Beberapa hari lepas, saya mendapat khabar yang membuatkan saya rasa gembira dan amat berbangga. Seorang klien yang pernah mendapatkan khidmat saya lebih lima tahun lepas kini telah berkahwin semula. Syukur kepadaNya Yang Maha Esa…sungguh, kebahagiaan pasti datang di hujung segala kekecewaan dan penderitaan yang dihadapi andai ada kesabaran dan ketabahan di dalam diri.
Sebenarnya, klien saya yang juga telah menjadi kakak angkat saya selepas itu dan sering bertukar cerita cuma sejak lebih setahun lepas, kami jarang-jarang berhubungan lantaran kesibukan tugas masing-masing, diceraikan suaminya selepas setahun perkahwinan. Memang perit dan pedih takdir hidupnya tika itu apatah lagi kebahagiaan daripada perkahwinan yang diharapkan berterusan sepanjang hayat cuma bertahan sebulan sahaja.
Ya…hanya sebulan dan selepas sebulan, sikap dan perangai suaminya berubah seratus peratus. Daripada seorang yang penyayang menjadi sebaliknya dan paling menyedihkan ialah ketika hendak bersama, si suami meminta isterinya menutup muka. Memang menyakitkan hati. Pada mulanya si isteri menurut walau terluka namun sampai bila. Isteri bukanlah tempat pemuas nafsu semata. Apabila si isteri bersuara, suami mula menyinga akhirnya menyuruh isteri keluar daripada rumah.
Bagi isteri yang telah menyintai sepenuh hati walau hanya mengenal suami dalam tempoh masa seketika, tidak mungkin menurut kata suami tika itu walau hakikatnya hati seperti dituris dan dihiris. Isteri berpendapat suami tercinta telah terkena buatan orang atau ilmu guna-guna apatah lagi suaminya adalah seorang duda. Mungkin bekas isteri merasa cemburu dan cuba menggunakan ilmu hitam untuk memutuskan hubungan mereka.
Suami pula, apabila segala caci maki dan herdikan diterima si isteri dengan redha akhirnya telah bertindak menghantar si isteri ke rumah keluarganya. Dua diri dalam satu ikatan kini terpisah namun bagi isteri yang terpisah hanya jasad tetapi di hatinya, suami adalah insan paling istimewa. Berbagai usaha dilakukan untuk memulihkan suami daripada ilmu hitam yang kononnya mengubah sikap suami.
Namun, segalanya telah tersurat dan selepas setahun, suami mengucapkan talak kepada isteri yang setia. Punah segala impian dan harapan. Baru tersedar selama ini suaminya memang sengaja melukai dirinya dan bukan kerana ilmu buatan sesiapa. Tika berjumpa saya, segala diluahkan termasuklah ayat yang suaminya ucapkan…dulu aku terluka, kali ni masa kau pulak… Setelah diselidiki, rupa-rupanya klien saya menjadi bahan balas dendam suaminya yang sakit hati setelah dikecewakan isteri pertama, cinta hatinya sepenuh jiwa.
Memang kisah tragis apabila menjadi mangsa balas dendam pasangan kita. Mungkin ada yang tidak percaya tetapi itulah hakikatnya. Walaupun begitu, saya berbangga dengan klien saya itu kerana beliau menerima segalanya dengan tabah dan redha. Namun, walau redha segalanya, haknya sebagai isteri teraniaya tetap diperjuangkan dan akhirnya selepas hampir setahun berperang, haknya terbela dan suami durjana itu menerima padah kesan perbuatannya.
Namun, seperti yang dimaklumi, status janda merosakkan segala termasuklah pandangan hina yang dilemparkan kepadanya walaupun klien saya ini, lemah lembut dan amat baik orangnya. Pernah sekali seorang lelaki mencuri pintu hatinya setelah luka lama berjaya diubati dan perancangan memang ke jinjang pelamin namun terhalang apabila keluarga pihak lelaki merasa curiga dengan diri klien saya itu lantaran perkahwinannya terdahulu berusia setahun sahaja.
Inilah masyarakat kita, terlalu mudah meletakkan kesalahan kepada seseorang tanpa usul periksa. Tidak semua janda itu sikapnya hina, begitu juga tidak semua duda itu berperangai durjana. Sesebuah ikatan perkahwinan boleh terlerai apabila dua individu yang sebelum ini bersatu hati kini tidak dapat sehaluan lagi. Memang ada kes berat seperti kes klien saya ini tetapi bukan semuanya, jadi jangan pukul rata setiap janda atau duda sama sahaja.
Setiap insan di dunia tak kira dara atau teruna begitu juga janda atau duda mempunyai hak untuk hidup bahagia. Berikan mereka peluang untuk mendapatkan hak kebahagiaan tersebut.
Kakakku…semoga segala kebahagiaan menjadi milikmu. Kuburkan luka lama kerana gerbang bahagia kini menaungi hidupmu.
****Siaran Februari 2005
Tiada ulasan:
Catat Ulasan