14 Mac 2009

Isteri sanggup dimadukan jika

Memenuhi janji saya pada minggu lepas, kali ini saya akan bincangkan mengenai betapa para isteri yang sering dikatakan anti poligami, sebenarnya bersedia dan rela dimadukan oleh suami jika kena dengan syarat-syaratnya. Fahami maksud saya ya… isteri!! Bererti bukannya gadis atau wanita yang merelakan diri masuk ke dalam hidup sepasang suami isteri. Tak percaya? Kenapa tidak? Jika kehendak dan ketetapan yang ada di dalam keizinan berpoligami dilaksanakan, poligami sebenarnya adalah BONUS kepada para isteri. Bukan bonus kerana akan memperolehi payung emas di akhirat tetapi bonus di dalam menjalani kehidupan seharian di dunia ini juga. Saya bukan bercakap kosong tetapi mempunyai fakta. Memang saya akui, kebanyakan wanita yang kalau saya boleh nisbahkan daripada 10 orang, nak dapat seorang isteri yang sanggup menerima kehadiran wanita lain di dalam hidup suaminya memanglah payah. Ada yang meluahkan kepada saya rasa bagai nak gila bila mengetahui suami mempunyai teman wanita. Ada juga yang meng’sms’ saya di waktu tengah malam (setelah panggilan tidak dilayan… maaf!! Saya memang takkan menjawab panggilan selain daripada waktu pejabat kerana saya juga mempunyai keluarga yang perlu saya utamakan) meluahkan rasa tertekan memikirkan suami yang sedang berseronok dengan bakal isteri.

Malahan, ketika mengutarakan topik poligami ini di dalam perbincangan ‘keep in touch’ antara saya dan rakan-rakan sekuliah, rata-rata kawan yang lelaki memprotes, kenapalah perempuan melenting atau marah bila cakap pasal poligami sedangkan poligami itu adalah sunnah dan dibenarkan di dalam Islam? Jawapan saya: Saya dan wanita lain tau bahawa poligami itu halal, sunnah dan dibenarkan oleh syarak. Yang menjadikan ramai wanita seakan hilang kewarasan fikiran bila mengetahui diri bakal dimadukan apatah lagi telah dimadukan ialah sikap para suami yang hanya tahu berpoligami tetapi punah ranah ketika menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa yang berpoligami. Kalau saya diberikan bukti yang nyata bahawa daripada 10 kes poligami, paling tidak pun tiga kes bahawa perkahwinan poligami itu menepati kehendak syarak dan mampu membahagiakan semua pihak yang terlibat, cukuplah dalam tempoh masa setahun perkahwinan…. saya sendiri akan mengadakan satu seminar khas mengajak semua kaum wanita supaya membenarkan suami berpoligami. Itu janji saya… tiga kes daripada 10 kes bermaksud kalaulah di Malaysia ni ada 100 kes poligami, cukuplah 30 kes menepati syarat saya tadi. Bukan syarat diberikan harta kemewahan tetapi suami perlu ADIL seperti yang ditetapkan oleh Islam.

Saya bukan mencabar kaum lelaki tetapi itulah hakikat sebenarnya yang akan berlaku jika para lelaki yang berpoligami sekarang ini, mampu lakukan. Masalahnya, jangankan tiga kes, nak dapatkan satu kes daripada 10 kes poligami yang betul-betul memenuhi syarat pun susah. Mungkin dalam 25-30 kes, adalah satu. Statistik inilah yang membuatkan mana-mana isteri pun rasa sedih, kecewa, takut, marah, bengang, naik gila dan macam-macam lagi bila dapat tahu diri bakal dimadukan apatah lagi telah dimadukan. Saya akui memang ada poligami yang berjaya cuma seperti yang saya jelaskan dari awal la, hanya satu kes daripada 25-30 kes poligami. Dengan statistik yang bagaikan satu halilintar ini, bagaimana para isteri nak mengizinkan diri mereka mendepani hari-hari muka sebagai pekongsi kasih? Memang tak semua lelaki sama tetapi contoh yang ada itu sudah cukup untuk memberikan satu keputusan kepada para isteri. Analoginya mudah sahaja, kalau anda dah tau gerai yang anda kunjungi itu masakannya tak sedap, persekitarannya kotor dan harganya mahal pulak tuh, sudah pasti anda takkan mengorbankan tekak dan duit anda ke gerai tersebut. Sama jugak lah dengan isteri.

Seandainya anda, para suami menunjukkan sikap adil sejak awal, isteri sendiri yang akan rasa serba salah jika tidak mengizinkan anda berpoligami. Saya masih ingat satu kes, seorang isteri menceritakan kepada saya bahawa dia sebenarnya adalah isteri pertama daripada empat orang isteri yang kesemuanya masih ada. Jika dilihat kepada perwatakan wanita ini, memang susah nak percaya bahawa dirinya sedang berkongsi kasih dengan tiga wanita lain. Bila dikorek kisahnya, wanita ini berkahwin tika berumur 18 tahun. Tika itu tunangnya (suaminya kini) yang mempunyai beza umur lima tahun, sering menjemput wanita ini selepas balik sekolah. Bagi mengelakkan tohmahan, mereka dinikahkan segera. Pada usia 19 tahun, wanita ini mempunyai seorang anak. Selepas habis pantang anak pertama, suami meluahkan hasrat untuk berkahwin lain tetapi dengan calon pilihan si isteri. Bayangkan bagaimana perasaan wanita tadi, hanya selepas setahun perkahwinan suami nak kahwin lagi? Hasrat suami tak diambil peduli tetapi suami takkan lupa mengutarakan hajatnya kepada isteri setiap hari dan berjanji akan berlaku adil. Malas nak layan, wanita pulangkan kepada suami untuk mencari calon. Satu hari, si isteri dibawa berjumpa dengan tiga gadis dan si suami menyuruh isterinya membuat pilihan di dalam tempoh masa 6 bulan. Selepas 6 bulan, suami menanyakan pilihan isteri dan wanita yang telah mula pasrah, redha dengan kehendak Ilahi maka ketika perkahwinan hampir ke tahun kedua, suami berkahwin untuk kali kedua. Namun sikap suami tak pernah berubah, sama seperti dulu bezanya hanyalah suami bukan lagi miliknya seorang. Bukan untuk perkahwinan kedua, suami turut bersikap sama untuk perkahwinan ketiga dan keempat dan ketika berjumpa saya itu, wanita tadi meluahkan betapa dia tak pernah menyangka bahawa sungguhlah poligami itu madu dan bukannya racun kerana suaminya yang dikenali sejak bergelar tunang, tidak pernah berubah sayang dan kasih kepadanya walaupun mempunyai tiga isteri yang lain dan dengan adanya madu-madunya yang lain, banyak perkara yang boleh dikongsi bersama dengan madu-madunya, bukan sekadar berkongsi suami.

Masalahnya, nak dapatkan tiga daripada 10 kes poligami seperti ini amatlah payah. Rata-rata kes adalah isteri sedia ada menerima tamparan hebat daripada perkahwinan kedua. Belum kahwin kali kedua dah dipinggir kasih, duit tak diberi, suami dah pandai menipu, apa-apa hal melebihkan bakal isteri dan macam-macam yang negatif lagi…. habis? Bagaimanalah isteri sanggup bermadu??? Salah siapa? Yang pasti bukan salah wanita atau isteri…

****Siaran Februari 2007

3 ulasan:

Joanna berkata...

saya setuju dengan pandangan dan pendapat sedemikian .... kalau dapat 1 kes sahaja seperti betapa mulianya hati seorang isteri mendapat suami begitu... ini belum kawin lagi dah mula buat perangai ...

diannazainodin berkata...

saya paling setuju perenggang terakhir...tepat sangat2...

diannazainodin berkata...

perenggan terakhir sangatlah tepat..saya setuju sangat2...