Saya yakin, para pembaca semua masih ingat lagi satu kisah benar, pengakuan seorang duda di dalam majalah kesayangan kita ini, di dalam beberapa siri yang lepas bertajuk “Aku yang salah tapi dia yang curang”.
Meneliti cerita tersebut pada masa itu, saya teringat kisah seorang rakan yang sedang menghadapi masalah di dalam rumah tangganya. Mengetahui rakan saya ini bermasalah memang amat mengejutkan saya kerana sepanjang saya mengenali rakan saya yang juga merupakan saudara angkat saya dan pasangannya itu, sejak sebelum kahwin lagi hinggalah telah mempunyai sepasang cahayamata yang telah meningkat remaja, mereka terkenal sebagai pasangan yang cukup romantis.
Masalah timbul bila rakan saya itu menghidu perhubungan rapat antara suaminya dengan seorang wanita lain. Apabila rakan saya mengajukan situasi tersebut kepada suaminya, suaminya bertubi-tubi menghalakan peluru menyalahkan rakan saya. Banyak sebab tetapi yang penting sekali, kononnya rakan saya mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan seorang ibu kerana terlalu sibuk dengan dunia perniagaannya. Lantas, si suami mencari layanan istimewa di luar.
Dua kisah berbeza tetapi mempunyai tema cerita yang sama. Sebenarnya, bukan dua kisah ini sahaja yang mempunyai tema dan plot cerita yang hampir sama malah terlalu banyak kisah seperti ini di dalam era globalisasi ini. Ada kisah kasih suami beralih arah. Ada juga kisah sayang isteri berubah. Semuanya hanya kerana pasangan masing-masing dikatakan mengabaikan mereka kerana sibuk mengejar harta dunia.
Persoalannya, manakah yang lebih penting dan perlu diberikan keutamaan, kecemerlangan kerjaya atau kegemilangan keluarga?
Kalau ditanyakan kepada saya, bagi saya, kedua-duanya sama penting dan sama-sama perlu diberikan keutamaan yang hampir sama rata. Tak boleh kurang salah satu antara keduanya. Kenapa? Kerana kecemerlangan kerjaya perlu untuk kegemilangan keluarga dan keluarga sukar gemilang andai kerjaya kecundang.
Apa yang penting sebenarnya, bukan menyalahkan pasangan yang sibuk menguruskan kerjaya untuk kesenangan keluarga di masa depan. Tetapi, berusaha memahami kesibukan tersebut dan jadikan ianya sebagai satu pengorbanan pasangan yang terbesar demi kebahagiaan rumah tangga dan keluarga.
Mengertilah, suami atau isteri kita bertungkus-lumus bekerja untuk kesenangan keluarga. Mereka sendiri mengorbankan masa senggang dan terluang mereka untuk bersukaria dan bergembira bersama keluarga malahan rakan-rakan demi berusaha ke arah kesenangan hidup diri sendiri dan keluarga di masa depan. Mereka bukannya berpoya-poya mencari keseronokan luar hingga mengenepikan pasangan dan keluarga.
Jika ditanyakan kepada mereka yang sibuk ini, apakah mereka gembira dengan kesibukan tersebut hingga perlu mengurangkan masa bersama keluarga? Sudah pasti jawapan yang akan kita perolehi adalah TIDAK…. tetapi mereka terpaksa berbuat demikian untuk kesenangan hidup di masa depan. Sebab itulah, ada pasangan yang semasa mudanya bergelut dengan kerjaya dan bila kecemerlangan dikecapi, meninggalkan segalanya untuk bersama keluarga.
Namun, suami atau isteri yang sibuk dengan kerjaya tetap perlu bijak menggunakan masa. Seperti yang saya katakan di awal tadi, kerjaya dan keluarga, kedua-duanya sama penting. Di dalam kesibukan bekerja, luangkan sedikit masa untuk keluarga. Bukan kuantiti yang perlu diambil kira tetapi kualiti masa tersebut.
Seperti kisah seorang sahabat, suaminya seorang ahli perniagaan dan sentiasa sibuk dengan urusan perniagaannya tetapi, satu hari di dalam seminggu iaitu pada hari minggu, sehari suntuk waktu tersebut digunakan untuk isteri dan anak-anak malahan ibu bapanya.
Saya percaya, setiap insan sama ada yang bernama isteri atau suami, tidak mengharapkan setiap saat mendapat layanan daripada pasangannya. Juga tidak mengharapkan sepanjang masa bersama pasangan dan ahli keluarga. Memadailah waktu yang seketika diisi dengan penuh makna.
Paling penting, setiap orang wajib cuba memahami pasangan masing-masing dan tidak hanya memikirkan kepentingan diri sendiri.
****Siaran Februari 2005
Tiada ulasan:
Catat Ulasan