yang penting, anda luahkan kepada seseorang yang boleh anda harapkan dan anda percayai boleh simpan rahsia anda. Mungkin sahabat anda, mungkin kakak anda atau sesiapa sahaja yang boleh berkongsi kisah dengan anda.

Jangan tersilap cerita pula, bimbang masalah yang diharapkan selesai akan membuatkan anda lebih bermasalah sebabnya dah banyak juga kes harapkan pagar, pagar makan padi. Kalau tak yakin untuk meluahkan kepada insan di sekeliling anda, anda boleh cari seseorang yang anda yakini mampu menolong anda. Paling tidak pun, luahkan rasa sedih dan kecewa anda ke dalam buku catatan anda. Tuliskan semuanya…. percayalah, apabila segala yang bersarang di fikiran anda diluahkan walaupun belum ada jalan ke arah penyelesaian, anda akan rasa lega. Terasa bagai segala masalah yang terbuku selama ini pergi begitu saja. Biarlah walau untuk seketika kerana luahan demi luahan tidak akan menyebabkan anda mengalami tekanan perasaan.

Paling penting, jangan lupa mengadu dengan Allah yang Maha Berkuasa. Aduan kepada-Nya bukan hanya pada masa sedang solat tetapi pada setiap masa. Allah itu Maha Mendengar segala apa yang hamba-Nya luahkan. Luahkanlah kekecewaan dan kesedihan anda kepada-Nya. Mohonlah agar anda diberikan kekuatan untuk menghadapi segala ujian-Nya. Jika tidak mampu lagi menghadapi ujian-Nya, adulah bahawa anda sudah penat dengan ujian yang dihadapi dan mohon agar Allah memberikan anda ketenangan di dalam hidup. Jika sikap suami atau isteri yang membuatkan anda derita dan kecewa, mohonlah agar Allah mengubah sikap pasangan anda kepada sikap yang menyenangkan hati anda. Jika masalah anak-anak yang membelenggu fikiran dan perasaan anda, mohonlah agar anak-anak tidak memberikan masalah kepada anda lagi. Ringkasnya, segala apa yang anda inginkan dan hajatkan, luahkanlah kepada-Nya kerana sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan akan berpegang dengan janji-Nya untuk menunaikan permintaan anda, insyaAllah.

****Siaran Mac 2007

Tiada ulasan: