14 Mac 2009

Bukan isteri sahaja perlu berhias

Beberapa hari lepas, saya menerima satu sms daripada seorang isteri yang meluahkan rasa tidak suka dengan penampilan suaminya tika berada di rumah. Suaminya hanya akan tampil segak jika ke tempat kerja tetapi jika di rumah atau ke tempat-tempat awam bersamanya dan anak-anak, suaminya hanya berpakaian ‘cukup makan’. Bukan tak pernah meluahkan rasa tidak puas hati kepada suami tetapi luahan hatinya langsung tidak dipedulikan oleh si suami. Sebenarnya ini bukan kes pertama melibatkan aduan sebegini. Sebelum ini juga telah ada beberapa aduan yang sama. Saya tak ada peratusan yang tepat mengenai kes suami tidak suka tampil kemas tika di rumah atau di tempat awam selepas berkahwin. Mungkin tidak banyak atau sebenarnya kurang diluahkan oleh para isteri. Pokoknya, isu suami tampil tidak menarik perhatian isteri tidak boleh menjadi isu kecil. Isu ini perlu diketengahkan dan diberikan perhatian oleh semua pihak terutamanya para suami.

Seperti tajuk perbincangan kali ini, bukan isteri sahaja perlu berhias untuk suami tetapi para suami juga perlu berhias dan tampil segak dan kemas di hadapan isteri. Jika sebelum berkahwin, anda boleh tampil segak hingga berjaya menawan hati bakal isteri anda, kenapa perlu ketepikan semua itu selepas berkahwin? Memang penampilan dan rupa bukan perkara utama untuk memikat hati tetapi jika anda berbudi baik, cakap lemah lembut dan ada apa saja perwatakan yang baik yang mampu menarik hati bakal isteri tetapi pakaian anda tidak kemas dan selekeh, tentu susah juga bakal isteri nak terpikat. Bukan perlu papa untuk bergaya kemas tetapi cukuplah sekadar sejuk mata memandang. Yang sejuk mata memandang inilah yang menjadi masalah kepada sesetengah pihak selepas berkahwin. Biasanya yang selalu kita dengar, isteri perlu jaga bentuk badan selepas berkahwin. Dah berisi sikit, mula la suami membebel. Isteri yang takut menerima pesaing, sanggup mengikat perut untuk memenuhi kehendak dan selera suami.

Jika itulah kehendak suami kepada isteri, fahamilah juga bahawa isteri juga punya kehendak sedemikian. Jika sebelum berkahwin, anda boleh jaga bentuk badan, perut buncit sikit dah kecoh bergi ke gim, kenapa selepas kahwin anda sanggup biarkan perut membesar bagai mengandung empat lima bulan. Ada juga suami yang sarat mengandung bertahun-tahun tanpa sebarang kelahiran. Tak terasakah bagaimana penerimaan isteri anda? Saya teringat kata-kata seorang suami di dalam rancangan keibubapaan: perut kami ke depan sebab senang nak letakkan dan pangku baby. Senang betul nak berikan alasan. Kalau isteri berikan alasan sedemikian, bolehkah anda terima? Saya tau, ada pendapat yang mengatakan memang perkara biasa kalau suami naik berat badan selepas kahwin sebab dah ada orang yang menjaga. Lagipun, lelaki yang naik berat badan selepas berkahwin ni menunjukkan tanda keserasian dengan jodohnya.

Saya tak salahkan pendapat tersebut cuma persoalannya, kenapa isteri yang naik berat badan tak dikatakan menemui keserasian? Rata-rata isteri yang makin berisi selepas kahwin atau paling ketara selepas bersalin, diingatkan supaya menguruskan badan hingga mendapat bentuk badan sedia ada sebelum berkahwin. Kenapa para suami tak praktikkan perkara yang sama? Kenapa bila isteri tampil selekeh di rumah, suami dah bising nak cari yang lain tetapi dalam masa yang sama, suami sendiri tampil selekeh di rumah? Kalau anda nak isteri sentiasa tampil cantik menawan, samalah juga dengan isteri yang sentiasa inginkan suami tampil cantik menawan. Sahabat Rasulullah s.a.w, Abbas r.a pernah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w menyuruh beliau tampil kemas dan segak di hadapan isteri: Sebagaimana isteri kamu berhias untuk kamu, kamu juga perlu berhias untuk isteri kamu.

Hadis ini jelas mengatakan bahawa pasangan suami isteri perlu saling berhias, tampil segak, kemas dan menawan di hadapan pasangan masing-masing. Bukan hanya tampil segak dan cantik di hadapan bakal pasangan tetapi tampil ‘cukup makan’ selepas berkahwin. Bukan juga tampil kemas dan segak di hadapan orang lain tetapi di hadapan pasangan sendiri, hampir menyamai orang tak waras. Di dalam menentukan anda mampu tampil dalam keadaan menyejukkan mata pasangan anda, anda boleh berbincang dan berterus terang dengan pasangan anda. Anda boleh pilih pakaian yang anda rasa sesuai dengan penampilan suami atau isteri anda. Paling penting, anda sendiri perlu tahu citarasa pasangan anda dan citarasa tersebut anda sesuaikan dengan citarasa anda. Jangan pentingkan diri hingga memaksa pasangan mengikut selera dan citarasa anda sahaja. Sebagai contoh, jika sebagai isteri, anda menggemari warna merah jambu tetapi warna tersebut tidak disukai oleh suami, anda tidak berhak memaksa suami mengikut selera anda. Sama juga dengan suami, jika isteri tak suka tampil seksi di hadapan orang lain, janganlah memaksa. Biarlah isteri hanya seksi di hadapan anda, hanya anda tergoda, isteri anda selamat dari mata jahat lelaki lain dan anda pun akan selamat daripada mendapat dosa.

Seperti yang saya jelaskan tadi, sesuaikan citarasa anda dengan citarasa pasangan anda. Apalah salahnya tampil kemas di rumah atau tika keluar bersama keluarga. Berpakaian budak sekadar nak tunjuk kat orang tetapi penampilan kita mencerminkan identiti dan karektor diri. Kalaulah anda kemas bergaya kat luar tapi selekeh di rumah, bagaimana kalau tiba-tiba rakan-rakan bertandang ke rumah? Tak ker anda kalut dan kecoh? Sebagai seorang Muslim, berpakaian biarlah menurut kehendak syarak. Yang lelaki tampillah segak dan kemas serta menutup aurat. Yang wanita, janganlah bertanding siapa paling berani dedah sana sini, susahkan diri sendiri juga belakang hari. Paling penting yang perlu diingat oleh semua tak kira suami atau isteri, lelaki atau wanita, cara berpakaian dan penampilan anda bukan sekadar untuk dipandang oleh pasangan atau orang lain tetapi sebagai satu imej diri yang tersendiri. Anda tentukan….

Nota: Saya mohon maaf kerana tidak dapat membalas emel dan sms lagi. Saya juga tidak dapat melayan panggilan telefon untuk jangkamasa yang lama. Anda boleh hubungi saya pada waktu pejabat untuk membuat temujanji sahaja. Temujanji hanya dibuat pada hari Sabtu, bermula jam 9.00am-6.00pm. Hubungi saya untuk tetapkan tarikh dan masa yang sesuai. Terima kasih.

****Siaran Februari 2007

Tiada ulasan: