Antara puluhan email yang saya terima, hampir sebahagiannya mengemukakan masalah suami mengabaikan nafkah zahir antaranya suami tidak memberikan nafkah yang cukup, suami tidak memberikan nafkah zahir langsung dan ada juga yang menderita kerana suami mengutamakan ibu mereka. Lantas, saya ditanya, antara isteri, rumahtangga dan ibu, yang mana satukah perlu diutamakan?
Syurga di bawah tapak kaki ibu…memang semua orang dah arif sangat mengenai hal ini. Kita sebagai anak, perlu menghormati ibu, mentaati ibu dan menurut segala kata-kata ibu tetapi…ada batasannya. Batasan inilah yang jarang sangat orang kita ambil kisah, tak kira lelaki atau perempuan. Sebab itu ler ada para isteri yang sanggup mengenepikan suami kerana mengikutkan cakap ibu dan ada pula para suami yang mengenepikan urusan dan kebajikan rumahtangga semata-mata untuk memenuhi segala kehendak ibunya.
Sebenarnya ketaatan yang melampau ini tidak wajar diamalkan malahan dilarang oleh agama. Sebagai seorang anak, ketaatan kepada ibu malah bapa kita bukanlah satu ketaatan yang mutlak. Sekiranya kehendak atau arahan ibu bapa kita menyalahi syariat agama maka kita dibenarkan untuk tidak patuh dan tidak taat. Begitu juga, tahap ketaatan kepada ibu bapa akan berubah selepas anak-anak mendirikan rumahtangga.
Apabila seorang anak perempuan memasuki gerbang perkahwinan maka taraf kepatuhan kepada ibu bapa jatuh pada kedudukan kedua dan suami mengambil tempat pertama untuk isteri nyatakan ketaatan. Namun, sama seperti ketaatan kepada ibu bapa, ketaatan kepada suami juga bukanlah ketaatan yang mutlak. Ketaatan kepada suami adalah terbatas kepada perkara-perkara yang tidak melanggar kehendak syariat.
Saya teringat satu kes yang pernah saya kendalikan, seorang wanita menelefon saya sambil menangis-nangis. Katanya beliau terlalu rindukan ibu dan ayahnya kerana telah hampir lapan tahun tidak bersua muka, bertanya khabar hanya melalui pesanan saudara. Malah, beberapa bulan sebelum beliau menghubungi saya, beliau menunaikan haji bersama suami dan takdir menetapkan khemah mereka bersebelahan dengan khemah ibu dan ayahnya yang turut serta menunaikan haji tetapi beliau tidak berani mendekati, bimbang dimurkai suami.
Sebabnya, suaminya melarang beliau daripada menghubungi ibu dan ayahnya. Bila ditanya kenapa suaminya mengeluarkan arahan sedemikian. Katanya, suaminya marah sebab ayahnya (mertua suami) enggan memberi hutang kepada suaminya untuk membesarkan perniagaannya. Saya beristighfar di dalam hati. Patuhnya kau pada arahan suami tapi sayang… kepatuhanmu tidak kena pada tempatnya.
Di dalam kes sebegini, arahan suami wajar dan boleh diengkari malahan isteri tidak akan menanggung dosa kerana tidak menuruti kata-kata suami. Ini adalah kerana arahan suami telah menyebabkan si anak hampir menjadi anak derhaka walaupun ibu dan ayahnya mungkin memahami tetapi kelukaan yang tersemat di dalam hati, tetap menyebabkan si anak hidup di dalam keadaan tidak diredhai.
Bagi anak lelaki pula, perkahwinan baginya seakan satu pintu yang kadang kalanya tertutup dan ada tikanya terbuka untuk ibu dan bapanya. Ini adalah kerana tanggungjawab seorang lelaki akan lebih utama kepada isteri dan rumah tangganya. Paling ketara, di dalam pemberian wang perbelanjaan, bagi seorang lelaki, setelah beliau menerima upah atau gaji yang memberi erti sebagai pendapatannya, maka beliau perlu membahagikannya mengikut keutamaan berikut: pertama; keperluannya untuk belanja harian termasuk ulang alik ke tempat kerja, kedua; keperluan isteri, ketiga; keperluan rumahtangga dan anak-anak dan sekiranya ada baki daripada pembahagian tersebut, barulah disumbangkan untuk ibu bapa.
Perlu diingat…keperluan amat berbeza dengan kehendak. Yang dikatakan keperluan ialah benda-benda yang perlu dan penting sahaja, memenuhi kehidupan sederhana yang dianjurkan oleh agama kita. Namun, jangan sampai menyalah faham konsep sederhana yang dianjurkan oleh Islam. Sederhana bukanlah bererti kita memaksa diri merasa selesa dengan apa yang ada sedangkan kita layak dan berhak untuk mendapat yang lebih baik tetapi terhalang kerana hasrat untuk menyenangkan pihak lain yang bukan di bawah tanggung jawab kita.
Sebagai isteri juga, jangan menyalahgunakan kuasa yang Islam berikan kepada kita apabila keperluan kita lebih dulu diutamakan daripada keperluan ibu dan ayah suami kita. Seperti yang saya tegaskan sejak awal lagi, segalanya perlu sederhana di dalam konsep yang sebenarnya.
Mungkin ada di antara para suami yang terpaksa menyara ibunya, mungkin juga ayahnya yang telah uzur, mungkin juga adik-adiknya yang masih kecil…keadaan ini memerlukan kita bertindak lebih rasional dan profesional. Jangan sesekali menyalahkan suami apabila suami hanya mampu memberikan kita keperluan sedangkan pendapatan suami amat mampu memberikan kita kemewahan tetapi terlarang dek kerana suami perlu menyumbangkannya kepada ibu bapa atau adik-adiknya. Kenapa? Kerana kita sendiri yang memilih jalan tersebut. Sebab itulah, sebelum mengambil keputusan untuk sesebuah perkahwinan, pertimbangkan segalanya dan jangan tersirna dek kilauan cinta yang buta.
Ingatlah juga, keluarga mertua juga berhak mendapat layanan mesra dan sama seperti kita melayan keluarga kita.
****Siaran Januari 2005
Tiada ulasan:
Catat Ulasan