Salam Aidil Fitri. Masih sibuk melayan tetamu? Atau sudah tiba giliran untuk anda pula bertandang ke rumah rakan-rakan dan handai taulan? Ketibaan Aidil Fitri sekali dalam setahun pastinya disambut meriah. Inilah juga masanya untuk saling berkunjung bagi mengeratkan silaturrahim. Namun, ada juga yang tidak selesa bila tibanya musim-musim kemeriahan sebegini. Hari ini, saya menerima satu emel daripada seorang wanita yang baru sahaja menjadi isteri. Beliau meluahkan kebimbangannya untuk berhadapan dengan sanak saudara sebelah suaminya kerana yakin tidak akan dapat menyesuaikan diri. Dengan ahli keluarga sendiri pun, beliau tak banyak bercakap. Bagaimana nak berdepan dengan ahli keluarga baru? Beliau mengakui sukar untuk berkomunimasi dan susah nak menyesuaikan diri dengan orang yang baru dikenali.
Saya yakin, bukan wanita ini saja mengalami masalah sebegini. Seingat saya, banyak kali jugak saya mendengar rungutan yang hampir sama. Tak suka bertandang ke rumah mertua kerana tak selesa nak sesuaikan diri. Malah ada juga mertua yang merungut, menantunya hanya berkurung di bilik setiap kali balik ke rumahnya. Hmmm… kisah yang benar-benar berlaku dan bagi saya, kisah yang amat pelik. Kenapa pelik? Ya lah, kenapa sampai begitu sekali jadinya? Kenapa sampai nak kena sembunyi diri dalam bilik? Kenapa boleh rasa tak selesa sedangkan orang yang ada di sekeliling anda masa tu adalah kaum kerabat anda jugak. Perlu diingat, saudara mara suami atau isteri anda adalah juga saudara mara anda. Menerima pasangan anda bererti anda juga perlu menerima ibu bapa pasangan anda dan semua darah dagingnya.
Pemalu? Pendiam? Saya hormati sikap anda namun bagi saya, itu bukan alasannya. Apa yang nak dimalukan? Anda bersama dengan saudara mara dan bukannya orang luar. Kalau pun ada orang luar seperti rakan-rakan pasangan anda, anda tak perlu berasa tak selesa kerana mereka sekadar bertandang untuk mengeratkan perhubungan. Anda juga tak wajar rasa tak selesa untuk membalas kunjungan mereka. Kalau anda jenis tak suka bercakap banyak pun, tak perlu rasa tak selesa. Kalau tak nak bercakap, dengar jer lah apa yang orang lain bualkan. Sesekali tersenyum mengangguk, takkan lah tak boleh.
Anda kena ingat… anda bukan melakukan perkara yang tak baik di sisi agama atau adat. Malah, melayan tetamu dengan baik adalah tuntutan syariat. Jika ada tetamu datang ke rumah anda, anda perlu melayani mereka dengan hati terbuka. Sama juga jika anda bertandang ke rumah orang lain, tak kiralah rumah mertua, saudara mara anda atau rakan-rakan pasangan anda. Anda perlu bermanis muka tika bersama mereka. Tak pandai berbicara pun, sudah pasti anda pandai berkata-kata kan? Cukuplah sekadar memperkenalkan diri anda dan bertanya khabar. Bakinya, sampuklah sesekali apa saja topik yang dibualkan oleh orang di sekeliling anda, paling tidak pun, senyum… sudah memadai. Orang takkan bising atau mencaci maki kerana dengan keadaan anda itu, mereka akan faham… dia ni pendiam rupanya.
Berbeza dengan sikap anda enggan bertandang atau bermasam muka bila menerima tetamu atau ke rumah saudara mara. Sikap berkurung di dalam bilik pula adalah paling tidak sopan dan membuktikan kebiadapan anda. Jangan fikir orang akan menerima sikap anda itu sebagai pemalu atau pendiam. Sikap anda itu akan mencerminkan diri anda sebagai seorang yang sombong, bongkak dan tidak suka berkawan walau mungkin bukan itu hakikatnya. Tambah pulak, kalau dengan saudara sendiri atau rakan sendiri, bukan main riuh lagi anda bercerita. Orang takkan terima ketidak selesaan anda. Sebaliknya anda akan dicap sebagai pilih bulu dan anda akan mula disisihkan.
Saya faham, kita semua manusia punya pelbagai rentak dan ragam hidup. Namun, kita semua punya persamaan, ada mulut, ada hati dan perasaan. Kita semua manusia yang tidak mampu untuk hidup sendirian dan amat memerlukan teman. Jangan anda ingat, aku dah ada sorang kawan baik, aku dah ada teman hidup… cukup lah. Tak cukup… kita tak tau bila masanya nanti, kita mungkin memerlukan pertolongan orang lain yang selama ini kita tak pernah nak cuba kenali. Sebab itulah ada pepatah: Berkawanlah biar seribu…Percayalah… tak susah nak bawak diri di tengah khalayak. Anda cuma perlu ada keyakinan di dalam diri. Yakin bahawa anda sedang melakukan perkara yang tidak dilarang dan yakin bahawa anda adalah manusia yang tidak lepas daripada melakukan apa-apa kesilapan.
Tak susah jugak nak memulakan komunikasi. Seperti yang saya jelaskan di awal tadi, cukup dengan hanya senyuman, hulurkan tangan, perkenalkan diri dan tanyakan khabar. Dengan permulaan yang baik itu, anda tidak akan susah lagi untuk berkomunikasi. Pemalukah anda, pendiamkah anda…anda masih boleh melakukan perkara mudah tersebut tanpa sebarang alasan. InsyaAllah, bila empat perkara mudah itu telah anda mulakan, anda akan diterima dengan baik oleh orang lain dan anda takkan menghadapi masalah lagi untuk berkomunikasi. Tak perlu bimbang untuk memulakan topik atau menyampuk di dalam perbualan kerana akan ada orang lain di sekeliling anda yang akan membawa anda ke dalam perbualannya. Bersama mertua juga mudah. Anda tak perlu rasa bimbang jika ada perkara yang anda tak tau. Berterus terang saja, pasti mertua dan ipar-ipar anda sudi memberi tunjuk ajar. Paling penting, tampilkan diri anda dalam keadaan penuh yakin dan hati terbuka. Biarlah anda sekadar juru dengar atau juru pandang, yang penting anda memeriahkan suasana dengan keberadaan anda di sana.
Bila anda tampil penuh keyakinan dan menyenangkan kebanyakan insan di sekeliling anda, anda pasti menerima undian yang banyak sebagai insan yang mudah didekati.. insyaAllah.
****Siaran Oktober 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan