Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Merdeka kepada semua pembaca walau kini kita telah berada di penghujung sambutan hari kemerdekaan negara kita yang ke 49. Semua orang tahu tentang merdeka. Dari yang tua hingga kanak-kanak kecil, semuanya melafazkan merdeka. Anak lelaki saya juga sering melaungkan merdeka setiap kali ternampak jalur gemilang berkibar walau dia tak faham sangat, apa erti merdeka? Cuma anak sulung saya yang bakal menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke4 pada bulan Januari ini, telah pandai menyoal: Ummi, merdeka tu apa?
Sesuai dengan usianya, saya pun cakaplah: Merdeka tu maksudnya kita hidup selamat, seronok, tak der gaduh atau perang, tak sama macam dalam tv yang selalu kita tengok gaduh-gaduh tu…dan anak saya menyahut: Oooo… kesian kan orang dalam tv tu tak merdeka kan Ummi… alhamdulillah, walau masih kecil, anak saya dah mula memahami erti merdeka seperti yang saya jelaskan. Itu baru satu sahaja pengertian merdeka. Terlalu luas maksud perkataan merdeka sebenarnya. Seperti topik saya kali ini, merdekakah anda? Adakah anda telah merdeka? Jika mengikut istilah yang saya jelaskan kepada anak saya, anda memang telah merdeka. Alhamdulillah, kita semua dapat hidup di negara yang aman. Bebas bergerak ke sana sini, menikmati keindahan alam dan mengisi perut dengan aneka hidangan yang anda inginkan. Namun, apakah itu cukup untuk memberi erti bahawa anda telah merdeka?
Sebagai seorang insan, kita semua mempunyai kewajipan dan tanggungjawab. Tertunaikah sudah segala kewajipan dan tanggungjawab anda? Sebagai seorang anak? Seorang isteri? Seorang suami? Sebagai kakak, adik atau abang? Malah sebagai seorang ayah dan ibu? Paling penting, sebagai seorang hamba yang dipinjamkan sementara untuk menikmati hidup di dunia? Rata-rata individu kini, mengabaikan kewajipan yang satu ini, kewajipan terhadap Pencipta. Kewajipan yang paling nyata sering diambil mudah ialah kewajipan solat. Semua individu Muslim tahu, kita perlu mengerjakan solat lima waktu sehari semalam. Malangnya, berapa ramai yang betul-betul menjalankan kewajipan solat lima waktu sehari semalam ini?
Hmmm… mungkin ada yang cakap… dia ni nak jadi ustazah pulak ker? Maaf jika ada yang merasakan saya lari dari isu psikologi keluarga. Sebenarnya, saya tak lari atau terkeluar tajuk. Saya masih memperkatakan mengenai isu yang ada kaitan dengan psikologi keluarga. Sebabnya, isu keluarga tidak dapat lari dari agama. Wujud hubungan suami isteri adalah kerana melaksanakan tuntutan agama dan agama jugalah yang memberi anda kebebasan untuk menggauli pasangan anda. Malangnya, ada di kalangan masyarakat hari ini yang mempraktikkan sebahagian agamanya sahaja dan sebahagian lagi diketepikan. Raya diterima, puasa diketepikan. Solat sunat hari raya diterima, solat lima waktu dipnggirkan. Poligami diterima, kewajipan sebagai suami diabaikan. Inilah masalahnya.
Sepanjang 8 tahun saya terlibat di dalam mengendalikan urusan perkahwinan dan kekeluargaan ini, faktor utama yang menyumbang kepada keruntuhan institusi keluarga dan perkahwinan ialah mengabaikan tuntutan agama. Setiap kali si isteri mengadu, suami mengabaikan tanggungjawab, suami kaki perempuan, suami suka angkat tangan… soalan yang pasti saya ajukan ialah: Suami puan solat ker tak? Dan hampir setiap soalan saya dijawab sama: Tak. Sesekali tu adalah. Jawapan saya: Kalau dengan Pencipta pun dia berani engkar, memang tak pelik kalau dia berani buat semua perkara tak baik tu.
Ya lah.. kalau perkara solat yang mudah, tak perlu abiskan duit, tak makan banyak masa tu pun boleh diketepikan… bagaimana nak laksanakan tuntutan yang lebih berat? Memberi nafkah kepada isteri tu berat sebab perlukan duit. Yang peliknya, keluarkan duit enjoy sana sini dengan rakan-rakan atau buah hati, boleh pulak. Beli prepaid sms artis pilihan rancangan realiti tv, boleh pulak. Tunggu depan tv lama-lama tonton majlis perkahwinan gemilang, boleh pulak. Kenapa solat yang percuma dan sebentar sahaja itu boleh tak dipeduli?
Saya akui, ada juga di kalangan mereka yang solat tetapi masih juga menyumbangkan masalah di dalam perkahwinan. Minggu lepas, saya berdepan dengan satu kes, seorang Ustaz gagal mengamalkan konsep adil di dalam poligami. Isteri kedua didera emosi dan fizikal. Kalau difikirkan, memang tak wajar seorang yang dipanggil Ustaz bertindak sedemikian. Dah nama Ustaz, mestilah dia tahu segala tuntutan agama, kenapa pula dia nak langgar? Jangan lupa, walau Ustaz atau Ustazah, dia juga manusia yang serba kekurangan dan akan sering diuji dan digoda oleh syaitan. Teringat kata Ustaz saya dulu: Kalau iman kita tahap jeneral, maka syaitan yang menggoda juga tahap jeneral. Kalau iman kita tahap kopral, maka syaitan yang menggoda juga tahap kopral.
Maksudnya, sebagai manusia dan mahklukNya, kita akan sentiasa diuji dan digoda oleh syaitan yang takkan putus asa untuk terus menyesatkan kita. Kalau kita ada ilmu agama tapi tak nak praktik….kalau ada pengiktirafan ilmu tapi tak faham apa pun satu….. kalau solat semata-mata tungging terbalik, tak faham apa yang dilafazkan, bagaimana solat kita itu nak jadi pelindung diri? Bagaimana solat kita nak berikan bahagia dalam hidup berumahtangga dan berkeluarga? Jika anda tergolong di dalam kumpulan mereka yang belum menunaikan kewajipan anda kepada Pencipta, bererti anda belum merdeka. Bermaksud juga anda sukar untuk mencapai bahagia di dalam rumahtangga, kerja malahan hidup anda di dunia? Koreksi diri anda, anda yang tau sejauhmana anda benar-benar merdeka?
****Siaran September 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan