Awal Disember yang lalu saya dijemput ke rancangan Malam Ini Bersama Z&R siaran Astro Ria. Topik yang amat menarik perhatian saya sendiri iaitu Pilih Menantu.
Seperti saya sendiri yang tertarik dengan topik bakal dikupas, begitu juga sambutan penonton, seperti kata penerbit, talian bertalu-talu hingga tidak terlayan disebabkan kesuntukan masa. Saya juga menerima banyak emel yang menanyakan soalan-soalan berkaitan. Lantaran, saya mengambil kesempatan melalui ruangan ini untuk kembali membincangkan topik tersebut dan tumpuan saya kali ini lebih kepada menantu perempuan dan ibu mertua kerana dua insan inilah yang sering bermasalah rentetan daripada satu perkahwinan.
Perkahwinan sememangnya perkongsian hidup seorang lelaki dan seorang wanita. Walaupun perkongsian hidup hanyalah melibatkan dua insan dan dua jiwa tetapi ianya tetap mempunyai pertalian dan hubungan dengan insan lain yang berada di sekeliling kedua-dua mereka… ibu, bapa, adik-beradik, sanak saudara, sahabat handai.
Mungkin sanak saudara dan sahabat handai tidak terlalu penting lantaran mereka itu di dalam kelompok hubungan yang jauh. Tetapi ibu bapa dan adik beradik adalah kelompok yang dekat dan amat rapat. Sebab itulah wajarnya sesebuah perkahwinan yang bakal berlangsung mendapat restu dan izin daripada ibu dan bapa kedua-dua bakal pengantin.
Ya… saya akui memang ramai yang masih mengamalkan sikap Mak Dara di dalam filem Ibu Mertuaku tetapi secara asasnya, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya dan setiap masalah yang dihadapi ada jalan penyelesaiannya. Pokok ceritanya, setiap ibu dan bapa inginkan kebahagiaan bagi anak-anak mereka. Kerana itulah, ada ibu bapa yang terlalu campurtangan di dalam urusan jodoh anak-anak hingga bertindak bagai memaksa. Malah ada yang asalnya bersikap manja bertukar menjadi naga apabila menantu bukan pilihan hati mereka.
Sebenarnya, sebagai menantu, mempunyai seorang ibu mertua adalah satu kelebihan kerana kita mempunyai dua orang ibu dan saya tidak berpeluang merasai nikmat itu. Lantas, apabila ada di kalangan rakan-rakan yang menceritakan kebaikan ibu mertua, terus terang, saya rasa amat cemburu tetapi bila ada pula yang menceritakan sikap ibu mertua yang tak sanggup dihadapi… terdetik pula, Alhamdulillah, aku tidak diuji sedemikian rupa. Persoalannya, bagaimana untuk menjadi sebagai seorang menantu kesayangan dan seorang ibu mertua yang dibanggakan?
Perlu diingat, rasa suka berkemungkinan tidak kekal selamanya, begitu juga rasa tidak suka boleh berubah menjadi suka jika kena caranya. Bagi memperolehi anugerah menantu kesayangan dan mertua kebanggaan perlulah ada pengorbanan. Apa yang penting ialah masing-masing pihak bersikap terbuka dan lebih rasional di dalam apa jua keadaan dan situasi. Seorang menantu perlu lebih bijak memainkan peranan di dalam menambat hati mertua. Ibu mertua kita adalah seperti ibu kita sendiri yang perlu kita hormati dan sanjungi.
Walaupun kita bukanlah menantu pilihan, kita yang perlu lebih mendedahkan diri kita kepadanya, pikat hatinya, pujuk kasihnya walau segala macam dugaan kita terima. Memang mengambil masa dan perlu menjeruk rasa tetapi percayalah, insyaAllah… berkat segala kegigihan dan pengorbanan kita, mertua akan menerima kita dan tidak mustahil di suatu ketika nanti, kita adalah menantu kesayangannya.
Ada juga jenis mertua yang tidak percayakan menantunya untuk menguruskan segala keperluan anaknya. Malah di dalam satu kes, seorang isteri memohon cerai daripada suaminya kerana setelah lebih setahun berkahwin, ibu mertuanya masih mahu menemani tidur anaknya (suami) sedangkan isteri pula terpaksa tidur bersendirian. Di dalam kes-kes melibatkan gelagat dan kerenah mertua yang keterlaluan seperti ini, si anak iaitu suami perlu lebih tegas. Memang tanggungjawab anak untuk patuh kepada kata-kata ibu tetapi bukan sampai merungkaikan sebuah ikatan perkahwinan. Seorang lelaki sejati perlu bijak menangani kerenah isteri dan gelagat ibu sendiri.
Sebagai mertua pula, kita juga perlu lebih bersikap terbuka. Kita sebagai orang yang lebih tua, yang lebih dulu rasa masinnya garam, yang lebih dulu rasa manisnya gula, jangan terlalu mengikut rasa. Terimalah takdir dan ketentuan Ilahi bahawa itulah menantu kita walau dia bukan pilihan hati kita. Kita perlu tahu dan ingat, isteri anak kita berperanan membahagiakan kehidupan anak kita. Apabila kita campurtangan dalam urusan yang tidak sepatutnya, tentulah porak peranda hidup anak kita.
Namun begitu, bukan bererti kita hanya boleh sekadar memerhati. Sekiranya ada kelakuan dan sikap menantu yang tidak kena dengan tatasusila dan kehendak agama, dekati anak kita dan minta anak kita lebih tegas terhadap isterinya demi kerukunan rumahtangga mereka. InsyaAllah, kita akan bincangkan lagi tentang sejauhmanakah ibu bapa berhak campurtangan di dalam urusan rumahtangga anak-anak di dalam resipi yang lain pula.
****Siaran April 2005
Tiada ulasan:
Catat Ulasan