Seorang suami berjumpa dengan doktor peribadinya, meluahkan rasa bimbang dan risaunya tentang masalah pendengaran yang dihadapi oleh isterinya. Menurut si suami, kerap kali beliau bercakap sendiri. Soalan yang diajukan kepada isteri tidak dijawab kecuali jika mereka berada di dalam jarak yang amat hampir. Doktor mencadangkan agar si suami menguji isterinya. Sampai di rumah, si suami dapati isterinya sedang sibuk di dapur, barangkali menyediakan hidangan makan malam. Pada jarak 5 meter, beliau mula bertanya: “Sayang, apa masakan untuk hidangan malam ni?” Tiada jawapan. Beliau makin hampir, dan mengulangi soalannya, masih tiada jawapan. Akhirnya, hingga tiba pada jarak 1 meter, beliau bertanya lagi dan si isteri pun menjawab; “Abang, saya dah jawab soalan Abang tu 5 kali tau…”
Petikan cerita di atas saya terima daripada satu ‘forwarding email’ yang dihantar oleh pembaca majalah ini juga, terima kasih kerana sudi berkongsi cerita yang menarik ini. Anda mungkin dah faham apakah moral yang terdapat di sebalik cerita tadi. Ya… si suami merasakan isterinya mengalami masalah pendengaran sedangkan hakikatnya beliau sendiri yang bermasalah. Inilah masalah atau lebih tepat lagi kekeliruan yang banyak terjadi di antara suami dan isteri.
Apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini di dalam rumah tangga maka kesilapan atau kesalahan diletakkan kepada pasangan dan bukan diri sendiri. Jika anak tak berjaya di dalam peperiksaan, kebanyakan suami akan menuding jari kepada isterinya konon si isteri gagal mendidik anak-anak. Hakikatnya, mendidik anak-anak bukan tanggung jawab isteri sahaja tetapi tanggung jawab bersama. Apatah lagi kebanyakan wanita sekarang bekerjaya. Jika suami rapat dengan wanita lain, si isteri bising-bising konon suaminya mata keranjang, tak boleh langsung tengok dahi licin. Sama jugak, bila isteri mula dingin dengan suami mulalah suami mengamuk marahkan isteri tak pandai jaga suami, lalai tanggung jawab dan menjadikan alasan sikap dingin isteri untuk mencari wanita lain.
Semua orang tau, hujan turun kerana titik-titik air yang berat terapung di awan. Perut jadi kenyang sebab telah diisi dengan makanan. Setiap perkara yang berlaku semuanya bersebab, ada puncanya. Samalah jugak dengan kehidupan berumah tangga. Perselisihan faham, pergaduhan, mencari orang ketiga… semua tu pasti ada sebabnya. Jangan mudah menuduh pasangan anda sebagai punca permasalahan sebaliknya cermin diri sendiri dulu. Kita semua manusia yang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan kerana kita bukannya sempurna. Seperti yang sering saya tegaskan, anda dan pasangan anda adalah dua insan yang saling melengkapi.. kekurangan pasangan menjadi tanggung jawab anda untuk menampungnya dan anda perlu terima hakikat bahawa anda juga punya kekurangan yang perlu ditampung oleh pasangan anda.
Jika isteri bersikap dingin, cari sebab dan kenapa isteri bersikap sedemikian. Lelaki selalu bercakap, perempuan suka mengikut emosi… benda yang kecik pun diambil kisah. Jika anda percaya dengan tanggapan tersebut, anda perlu bijak menangani emosi isteri anda. Jika isteri anda murung, tanyakan isteri anda kenapa bersikap sedemikian. Jangan ambil mudah kerana tidak mustahil, anda adalah punca kemurungan tersebut. Entah-entah anda terlupa mengucapkan selamat sempena ulangtahun kelahirannya… mungkin bagi anda ianya kecil tapi bagi wanita, bagi seorang isteri… ucapan dari suamilah yang paling berharga. Sebagai isteri pula, jika suami anda mula lewat pulang, makanan dihidang tak dijamah lagi… kenal pasti apa puncanya? Mungkin ada yang tak kena dengan penampilan anda, mungkin masakan anda tak memenuhi selera suami anda. Selidik apa kesalahan diri dahulu, jangan cepat menuduh suami atau isteri anda yang bersalah.
Jika anda buntu, tak tau apa yang tak kena dengan diri sendiri.. ajukan kepada pasangan anda. Apa yang tak kena hingga pasangan anda berubah laku tidak seperti dahulu. Kenapa perlu tanyakan pasangan anda? Kerana pasangan anda juga adalah cermin untuk anda. Dia lebih tahu apa yang tak kena dengan anda dan tanggung jawab anda sebagai pasangan hidupnya yang pernah berjanji setia sebelum ini untuk memberitahu segala apa yang tidak kena tersebut kepadanya. Jangan ambil sikap sewenang-wenangnya menyalahkan pasangan sedangkan anda tidak pernah memberitahu pasangan anda tentang kesilapan tersebut. Jangan fikir, alaaaa… takkan lah tak tau dah buat salah. Anggapan bahawa pasangan anda tahu dan sedar dengan kesalahan tersebut bukanlah sesuatu yang bijak kerana kesilapan pada anda mungkin bukan satu kesilapan pada pasangan anda.
Sebagai contoh, isteri mempunyai banyak cara untuk menyatakan kasih dan sikap mengambil berat terhadap suaminya. Ada isteri yang menelefon suami bertanyakan sama ada dah makan tengahari atau belum. Tindakan isteri itu menjadi bahan usikan kawan-kawan suami konon si suami dikongkong oleh isteri menyebabkan suami tidak suka lalu marahkan isteri. Bukan melenting tetapi bermasam muka dan tidak melayan isteri. Jika anda terus pendamkan kemarahan anda dan membiarkan si isteri tertanya-tanya maka anda dan isteri takkan hidup tenang. Si isteri tidak merasakan tindakannya sebagai satu kesilapan dan hakikatnya pun, itu bukan kesilapan namun mulut manusia, tidak mudah digam atau dijahit bagi menghalang pelbagai spekulasi. Maka, tanggung jawab anda untuk menjernihkan suasana.
Ingatlah, anda dan pasangan anda adalah dua individu yang telah berjanji setia untuk hidup bersama. Walau janji itu tidak anda ucapkan tetapi bila sah ijab dab kabul maka secara tidak langsung, anda terikat dengan janji tersebut. Untuk hidup bahagia bersama, anda perlu sentiasa memerhatikan cermin, untuk penampilan.. jangan sampai menyakitkan mata pasangan anda dan cermin juga peribadi anda, jangan sampai menyakitkan hati pasangan anda.
****Siaran September 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan