Hari Ahad baru ni, ketika sedang mencuci cawan selepas minum petang, saya terpandang satu senario: Seorang gadis kecil berusia 2 tahun lebih dan seorang wanita muda. Wanita muda menjirus gadis kecil. Satu… dua… tiga… empat… tak lama wanita tadi masuk ke dalam dan keluar bersama sehelai tuala. Segera ditarik si gadis kecil dan dilapkan badan yang sedikit basah. Terdengar suara si gadis kecil: Maaa… cabun??? Tanpa jawapan, wanita muda mengheret si gadis kecil masuk ke dalam.
Saya tak pasti samada pembaca semua mengerti atau tidak kenapa saya bawakan senario tersebut ke dalam topik perbincangan kali ini. Namun, ketahuilah… setiap apa yang saya bincangkan di sini, bukan untuk memburukkan sesiapa ataupun untuk menjatuhkan aib dan air muka seseorang. Apa yang saya jelaskan di sini, memenuhi kehendak Resepi Hidup yang sentiasa penuh dengan bahan-bahan penyedap dan ada kalanya tidak enak ditelan. Walau tidak enak, ianya tetap perlu diberi perhatian kerana selalunya yang tidak enak itu adalah ubat yang mujarab.
Kembali kepada senario ringkas tapi benar tadi. Jika anda semua fikirkan semula, anda pasti dapat membuat satu kesimpulan: Wanita muda itu adalah ibu kepada si gadis kecil yang mempedulikan pertanyaan si anak kenapa ibunya tidak menggunakan sabun ketika memandikannya? Mungkin anda fikir, takkan lah perkara sabun jer dah nak bising? Fokus saya kali ini bukanlah kesalahan mandi tidak bersabun tetapi persoalan kenapa si ibu tidak memberikan reaksi positif kepada pertanyaan benar daripada seorang anak? Bukan itu sahaja, terdapat banyak kes ibu bapa yang enggan mengakui kebenaran kata anak-anak semata-mata itu adalah pendapat anak-anak. Malah, ramai ibu bapa yang enggan memohon maaf daripada anak-anak walaupun nyata dan jelas ibu bapa yang bersalah terhadap anak-anak. Kenapa semua ini boleh berlaku?
Saya menerima banyak aduan kes anak-anak yang terasa hati dengan sikap ibu bapa. Ada yang dipinggirkan kasih, ada yang disalahkan tanpa sebab dan ada yang diputuskan hubungan keluarga semata-mata tidak mengikut kehendak ibu bapa. Malah, ada yang berkeras untuk tidak kembali ke kampung lagi lantaran benar-benar terluka. Hmmmm… kalau hati dah luka, memang payah nak diubat. Mungkin maaf boleh diberi tetapi melupakan itu amat sukar. Itulah yang sering diluahkan kepada saya.
Susah… memang susah merungkaikan masalah ini. Saya sendiri seorang anak dan juga seorang ibu. Saya ingat lagi, dulu saya selalu pertikaikan kenapa Mak risau sangat melepaskan anak-anak keluar walau untuk belajar? Jawapan Mak ringkas: Nanti hang dah jadi Mak, hang tau laaa…. Betul… kini saya mula memahami hati seorang ibu. Memang risau bila anak-anak tiada di depan mata, macam-macam yang mengganggu fikiran. Cuma, yang saya pelik… jika realitinya seorang ibu akan risaukan keselamatan anak-anaknya, kenapa ada ibu yang mengabaikan anak-anak? Kenapa ada ibu yang memilih kasih antara anak-anak? Kenapa ada ibu yang enggan mengakui kebenaran anak-anak dan mengakui kesilapan sendiri?
Saya pernah mengakui kesalahan saya kepada anak sulung saya walaupun usianya baru tiga tahun. Saya ingat lagi, saya dan suami mengajar anak-anak agar jangan ucapkan perkataan bodoh dan satu hari, secara tak sedar, saya terucapkan perkataan tersebut setelah menyaksikan satu babak dalam cerita tv. Segera anak sulung saya menegur: Ummi, tak boleh cakap bodoh! Spontan itu juga saya mengucapkan: Sorii… saya juga pernah tersilap marahkan anak sulung saya kerana menyangkakan beliau mengubah buku-buku saya dan selepas saya tahu suami saya yang berbuat demikian, tanpa rasa terpaksa, saya segera memohon maaf daripada anak sulung saya. Seorang kawan saya pernah menceritakan kesilapannya meluahkan rasa marahkan suami kepada anak sulungnya dan bila kawan saya sedari kesilapannya, segera dia memohon maaf daripada anaknya. Bererti, bukan satu perkara yang susah untuk ibu bapa mengakui kesilapan sendiri dan memohon maaf daripada anak-anak, betul kan?
Masalahnya, berapa ramai ibu bapa yang sanggup bertindak sedemikian? Seringkali yang sampai ke telinga saya: Ibu tetap ibu, bapa tetap bapa dan anak tetap anak. Maksudnya, mana mungkin anak yang sudah tertulis perlu mentaati ibu bapa, menerima maaf daripada ibu bapa kerana sudah tersurat juga, anak yang perlu memohon maaf daripada ibu bapa dan menerima apa juga kata-kata ibu bapa. Betulkah begitu?
Jangan lupa, sama ada anda ibu, bapa atau anak… anda adalah seorang manusia makhluk Pencipta yang telah sedia maklum tetap mempunyai kekurangan. Walaupun anda ibu atau bapa, anda juga tidak lepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan dan tidak mustahil kesilapan itu anda lakukan terhadap anak-anak anda. Jangan anda ingat… aku ibu… aku ayah… hitam kataku, hitamlah jadinya, putih kataku, putihlah jadinya. Hmmmm… jika itu pendirian anda, memang sukar untuk anda mencipta bahagia anak-anak anda malah bahagia anda juga. Apalah salahnya jika anda mengakui kesilapan sendiri?
Sempena kedatangan Ramadan yang mulia, saya ucapkan selamat berpuasa dan selamat menambahkan ibadah kepada Yang Maha Esa. Bulan Ramadan mengandungi seribu satu rahsia: ada keberkatan dan ada keampunan. Moga kita semua berjaya menjadi insan yang lebih baik dari hari semalam. Moga lebih ramai ibu bapa yang bersedia memohon maaf daripada anak-anak mereka dan bukan sekadar menerima maaf daripada anak-anak pada Syawal yang bakal menjelma nanti… aminnn!!!
****Siaran September 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan