Sebelum saya panjangkan perbincangan ini, saya ingin memohon ribuan kemaafan kepada para pembaca semua yang telah mengirimkan emel kepada saya. Saya menerima puluhan emel bagi setiap sesi keluaran dan saya tidak dapat membalasnya dalam tempoh segera memandangkan komitmen tugasan lain yang sedia ada. Lantaran, saya perlu mencari ruang dan masa walau ada antaranya telah saya jawab dan memang masih banyak lagi yang tersimpan di dalam fail saya. InsyaAllah, saya akan berusaha menjawab semuanya, percayalah.
Topik pilihan saya minggu ini juga ada kaitan dengan salah satu emel yang saya terima. Seorang isteri dari utara tanahair menceritakan perihal suaminya yang bersikap cemburu buta dan panas baran. Lebih sepuluh tahun berkongsi hidup, suami masih tidak meletakkan kepercayaan yang wajar kepadanya. Pantang membalas senyuman lelaki lain hatta rakan sekerja, dah dikatakan si isteri berlaku curang. Telah cuba berbincang malah telah diadu kepada pihak yang berwajib, suami dengan lantang mengatakan… tidak ada sesiapa yang dapat memisahkan dia dari isterinya kerana kuasa talak di tangannya.
Hmmm… egonya kau lelaki… siapa kata hanya kau saja yang mempunyai kuasa talak? Ya, memang diakui bahawa kuasa melafazkan talak itu terletak di tangan lelaki atau suami tetapi ketahuilah bahawa Islam memperuntukkan bahawa isteri juga mempunyai kuasa untuk memutuskan ikatan sesebuah perkahwinan. Malah, kuasa wanita atau isteri lebih besar berbanding kuasa suami. Kenapa? Kerana suami hanya arif mengenai talak tetapi isteri berkuasa menggunakan khuluk, fasakh, takliq malah juga isteri boleh memanipulasikan kuasa talak suami.
Bagaimana memanipulasikan kuasa talak suami? Seksyen 47 Akta Undang-undang Kekeluargaan Islam Wilayah Persekutuan (peruntukan yang sama bagi negeri-negeri lain di Malaysia, hanya berbeza sekysen sahaja) memperuntukkan bahawa sesebuah perkahwinan hanya boleh dipisahkan apabila ada persetujuan kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri. Bererti apabila seseorang individu itu samada suami atau isteri inginkan perceraian maka Mahkamah menetapkan bahawa perceraian tersebut perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Sekiranya salah satu pihak tidak bersetuju maka perceraian tidak dibenarkan dan kes akan dibawa ke jawatankuasa pendamai.
Melalui jawatankuasa pendamai ini pula, sekiranya masih wujud pergolakan maka diwujudkan satu pihak yang dinamakan hakam. Di sinilah kuasa talak suami boleh dimanipulasikan. Sekiranya pihak yang memohon perceraian adalah pihak isteri dan suami berkeras enggan menceraikan sedangkan pihak jawatankuasa pendamai dan hakam berpendapat perceraian antara kedua mereka adalah wajar, maka hakam akan mengambil alih kuasa cerai daripada suami. Menepati bahawa, isteri juga mempunyai kuasa cerai atau talak.
Begitu juga dengan fasakh, khuluk dan takliq… ketiga-tiganya memberikan kuasa kepada isteri untuk mendapatkan jalan keluar dari perkahwinan yang tidak lagi memberikan kedamaian dan kebahagiaan kepada mereka. Lantas, wahai lelaki dan suami yang merasakan hanya kamu mempunyai kuasa menceraikan… berfikirlah semula dan berhati-hati dengan tingkahmu… jangan sampai satu masa, kamu yang diceraikan oleh isteri kamu.
Pengalaman saya mengendalikan kes-kes rumahtangga pula, kebiasaannya para suami umumnya mengetahui segala yang saya jelaskan ini cuma enggan mengakui kebenarannya. Para isteri pula, bagi yang jarang-jarang menimba ilmu tentang perceraian ini… ada kalanya dengan alasan takut memakan diri… maka mereka berdiam diri walau seribu penderitaan dan kesakitan dialami.
Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada para isteri dan kaum wanita keseluruhannya agar sentiasa penuhi minda dengan ilmu yang membina dan berguna. Tidak cukup ijazah pertama, ijazah kedua atau apa jua sijil yang ada andai ilmu mengenai rumahtangga tidak kita ketahui. Paling penting, kita perlu mengetahui segala hak-hak kita yang diperuntukan di dalam syarak dan diwartakan di dalam undang-undang demi kebaikan dan kepentingan kita di masa depan.
Tidak ada cela atau badinya jika kita mengetahui tentang perpisahan, tentang perceraian. Tak semestinya bila kita tahu mengenai talak maka kita akan diceraikan. Ingat lagi kisah yang pernah saya paparkan mengenai seorang klien saya yang langsung tidak ingin menyebut perkataan cerai apatah lagi membaca mengenainya kerana bimbang terkena sampukannya. Akhirnya, diceraikan juga.
Walaupun mendung tidak bererti hujan namun menyediakan payung tidak mendatangkan secebis pun kerugian. Tepuk dada tanya selera, tepuk dahi tanya minda. Kalau dah bertepuk-tepuk dahi banyak-banyak kali… alamatnya memang minda kosong, fikiran dah tentu bingung. Pilihan di tangan kita.
****Siaran April 2005
Tiada ulasan:
Catat Ulasan