“Usahlah ku disalahkan, terjadinya perpisahan ini, itu suratan takdir…tak terlintas di hati ini, untuk aku jatuh cinta lagi, tapi takdir yang menentukan…”
Saya yakin, ramai di kalangan pembaca yang seusia dengan saya mengetahui lirik lagu di atas, lagu Suratan Takdir nyanyian kumpulan Gersang yang popular sekitar tahun 1988. Malah, saya yakin, ramai di antara pembaca yang menonton siri identiti Kalau Itu Takdirnya, siaran TV3. Mungkin juga semasa tersiarnya artikel saya ini, cerita tersebut telah tamat namun, bukan kisah tersebut yang menjadi fokus saya kali ini tetapi isu menyalahgunakan ketentuan takdir yang ingin saya bincangkan.
Saya teringat kata-kata suami kepada klien saya, semasa sesi kaunseling bersemuka…”I tak pernah terniat pun nak bercinta dengan perempuan tu tapi takdir yang menentukan..habis I nak buat camana lagi?” Tersenyum kelat saya dengan kata-kata lelaki tersebut.
Hai… kalau lah semua orang sebegini… habis tu, katakanlah seorang peragut ditangkap polis dan bila polis tanyakan, kenapa awak meragut cam ni? Si peragut lak menjawab…bukan niat saya nak meragut tuan, dah takdir tentukan saya meragut…nak wat camner? Dah tentu teruk peragut tu kena belasah dek polis.
Saya bukannya nak melalut cuma saya nak tarik perhatian pembaca kepada isu kali ini. Sememangnya kita semua tahu, takdir penentu segala tetapi…kita sebagai hambaNya diwajibkan untuk berikhtiar dan berusaha. Jangan senang-senang saja menyalahkan takdir. Semua yang terjadi kerana takdir…segala yang berlaku disebabkan takdir.
Sebagai seorang yang waras, kita sepatutnya tahu pusingan kejadian sesuatu perkara. Sememangnya segala yang berlaku telah ditetapkan lebih dulu. Ketetapan inilah yang dinamakan qada’. Namun qada’ mempunyai pasangannya iaitu qadar. Qadar ialah perkara yang ditetapkan boleh tidak berlaku atau terjadi sebaliknya dengan adanya usaha dan ikhtiar.
Sebagai kata mudah, Allah yang Maha Berkuasa telah memberikan kita pilihan untuk menentukan jalan hidup kita. Sekiranya kita inginkan kebahagiaan, Allah akan berikan kita kebahagiaan. Sekiranya kita inginkan kejayaan, Allah akan berikan kita kejayaan. Sekiranya apa yang berlaku tidak memenuhi kehendak dan impian kita, selidikilah dan koreksi diri kita… pasti ada yang tidak kena… pasti ada sebab dan musababnya yang menyebabkan impian kita tak terlaksana.
Sememangnya tak ada seorang pun di antara kita yang inginkan kesedihan atau penderitaan tetapi Allah tetap mengurniakannya kepada kita, kenapa? Ada tika dan kalanya segala kesedihan dan penderitaan itu adalah sebagai jalan untuk kita lebih akrab dengan Allah… mungkin selama ini kita terleka dan telah jauh daripada jalanNya.
Ada tikanya pula, kekecewaan dan penderitaan ini adalah sebagai satu ujian kepada kita agar iman kita makin kukuh dan mantap. Dengan adanya ujian sedemikian, kita akan lebih mendekatkan diri kepada Allah dan akan lebih bergantung harap kepadaNya dan percayalah… apabila satu pintu kegembiraan tertutup buat kita, akan ada lagi satu pintu kegembiraan yang terbuka cuma selalunya kita tidak menyedari kehadiran pintu kedua tersebut.
Seperti yang Allah janjikan juga, setiap kejadiannya mempunyai hikmah yang tersendiri. Segala yang berlaku bukanlah sia-sia tetapi ada kebaikannya. Hanya kita sebagai makhlukNya, terlalu sukar untuk menerima sesuatu ketentuan yang di luar kehendak dan hasrat kita.
Lantaran itu, jangan sesekali berserah sepenuhnya kepada takdir kerana kita semua berhak menentukan hala tuju hidup dan masa depan kita. Kita berhak memohon daripadaNya untuk mendapatkan kebahagiaan malah kita berhak untuk memohon daripadaNya agar dijauhkan daripada segala kepayahan.
Di samping berdoa, kita perlu berusaha dan berikhtiar. Di dalam rumahtangga contohnya, kita perlu berusaha untuk mengekalkan kebahagiaan rumahtangga kita. Sekiranya kita terlibat di dalam sesuatu perkara yang boleh memusnahkan kebahagiaan rumahtangga kita bererti kita yang berusaha untuk mewujudkan ketidakharmonian di dalam hubungan perkahwinan kita.
Lantas, kepada semua tak kira suami atau isteri, lelaki atau perempuan, berfikirlah berkali-kali sebelum melakukan sesuatu. Jangan mudah tersirna dek kilauan pasir di tengahari kerana kilauannya hanya sementara dan ianya langsung tidak berharga. Jangan kerana kilauan pasir yang sementara, anda kehilangan permata yang berharga.
****Siaran Januari 2004
Tiada ulasan:
Catat Ulasan