03 Mac 2009

Salahkah menyintai suami orang?

Tika artikel ini saya tulis, 1/3 daripada sms pembaca ruangan ini yang masih belum saya balas adalah berkaitan masalah berpunca daripada poligami atau bercinta dengan suami orang. Yang agak tragis, kebanyakan masalah poligami ini disuarakan oleh isteri kedua yang tertekan kerana diabaikan suami apabila suami lebih mengutamakan isteri pertama. Satu sms yang menggamatkan pejabat saya ialah sms dengan ayat tajuk perbincangan kali ini: Puan, salahkah jika menyintai suami orang? Tika saya kemukakan soalan tersebut kepada rakan-rakan, ramai rakan sekerja yang bujang bersuara: “Buat apa lah duk kacau orang punya. Kami ni ramai lagi yang solo…”. Itu kata yang lahir dari mulut lelaki. Kalau perempuan, memang ramai yang mengeji. Apa pun, tujuan ruangan ini diadakan bukan untuk mengeji sesiapa tetapi untuk berkongsi pengalaman hidup yang penuh pelbagai cerita untuk dijadikan pedoman dan panduan kita di dalam menghadapi hari-hari mendatang.

Saya ulangi soalan yang diajukan kepada saya: salahkah menyintai suami orang? Jika dirujuk di dalam mana-mana akta, statut ataupun ordinan, memang tak ada peruntukan yang menyatakan menyintai suami orang satu kesalahan. Di dalam al-Quran dan al-Hadis juga juga tidak ada kenyataan yang menjelaskan sedemikian. Fatwa mazhab dan ijmak ulama’ juga tidak menyatakan bahawa menyintai suami orang adalah satu kesalahan. Lantas, secara umumnya memang tak salah la kan kalau seorang gadis atau wanita menyintai suami orang asalkan wanita tersebut bukan isteri orang. Kalau anda isteri orang, jangankan bercinta, menyimpan rasa suka sahaja pun kepada seorang lelaki selain suami sendiri adalah tidak wajar.

Persoalannya, kenapa menyintai suami orang tak salah? Bukankah ramai yang melarang malah mengutuk jika tau seseorang memilih suami orang sebagai teman hidup? Jawapannya: Sebab bercinta bukan perkara jenayah. Bercinta bukan dosa tetapi boleh menjadi ibadah. Tambahan pula di dalam Islam ada kebenaran kepada suami orang untuk beristeri lebih daripada satu. Kalau tak bercinta, bagaimana nak ada hubungan atas nama poligami, betul tak? Cuma, jika dinilai dari sudut moral dan etika, memang tidak wajar seorang gadis atau wanita menyintai suami orang. Kenapa? Kerana gadis dan wanita tersebut akan dikategorikan sebagai perampas atau pemusnah kebahagiaan orang lain, kaum yang sama dengan diri anda sendiri. Kerana dalam 10 kes poligami, nak dapatkan satu kes sahaja pun yang betul-betul memenuhi kehendak dan maksud poligami amatlah sukar. Rata-rata yang timbul daripada poligami ialah kekecewaan, ketidakadilan dan berantakan keluarga sedia ada juga keluarga baru.

Saya faham, anda yang sedang bercinta dengan suami orang memang telah bersedia untuk dimadukan. Malah ada yang luahkan kepada saya, rasa pelik bila isteri pertama tak boleh nak terima sedangkan anda pasrah dengan kehendak-Nya. Jangan mudah mencela. Anda tidak berada di tempat isteri pertama. Anda yang menyintai suaminya, anda tau suami anda dah ada yang punya, memanglah mudah untuk anda menerima takdir poligami. Berbeza dengan isteri pertama yang selama ini mengimpikan bahagia selamanya, hanya dia yang dicinta tiba-tiba menerima berita terpaksa berkongsi kasih, memang seperti dipanah halilintar jadinya.

Cuba sekali letakkan diri anda di kasutnya, anda tahu suami anda ingin berkahwin kali ketiga, apakah yang anda rasa? Apakah anda dengan sepenuh hati merelakan suami anda beristeri lagi? Yang selalu saya dengar, isteri kedua akan mengatakan: Tak cukupkah lagi ada dua isteri? Ya… jika dah ada dua, nak rasa ada tiga, memang takkan cukup. Bezanya, mampu atau tidak dari segi nafkah zahir sahaja, kalau kaya raya memanglah mudah walau kasih sayang pada yang lama entah ke mana perginya. Tapi ada juga kes yang saya kendalikan, suami langsung tak bekerja, punya tiga isteri yang kesemuanya perlu serahkan duit kepadanya. Nauzubillah…sungguh, memang pasti ada yang tak kena.
Satu perkara lagi yang menjadikan percintaan anda dengan suami orang satu kesalahan ialah anda menyembunyikan kisah sebenar. Anda berpakat atau membenarkan kekasih hati anda yang suami orang tu merahsiakan hubungan anda dengan suaminya. Malah, ada yang dah kawin pun, masih kekalkan rahsia tersebut daripada pengetahuan isteri pertama. Sikap anda dan kekasih anda adalah tidak wajar dan menyalahi etika serta melanggar maksud dan kehendak poligami. Saya tau, ada kes percintaan dengan suami orang ni kerana si gadis atau wanita berasa simpati dan kasihan. Dari rasa kasihan, wujudlah pula rasa sayang. Biasanya dalam kes sebegini, suami orang akan meluahkan rasa tidak bahagianya dengan isteri sedia ada. Konon diabaikan oleh isteri, isteri tak pandai nak layan kehendaknya, isteri garang dan suka nak kawal itu ini dan macam-macam adalah. Jika anda berdepan dengan suami orang yang sebegini, JANGAN MUDAH PERCAYA DAN TERTIPU.

Ya, anda akan tertipu. Fikirkanlah, jika isterinya tidak menepati kehendak hatinya sendiri, kenapa masih disimpan? Bukankah suami mempunyai kuasa talak? Konon alasan kasihankan anak-anak? Kenapa suami orang tu tak ubah sikap dan perangai isterinya? Kenapa biarkan diri ‘dibuli’ isteri sendiri dan konon sebagai jalan keluar, suami orang itu ingin peristerikan anda? Lelaki begini adalah lelaki yang dayus. Mahukah anda bersuamikan seorang lelaki dayus? Saya tau, sukar untuk membuang cinta yang telah terbina. Namun, anda berhak menentukan masa depan anda sendiri. Memang tak salah menyintai suami orang tetapi ANDA SUKAR UNTUK CAPAI BAHAGIA. Kalau pun anda berjaya merampas sepenuhnya cinta suami orang, ingatlah bahawa anda telah menganiayakan wanita lain dan doa orang teraniaya tidak terhijab langsung.

Mungkin ada yang rasa saya seperti menidakkan poligami. Demi Allah, saya tidak menolak ketentuan poligami kerana tidak semua kes poligami gagal memenuhi kehendak syariat tetapi saya membantah perlakuan kebanyakan suami di dalam poligami. Tunggu perbincangan saya minggu hadapan: Isteri sanggup dimadukan jika….

****Siaran Januari 2007

5 ulasan:

Norwati Jamaludin berkata...

puan, saya cukup suka membaca permasalahan wanita masa kini seperti yang biasa tersiar di majalah wanita, dan dalam ruangan DCCK di dalam mingguan malaysia. Ianya bukanlah sesuatu yang menyeronokkan sebenarnya tetapi bagi saya adalah suatu ilmu pengetahuan (mempelajari pengalaman hidup dari pengalaman orang lain).saya mengikutinya (walau bukan setiap keluaran) semenjak saya masih remaja sehinggalah ke usia saya kini.

Ini bukanlah sesuatu yang hanya untuk suka-suka, tetapi kerana perasaan saya yang ingin mencari dan cuba mnegetahui apakah yang dimaksudkan dengan poligami, kekurangan dan kelebihan polgami. Saya mencari isu-isu seperti ini kerana saya selalu berfikiran bahwa saya adalah seorang islam yang tidak sempurna (tidak sempurna iman seseorang islam itu jika seseorang itu tidak yakin walau sebaris ayat, walau satu huruf pun di dalam alquran, dan tidak sempurna iman seseorang itu jika dia tidak menyintai saudara seislamnya seperti mana dia menyintai dirinya, begitu juga dengan ungkapan adalah lebih afdhal kita menolong jiran kita yang kesusahan daripada menunaikan haji - maafkan saya dan perbetulkan saya seandainya ungkapan saya tersebut salah / silap)

kerana dalam banyak isu tentang iman, islam saya sebagai wanita saya dapat terima, tetapi tidak poligami. Sebab itulah saya mengkaji dan ingin mendalamkan iman saya.

Tetapi puan, boleh saya katakan hampir 90% mengatakan poligami tidak baik, tidak sesuai dan sebagainya (saya rasa puan lebih arif dari saya.

malangnya, saya masih belum berpuas hati dengan ulasan-ulasan yang selalu dibuat oleh banyak counselor seperti puan, mungkin kerana kebanyakan counselor tidak berpengalaman dalam berpoligami.

seperti isu yang berkaitan - "salahkah menyintai suami orang", puan mengatakan ianya memang tak salah.

1.kalau puan kata tidak wajar, saya ingin bertanya, wajarkah puan mempersoalkan kewajaran siti aisyah menyintai muhammad bin abdullah, wajarkah muhammad bin abdullah menyukai seorang gadis yang hanya berumur 9 tahun (ketika ini kita katakan dibawah umur)dan menikahinya? bolehkah kita persoalkan persoalan ini kepada rasulullah? apakah puan juga akan mempersoalkan keadaan ini juga sudah tidak sesuai dengan zaman sekarang?

2.kenapa isteri pertama tidak dapat menerimanya kerana selama ini dia mengimpikan bahagia selamanya dengan suaminya yang tercinta. saya ingin bertanya kepada puan, apakah puan dapat melihat bahwa masyarakat kita hari ini telah mulai lalai dan khayal dengan kisah-kisah kebahagiaan indah yang lebih mengkhayalkan sehingga mereka lupa untuk membantu insan lain yang lemah dan serba kekurangan (yang belum sempurna hidupnya) yang juga miskin kasih sayang, hina dek kasih sayang. apakah mereka (isteri pertama)sahaja yang lebih layak untuk mengecap nikmat bahagia berumah tangga?

tetapi puan juga pasti belum pernah menjandakan?

3. Anda berpakat merahsiakan kisah cinta kekasih (suami orang).
Puan, dengan banyaknya pengalaman puan menangani masalah ini, adakah pernah puan tanyakan kepada isteri2 pertama ini, apakah mereka tidak akan melenting, kalau suaminya bagi tahu dia nak keluar dengan awek yang dicintainya? adakah wanita yang akan berkata "pergilah sayang, saya benarkan" dan bila suami dia balik, dia boleh menyambut suami dia pulang dengan senyum lebar tanpa banyak soal? tak pernah bukan? kalau ada, pasti bila suami balik dia kena tidur kat luar rumah/bilik, berperang mulut, muncung sedepa selama seminggu dan berbagai boikot dijalankan untuk memuasakn hati dan nafsu amarah siisteri. Apakah ada suami yang sanggup dilayani seperti ini oleh isterinya?

Sebab itu tidak hairan kalau ramai pasangan (suami orang ini "terpaksa" merahsiakannya, untuk menghindarkan boikot pihak isterinya, lebih2 lagi kalau disindir didepan anak2, keluarga dan tetangga). Dalam konteks ini saya berpendapat wanita harus bersikap lebih terbuka.

4. kemampuan, saya berpendapat wanita hari lebih kepada materialistik. kerana situasi ini dibentuk oleh masyasrakat kita sendiri, sebab bila saya melihat kepada muhammad bin abdullah sebagai contoh, beliau berpoligami walaupun dia sendiri adalah miskin harta dan wang ringgit. Namun hari ini, apakah wanita melihat wang ringgit adalah menentukan kejayaan/kebahagiaan sesebuah rumah tangga? Bagaimana kalau isteri pertama dan kedua serta sisuami berpakat berusaha meningkatkan dan mengukuhkan ekonomi keluarga (kalau sisuami tu tak tinggi pendapatannya, saya anggapkan mereka semua mampu untuk bekerja, mengerah tulang 4 kerat) daripada membuang masa bergaduh dan menyakitkan hati antara satu sama lain. Tidakkah wanita-wanita ini boleh berfikiran dengan akal yang diberi oleh tuhan?

5. maafkan lah saya yang jahil ini. saya ingin menarik perhatian puan tentang masayrakat kita hari ini, contonhnya masalah sosial dan anak2 yang terbiar. tentu puan juga sedar kebanyakkan masalah ini berpunca kerna hina dan miskin kasih sayang.

seandainya wanita-wanita yang bijak seperti puan dan suami-suami yang baik seperti suami puan untuk membantu, siapakh lagi yang sanggup? apakah kita nak harapkan orang asing membela wanita2 dan anak2 seislam itu? Atau kita hanya sediakan rumah untuk mereka menginap?

saya pernah terbaca suatu kisah dan ungkapan dari rasulullah ketika dia melewati kawasan perkuburan yang lebih kurang bermaksud:

"wahai penghuni kubur, janganlah kamu bimbang, isteri-isterimu tidak lagi menjanda dan anak2 mu tidak lagi yatim"

begitu ikhlas dan kasih serta prihatinnya baginda terhadap nasib wanita2 yang menjanda dan anak2 yang yatim. Pada pendapat saya hanya Allah dan rasulullah (lelaki2 islam yang baik) yang memahami hati dan perasaaan wanita yang menjanda (yang memerlukan belaian dan kasih sayang seorang lelaki)dan anak2 yatim (yang memerlukan perhatian seorang ayah). Sebab itu Allah dan rasulnya menggalakkan polgami.

Pada pendapat saya lagi puan, cubalah puan fikir-fikirkan kebaikkan berpoligami (bukan tidak ada kisah yang baik2, atau kisah2 polgami yang baik yang boleh dijadikan contoh pada hari ini), tetapi puan juga maklum orang akan melihat yang buruk dari kebaikan (puan sebagai counselor tentu lagi maklum), dan media tidak sepatutnya melebihkan cerita keruntuhan rumahtangga yang disebabkan oleh orang ketiga, kerana kebanyakan kita akan mudah terpengaruh. daripada isu seperti ini saya dapat melihat kenapa rasulullah dan ustaz, ustazah selalu mengingatkan kita amat besar dosa orang yang mengumpat, berdosa bercerita tentang hal2 dalam rumah tangga kepada orang, kerana apa? kerana hal2 macam ini akan mempengaruhi anak2 muda (takut nak kahwin), kalau nak berpoligami pun jadi susah macam nilah, jadi maksiat pun berleluasa dalam masyarakat (sebab orang takut nak bercakap benar, takut dihina orang dan sebagainya).

itulah sedikit sebanyak pandangan dan pendapat saya dalam isu berpoligami ini.

lagu berkata...

Perangai Melayu, Isteri tak suka Suami kawin lain, Jika dapat tahu Suami kawin lain, dicop suami tipu dia dan madu sebagai perampas. Dan juga dicop Suami gatal, Habis tu NABI SAW pun gatalke? bila tanya macam tu , jawapanya nabi lain. Selama ia hidup pernah tak ia menipu ?.

Sekarang ni Nisbah setiap 100 orang malaysia Golongan perempuan 60 dan lelaki 30 orang. Dalam 30 orang lelaki drug addict, matrempit , tak ada masa depan 10 orang, Gay anti perempuan 5 orang. jadi perempuan tiada pilihan, Bila pilih lelaki asing dikutuk ' dah tak ada orang lain ke? .

Orang perempuan(isteri) sanggup membiarkan orang sekaumnya menderita kesunyian dan mereka ni pentingkan diri sendiri. Mereka tak kisah jika suami berzina asalkan tak boleh kawin lagi.

Perangai masyarakat melayu menjadi pengadu domba dan menghasut isteri supaya bercerai dan macam macam le fikiran buruk terkeluar, lelaki gatal le, perempuan gatal. Habis le harta suami dibolot madu.

Kebanyakan lelaki yang berkawin dua ingin berbaik dengan isteri isterinya tetapi hasutan kawan kawan isteri yang menyebabkan suasana menjadi teruk,

Bila suami balik kerumah isteri pertama, isteri buat layan tak layan dan mengutuk suami 'Pergile kerumah isteri muda kamu'. dan bermacam macam kutukan keluar dari mulutnya. Bila tak balik rumah , dikatakan asyik lebihkan isteri muda

Perempuan sekarang bekerja dan dah ada kereta dan rumah sendiri. mereka sanggup bermadu kerana memerlukan seorang lelaki sebagai teman hidup. Mereka tak berniat merampas suami harta pun. malahan mereka tak minta pun nafkah zahir , hanya berkongsi suami.

Jika isteri isteri bermadu anggap le madu sebagai sahabat saling memerlukan satu sama lain dan jangan cuba berlumba merebut hati suami menyebakkan kamu menjadi penat .

Dan jangan lupa solat ithikarah

Unknown berkata...

saya mengalami situasi yang sama, saya mempunyai perhubungan dengan suami orang tetapi ia bukan kehendak saya.selama 4tahun dia mengejar saya lama-kelamaan perasaan sayang mula timbul.kenapa dia mengejar saya walaupun pada masa itu dia sudah berkahwin dan mempunyai anak.hati perempuan mana tidak akan cair?kami mula bercinta selama 2tahun dan da banyak kali kantoi mesege ngn isterinya, tetapi kami masih bersama.sekarang saya berpindah jauh daripadanya semata-mata mahukan dia hidup bahagia dengan isterinya tetapi setiap hari kami akan mesege dan kami saling merindui satu sama lain sampaikan setiap kali bercakap di phone kami akan menangis sama-sama apabila mengenangkan nasib kami, dan rindu yang tak terkawal.dia lebih banyak menghabiskan masa dengan kawan2 kerana terlalu rindukan saya.saya saban hari tidak boleh tidur, kurang makan dan banyak habiskan masa berkurung di dalam bilik tidur.isteri dia pernah mengungut akan bawa lari anak2 kalau dia wat hal or kawin lain.so, macam mana dengan kami.dia tidak pernah buruk2 kan isterinya, malah dia sangat2 sayangkan isteri dan anak2nya. tetapi pda masa yang sama kami saling mencintai.demi kebahagian isteri dan anak2nya kami korbankan perasaan kami berdua dengan duduk berjauhan dan belajar hidup tanpa antara satu sama lain.setiap kali berhubung kami pasti akan menangis dan saya dapat dengar dengan jelas suara dia yang sebak dan dia akn mintak nak letak phone cepat2 sebab tidak mahu menangis.saya baru habis study and now tengah mencari pekerjaan tetapi saya tiada mood untuk membuat apa pun.saya hanya terkenang kan kenangan kami bersama.saya sangat merinduinya.bagaimana saya harus hadapi ini semua.

Unknown berkata...

Ok larrr aq x nk berebut lelaki... Wahai semua perempuan pilih pasangan yg kamu kehendaki... Aq mmg x nk khawen,,,

Adore Cotton berkata...

Assalammualaikum... Saya rasa terharu bila membaca komen Puan Normawati. Saya seorang ibu tunggal dgn sorg anak lelaki brumur 7 thn. Dah 4 thn brcerai. Sy juga ada brkawan dgn suami org. Niat saya cuma nak menumpang kasih dan nak ada suami yg bole membimbing saya ke jalan Allah. Sy sanggup brmadu dan sggp tidak menuntut hak sy sbg isteri dgn melampau2 kalau sy brkahwin dgnnya satu hari nti. Cukuplah dia balik ke rumah saya pd hari yg isterinya keje shift mlm. Tp sapa nak fhm keadaan kami. Masyarakat lebih suke mencemuh. Pd ketika sy baca artikel ni pun kerana sy xdpt tido kerana sy rindukan lelaki trsebut. Tp ape je yg dpt sy buat selain duduk di atas sejadah dan memohon ketenangan dari Nya. Salah ke perasaan sy ni? Ssh org nk fhm sb org x melalui ape yg org mcm kami ni lalui. Dan tmbh buruk lg bila org tak mahu usaha utk fhm pun. Kdg2 kala sy rasa sia2 mgadu pd kwn2. Lebih baik mgadu pd Allah...