Hmmmm… sedar tak sedar, ini adalah topik perbincangan saya yang ke 106 setelah genap 2 tahun pada 10hb ini saya bersama MW. Terima kasih di atas sokongan anda semua. Terima kasih juga kepada pihak MW kerana memberi saya peluang untuk berkongsi sedikit ilmu yang ada dengan peminat majalah kegemaran ramai ini. Sekejap jer kan, terasa macam baru saja saya bersama MW. Ketika mula menyertai MW, anak kedua saya baru belajar merangkak dan hari ini, anak saya itu dah melakukan pelbagai aksi yang mampu membuatkan saya ketawa malah kadang kala boleh menggelegakkan darah saya.
Bila diingatkan kembali, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana saya mampu melihat pembesaran anak-anak di depan mata saya. Daripada mula dilahirkan, susuan pertama, tika anak dah pandai senyum, mula meniarap, merangkak, berjalan dan seterusnya berlari serta melafazkan perkataan. Saya ingat lagi tika anak sulung saya mula menyebut Mi (Ummi), hampir menitis air mata saya, betapa saya gembira dan bersyukur kerana diizinkan menyaksikan saat-saat manis tersebut. Teringat kata seorang pakar: Bersabarlah melayani kerenah anak anda kerana 20 tahun akan datang, anda tak mungkin mendengar rengekannya lagi.
Saya amat setuju… ya lah… sekarang ini bila anak-anak tak dapat apa yang dikehendaki, dia akan merengek, menangis… bila masa kian berlalu, takkan ada lagi rengekan atau tangisan. Bila anak-anak dah mula dewasa, kita pula yang akan ditinggalkan. Teringat saya satu kisah seorang ibu. Ketika kawan-kawan sepejabat bercerita tentang keletah anak masing-masing, tentang bila kali pertama si anak berjalan dan bercakap, dia hanya mengucapkan: Aku tak tau bila kali pertama anak aku berjalan. Aku tak tau apa perkataan pertama yang anak aku cakapkan? Aku tinggalkan anak aku dengan ibu di kampung, menjenguk sesekali dan bila dah umur 5 tahun, baru aku ambil duduk dengan aku.
Hmmm… rugi kan? Betapa ruginya ibu tersebut kerana hilang keistimewaan seorang ibu yang telah dianugerahkan Allah kepadanya. Kenapa saya kata rugi? Kerana seharusnya sebagai seorang ibu, dia mengetahui segala perkara yang berkaitan dengan si anak. Bukan sekadar mengetahui masakan kegemaran tetapi perkara paling indah yang tidak boleh dikongsi dengan orang lain ialah saat pertama melihat si kecil tersenyum, meniarap, merangkak, berjalan dan bercakap. Jika sebagai ibu, anda gagal melalui saat manis itu, sungguh.. anda adalah ibu yang rugi. Kerana selepas itu, takkan ada lagi senyuman pertama, takkan ada lagi langkah pertama dan takkan ada lagi perkataan pertama.
Mungkin ada yang pelik, kenapa tiba-tiba saya membincangkan tentang perkara ini? Seperti topik perbincangan saya kali ini, hargai masa anda, masa yang berlalu takkan berulang lagi. 8hb September 2006 hanya ada sekali… takkan ada 2 apatah lagi 3 atau 4 kali. Senyuman pertama takkan sama dengan senyuman kedua. Perkataan pertama walau pelat dan tak jelas, takkan sama kata-kata petah dan lancar. Lantaran itulah, masa yang ada dan peluang yang dianugerahkan oleh Allah, perlu kita gunakan sebaik-baiknya. Malangnya, daripada pemerhatian saya, kebanyakan ibu masa kini, tidak ambil kisah tentang hak keistimewaan tunggal ini. Ada ibu yang sesenang hati meninggalkan anak kecilnya dengan si ibu yang telah tua di kampung. Alasannya, susah nak cari pengasuh yang boleh dipercayai atau boleh jimatkan kos kerana kos jagaan anak di bandar agak tinggi. Ada juga yang memberi alasan, biarlah si anak dibesarkan dengan suasana kampung kerana bimbang dengan segala macam ranjau hidup di bandar.
Bila anak dah besar, dah boleh basuh kencing dan berak sendiri, dah boleh bezakan yang baik dan yang buruk, barulah anak tadi dibawa semula untuk tinggal bersama…. dan bila si anak tidak mematuhi arahan, maka si anak akan dikatakan kurang ajar, tak dengar cakap dan pelbagai kata-kata yang tidak elok diucapkan oleh seorang ibu kepada si anak. Paling malang, ibu di kampung yang telah bersusah payah membesarkan cucu pulak disalahkan… nauzubillah. Ini bukan cerita rekaan tetapi kisah yang dah pernah terjadi. Jangan anda ingat, anda berhak marahkan ibu anda setelah anda memberikan upah kepada ibu anda setiap bulan kerana gagal mendidik anak-anak anda. Anda tidak tau bagaimana penat, susah dan payahnya membesarkan seorang anak. Daripada bahasa si anak bermula dengan tangisan hinggalah si anak boleh meluahkan kehendak sendiri… semua itu bukan semudah memetik jari.
Saya pernah melihat kepayahan seorang ibu tua menjaga 5 orang cucu berusia antara 2 bulan hingga 3 tahun serentak. Menjaga 2 anak sendiri yang berusia 2 hingga 3 tahun sudah cukup menguji kesabaran saya. Bayangkan kudrat si tua dan cucu-cucu yang sedang lincah dan lasak membesar. Pernah saya lihat, 3 cucunya lingkungan usia 2 hingga 3 tahun, berbogel, bercampur lelaki dan perempuan sambil bermain air di dalam baldi di luar rumah. Saya tak salahkan si ibu, mana nak jaga si kecil yang sedang menangis, mana nak kemas kan rumah, mana nak masakkan makanan untuk suami. Jam 12 tengah malam masih terdengar suaranya mendodoikan cucu. Seawal jam 5 pagi, saya dah boleh dengar si ibu tua ini mencuci baju, menggunakan tangan, bukan mesin basuh. Sungguh, saya faham kekalutan yang dihadapi oleh si ibu tua tetapi saya marah, amat marah dengan anak-anak si ibu tua yang berlaku zalim kepada ibu mereka. Betullah kata Rasulullah s.a.w, di akhir zaman nanti, akan ada ibu yang melahirkan tuannya. Paling tragis, si ibu tua ini akan kesepian dan menangis sendiri apabila cucu yang selama ini menemani hidupnya telah diambil pergi.
Bagaimana si anak akan patuh dengan kata-kata anda jika selama ini bukan anda yang menjaga dan mendidiknya? Bila anak mula memberontak, anda akan marah dengan pelbagai bahasa yang selama ini tidak pernah diucapkan oleh nenek yang menjaga dengan penuh kasih sayang. Inilah salah satu punca kekacauan di dalam rumahtangga. Lantas, koreksi diri, jangan jadi ibu yang rugi, jangan jadi anak yang menzalimi ibu sendiri. Anda masih punya masa untuk berubah… demi anak-anak anda, permata hati anda…
****Siaran September 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan