“Setelah mengenali A , saya amat tertarik padanya dan pada bulan Januari, saya menerima A lebih dari sahabat. Kami mengikat janji untuk bertunang pada bulan Jun dan berkahwin pada bulan Disember nanti.Tapi hajat kami tak kesampaian kerana cinta kami putus di tengah jalan. Sepanjang bercinta, saya banyak menguji A dengan pelbagai ujian yang saya sengaja ciptakan untuk melihat kesabaran, kesungguhan dan kesetiaan A pada saya. Saya bersikap kasar pada A dan tidak menunjukkan kasih sayang saya padanya tapi A masih bersabar dengan saya. Awal Februari lepas saya menguji A dengan menghantar mesej kepada lelaki lain dan berpura-pura tersilap hantar padanya. A masih boleh bersabar dengan saya dan tak menunjukkan sifat cemburunya.”
“Tapi pada 10 Februari saya sengaja menghantar mesej pada adik angkat lelaki yang baru saya kenal dengan kata-kata sayang, adik angkat saya juga membalas demikian. Saya sengaja menyimpan mesej tersebut dan sengaja meninggalkan telefon dalam kereta A supaya A membaca mesej tersebut. Saya ingin melihat kesungguhan cinta A pada saya. Tapi tindakan saya benar-benar bodoh, selepas berjumpa hari tu, A menyepikan diri dan menyatakan kepada saya bahawa kami tiada jodoh. Saya cuba menjelaskan segala-galanya pada A tapi tiada tindakbalas daripada A. A mengatakan cinta saya tak sepenuh hati padanya.”
Di atas ini adalah petikan emel yang saya terima semalam. Kepada pengirim emel, maafkan saya kerana mengenengahkan masalah anda ke dalam ruangan ini. Tujuan saya hanyalah untuk orang lain yang mempunyai pendirian sama seperti anda turut sama mengambil teladan dan pengajarannya. Saya yakin, pembaca semua pernah dengar kata-kata: Cinta bukan mainan. Saya setuju, sungguh cinta bukannya mainan yang boleh diperlakukan sesuka hati. Satu perkara yang perlu diingat juga, cinta bukan bahan ujikaji untuk anda menilai kesetiaan dan kejujuran seseorang.
Seperti kes di awal tadi, si gadis menyintai A cuma enggan meluahkan perasaannya dan dalam masa yang sama berterusan menguji A untuk mengetahui sejauhmana kejujuran dan kesetiaan si kekasih. Tak salah menguji cuma jangan keterlaluan. Saya tahu, bukan gadis ini sahaja yang menguji kekasih hati tetapi hampir semua pencinta menguji kesetiaan dan kejujuran kekasihnya. Ada yang menguji kesabaran kekasih. Seperti yang saya tegaskan, tak salah menguji tetapi jangan keterlaluan menguji. Anda boleh menguji tahap kesabaran kekasih, sesekali bila berjanji, anda boleh datang lewat sedikit dan lihat bagaimana reaksi kekasih anda. Tetapi bukan selalu datang lambat, anda memang mencari masalah. Anda juga boleh menguji kejujuran kekasih tetapi bukan dengan cara sengaja menjadikan anda seorang yang curang.
Bukan sahaja A malah sesiapa pun akan bertindak sama seperti A. Dah lah si gadis melayan A tidak seperti selayaknya layanan yang wajar diterima daripada insan tersayang. Tidak menunjukkan kasih sayang dan bersikap kasar kemudian dengan mudah meluahkan rasa sayang kepada orang lain. Hati kekasih mana yang tak terluka. Di dalam kes ini, A tidak bersalah. Memang A bertindak wajar kerana meninggalkan si gadis sebab A tidak merasakan dirinya disayangi dan penting buat si gadis. Walau si gadis telah berusaha menjelaskan, hati A telah terguris dan tidak mustahil, A sukar mempercayai alasan si gadis. Natijahnya, si gadis menderita dan tidak mustahil, A juga menderita kerana terpaksa berpisah dengan cintanya yang suci.
Lantaran, kepada anda semua yang sedang bercinta, jangan terlalu menguji kekasih anda. Hatta kepada yang telah mendirikan rumah tangga, jangan terlalu menguji pasangan anda. Jangan tak percaya, ada kes isteri menguji kesetiaan suami. Sama seperti kes pasangan sedang bercinta, anda boleh menguji tetapi jangan melampau kerana kesannya juga buruk walaupun anda telah memilikinya. Saya teringat satu kes yang dikendalikan oleh rakan saya, seorang isteri menggunakan kawannya sendiri untuk menguji suaminya dan akhirnya beliau sendiri diuji apabila suami dan kawannya itu mengambil keputusan untuk berkahwin.
Malah, jangan terlalu takut untuk meluahkan rasa kasih. Saya tahu, ada yang enggan melafazkan sayang atau cinta kerana bimbang kasih putus di tengah jalan. Ada gadis yang berpendirian, biarlah ucapan sayang itu hanya untuk lelaki yang menjadi suami. Saya hormati prinsip dan pendirian anda. Cuma jika tidak pernah menunjukkan kasih sayang anda, bagaimana pasangan anda akan tahu bahawa anda menyayanginya? Pakar psikologi mengatakan ucapan cinta boleh memanjangkan umur. Kenapa? Kerana apabila menerima ucapan cinta, hati seseorang akan berasa tenang dan bahagia. Tenang dan bahagia akan membuatkan seseorang itu ingin hidup lebih lama dan sanggup melakukan apa saja untuk meneruskan hidupnya. Itulah maksud panjang umur yang sebenarnya.
Ada juga yang berpendapat, kalau dah selalu diucap, dah tak der zuq atau feel sangat dah. Hmmm… masing-masing punya pendirian tersendiri lah kan. Jika tak mau sentiasa mengucapkan rasa sayang, anda boleh tunjukkan kasih sayang anda melalui perlakuan. Anda tunjukkan keprihatinan anda dan betapa anda mengambil berat tentang si dia. Yang penting, si dia tau anda menyayanginya.
Kepada si gadis, saya nasihatkan agar bersabar dan berdoalah agar Allah memberikan anda ketenangan. Berdoalah juga, jika A sememangnya jodoh yang baik untuk anda, mohon agar Allah memudahkan urusan jodoh anda berdua. Selamat berbahagia.
****Siaran September 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan