Semalam saya berpeluang bersama dengan adik-adik di sebuah IPT berkongsi ilmu dalam satu siri ceramah motivasi bertajuk Rahsia Kekal Cemerlang. Alhamdulillah, seronok rasanya berkomunikasi dengan adik-adik yang sedang meningkat dewasa dan bersemangat waja untuk maju dan cemerlang di dalam hidup. Mereka semuanya datang dari pelbagai peringkat kehidupan termasuklah daripada kampung dengan ibu dan ayahnya hanya bekerja sebagai petani dan penoreh. Namun demi satu cita-cita dan semangat yang ditanam di dalam diri untuk mengubah kehidupan keluarga, adik-adik ini ceria menimba ilmu walau rindu sarat di dada. Hanya itulah tanda kasih sayang mereka sebagai anak… berusaha untuk menunaikan hasrat ibu dan ayah tercinta.
Teringat saya satu kisah yang disiarkan dalam satu siri Bersamamu TV3. Seorang ayah berusaha melakukan pelbagai jenis pekerjaan sehari. Seawal pagi membantu isteri menyediakan bungkusan nasi lemak dan kuih untuk dijual di kantin sekolah. Setelah menghantar anak-anak ke sekolah, beliau kembali ke rumah dan bersama isteri menyediakan makanan ringan dan minuman untuk dijual di kaki lima kedai. Sebelah petangnya pula, beliau akan mengutip tempurung kelapa untuk dikumpul dan dijadikan arang untuk dijual. Apabila diajukan soalan kepada si ayah, kenapa beliau sanggup bekerja teruk sepanjang hari? Jawab si ayah: Saya mahu anak-anak saya dapat belajar hingga ke peringkat tertinggi sebab saya tahu, hanya ilmu sajalah boleh membuatkan anak-anak saya berjaya dan tak hidup susah macam saya lagi. Hanya ini tanda kasih sayang saya kepada anak-anak.
Dalam satu kes yang lain, seorang ibu meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan kegagalan anaknya di dalam pelajaran. Segala keperluan dan permintaan si anak dituruti. Nak duit, cakap saja nak berapa, mesti dapat. Hatta walau masih belajar, si anak dah punya sebuah kereta sendiri. Malangnya, si anak memberikan sebuah kekecewaan kepadanya dan suami. Tambah menyesakkan dada apabila anak saudaranya yang sebaya dengan anaknya, berjaya dengan cemerlang sedangkan kakak dan abang iparnya hanyalah bekerja biasa dengan pendapatan kecil. Sambil menangis beliau meluahkan: Segala kasih sayang saya dan suami langsung tak dihargai oleh anak saya.
Tiga kes yang saya paparkan setiap satunya mewakili satu perkara yang sama iaitu tanda kasih dan sayang. Setiap individu mempamerkan kasih sayang mereka dengan cara yang tersendiri. Usaha dan pengorbanan adalah antara tanda kasih sayang yang biasa dan selalunya tanda kasih sayang ini akan membawa kebahagiaan kepada individu-individu yang terlibat. Pada zaman serba moden ini, harta dan wang ringgit juga mula menjadi tanda kasih sayang. Malangnya belum pernah ada satu pun kes keluarga yang mencapai bahagia kerana kasih sayang berasaskan harta dan wang ringgit tersebut. Saya akui, dunia hari ini serba serbinya memerlukan wang. Nak buang air yang tak boleh dikitar semula tu pun memerlukan wang. Namun perlu diingat… wang tidak boleh membeli kasih sayang yang sejati. Kasih sayang palsu memang mudah. Hulur saja RM10, orang tak der akal pun boleh ucapkan sayang.
Dalam mendidik anak-anak, wang ringgit bukan jaminan anak anda boleh berjaya dan membahagiakan anda. Sebaliknya, wang ringgit itulah yang akan merosakkan anak anda. Saya faham, ada ibu bapa yang pernah hidup susah tika membesar dan tidak ingin anak-anak mereka merasai apa yang pernah mereka rasai. Saya hormati pendirian dan niat baik anda. Cuma satu perkara yang mesti anda ketahui, belum ada tokoh di dunia ini sama ada yang masih hidup atau telah mati, berjaya mencipta kecemerlangan tanpa mengharungi kesusahan dan kepayahan. Bukanlah buku sejarah, baca dan selidiklah. Rata-rata tokoh yang menyumbang kepada segala pembangunan negara dan dunia, bermula dari hidup yang susah dan berdikit-dikit untuk merasai kehidupan yang senang.
Kenapa? Hanya mereka yang tahu erti susah sahaja yang akan berwaspada dalam setiap gerak gerinya dan betul-betul menghargainya kehidupannya. Hanya orang yang pernah susah sahaja yang mempunyai azam dan tekad untuk keluar dari kesusahan yang dialami. Dengan azam dan tekad itulah mereka akan berusaha sedaya upaya, sanggup menempuh apa jua ujian demi mencapai cita-cita dan hasrat yang terpendam. Malah anak-anak didikan hasil kepayayahn ini akan lebih menghargai setiap apa yang mereka miliki. Sebaliknya jika anak-anak yang sejak lahir hingga dewasa tidak pernah kenal erti susah, mereka bukan saja susah untuk berjaya malah susah untuk menerima ujian hidup. Apa tidaknya, sebut saja nak apa, sebut saja nak berapa, segalanya bagai semudah memetik jari. Habis, nak fikir apa lagi?
Saya bukan melarang anda melimpahkan harta untuk anak-anak. Ya, esok-esok harta tu akan jadi hak mereka juga andai maut menjemput anda. Saya faham semua tu. Cuma nasihat saya, jika anda benar-benar sayangkan anak-anak anda, jangan taburkan kasih sayang anda melalui harta. Tak salah memberi bila anak-anak meminta tetapi hadkan dan biarlah kena dengan keperluan dan had usianya. Paling penting, jangan abaikan didikan dan perhatian anda kepada mereka. Tanamkan dalam diri anak-anak dengan ilmu yang mencukupi termasuk ilmu agama. Jika anak anda berilmu, dia akan dapat menambahkan harta yang bakal anda wariskan kepadanya sebaliknya jika anak anda tidak berilmu, harta yang anda akan segera habis sebelum harta tersebut betul-betul menjadi haknya malah hidupnya akan mudah hancur dan memberikan kekecewaan kepadanya dan anda.
Saya masih ingat jelas kata-kata Bapa saya kepada kami adik beradik, masa tu saya masih di sekolah menengah bakal menduduki Sijil Rendah Pelajaran (SRP, kini PMR). “Wan (ayah kepada Bapa saya) penarik beca ja dan Bapa jadi cikgu alhamdulillah. Bapa harap anak-anak Bapa pula akan jadi lebih baik lagi.” Kerana kata-kata Bapa saya itulah, saya bertekad untuk berusaha lebih gigih dan syukur alhamdulillah, saya berjaya menjadi seorang peguam. Inilah tanda kasih sayang saya kepada Bapa dan Mak… terima kasih Bapa… terima kasih Mak.
****Siaran Oktober 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan