Seorang rakan sekerja meluahkan rasa letih dan penat dan rasa resahnya kerana seringkali kesihatannya terjejas, tidak seperti hari-hari biasa sebelum ini, sejak hampir tiga bulan mengandungkan anak sulungnya, hasil perkahwinannya kira-kira enam bulan lepas. Saya tersenyum sendiri lantas mengucapkan, macam tu ler susahnya mak kita ketika mengandungkan kita dahulu…itu belum lagi bab melahirkan ke dunia.
Sungguh, saya sendiri mempunyai dua pengalaman dan saya yakin, masih ramai lagi wanita di luar sana yang berpeluang mempunyai hingga berbelas pengalaman berkaitan mengandung dan melahirkan bayi ini. Kepada yang belum pernah merasai, bersabar dan berdoalah, insyaAllah, masanya akan tiba.
Kembali kepada peluang yang saya maksudkan. Sebenarnya, kita kaum wanita, kaum ibu juga… sewajarnya bersyukur kerana berpeluang merasai pengalaman tersebut. Bukan sekadar berbangga memiliki cahayamata pengikat kasih antara suami isteri. Bukan sekadar gembira mempunyai permata hati penghibur di kala sepi. Sebaliknya kita harus dan wajib bersyukur kerana kita berpeluang merasai betapa pengorbanan ibu kita ketika mengandungkan kita selama lebih sembilan bulan. Kemudiannya pengorbanan ibu kita bertarung nyawa melahirkan kita ke dunia ini.
Cuba pejamkan mata, renungkan… sebegini payah dan susah tatkala aku mengandungkan anak ini, begini jugalah susahnya ibuku ketika mengandungkan aku dulu… insafnya…!!!
Tapi, berapa ramai yang insaf? Ingat lagi artikel saya tentang jangan salah guna kuasa ibu… memang ada kaitan antara dua artikel ini. Mungkin anak-anak akan terfikir… hah! Kan dah cakap… ibu ler yang kena faham selera kita… jangan fikir kehendak sendiri jer…
Anak-anak kena ingat, apa yang ibu lakukan adalah demi kebahagiaan kita sebagai anak. Tak pernah ada ibu yang mempunyai hati yang suci dan kasih yang tulus mengharapkan anak-anaknya menderita. Kenapa? Kerana ibu telah sanggup mempertaruhkan nyawanya sendiri demi melahirkan anaknya ke dunia yang penuh dugaan dan cabaran ini.
Mungkin ada yang kata…dulu kau jugak yang cakap anak-anak tak minta dilahirkan ke dunia… ya, saya akui kebenaran itu tetapi fikirkanlah, tidak berasa bertuah dan beruntungkah kita mengenali dunia ini? Kita pernah menjadi pengikat kasih sepasang suami isteri. Kita pernah disayangi, dibelai dengan penuh kasih hatta nyamuk seekor nak cuba gigit pun tak diberi. Bukan sekadar mengandung, melahirkan tetapi mendidik kita dengan penuh kasih sayang. Apakah penderitaan yang wajar kita hadiahkan kepadanya?
Kaum lelaki dan para bapa mungkin tidak berpeluang merasai betapa teruknya bebanan seorang ibu namun bukan bererti saya menidakkan peranan kaum suami dan para bapa di luar sana. Memang besar peranan mereka tetapi pengorbanan ibu sukar dicari ganti. Insafilah pengorbanan ibu kita.
Para suami pula, hargailah isteri anda. Insafilah, isterimu menggadaikan nyawanya demi melahirkan zuriat untukmu… walau seorang sahaja, pengorbanannya itu tak mungkin dapat kau tebus dengan segala harta yang ada di dunia. Usah kau salahkan rupanya yang makin kerepot, kulitnya yang makin mengendur, semua itu hadiah dari pengorbanannya bagi menyambung salasilah keturunanmu.
Tahukah kau berapa urat yang putus… berapa isi kulit yang tembus? Malah, ada kes yang masih melekat di minda saya ini, bagaimana pengorbanan seorang isteri melahirkan sembilan orang anak untuk suaminya dan ditakdirkan, selepas kelahiran kesembilan, isteri mengalami lumpuh seluruh badan. Bukannya suami nak tolong jaga tetapi ditinggalkannya si isteri bersama-sama sembilan orang anak tadi demi mencari yang lebih muda dan mampu melayani kehendaknya. Orang yang begini sepatutnya mati di dalam tragedi seperti tsunami.
Namun, tak dinafikan ada ramai lagi lelaki yang menghargai dan ada antara lelaki yang berpengalaman melihat sendiri kesusahan isteri ketika melahirkan zuriatnya, melarang isterinya daripada mengandung lagi… tak sanggup katanya. Persoalannya… berapa ramai lelaki sebegini.
Kami para ibu pula, memang terasa peritnya ketika melahirkan tetapi seperti kata kebanyakan orang, bersalin ni seperti makan cili… terasa pedas tapi nak lagi… dan kami para isteri berbangga apabila dapat menghadiahkan anak-anak kepada suami, satu hadiah yang hanya kita dapat berikan kepada mereka, betul tak? Sebab tu ler antara alasan dibenarkan poligami adalah jika isteri tidak mampu melahirkan. Tak kurang jugak, dah ada anak sekoyan, masih mencari dahi licin yang lain…. jenis ni memang ler sukar difahami.
****Siaran Mac 2005
Tiada ulasan:
Catat Ulasan