Ketika artikel ini ditulis, saya sedang menghadapi saat-saat kerinduan yang maha hebat. Sebabnya, hari ini suami saya bertolak meninggalkan saya dan anak-anak kerana urusan kerja luar daerah, sebuah negeri di pantai timur. Bukan tak biasa malah seminggu yang lalu, saya dan anak-anak ditinggalkan selama dua hari atas alasan yang sama. Cuma kali ini, kerinduan sukar diterjemahkan.
Mungkin kerana baru sahaja berpisah… mungkin juga kerana kali ini perpisahan agak lama iaitu hampir seminggu tapi masa awal perkahwinan dulu, ketika saya mengandungkan anak sulung kami, saya ditinggalkan hampir sebulan dan tika itu, saban malam saya menangis. Hmmm…entahlah… agaknya kerana itulah muncul pepatah, sayang isteri tinggal-tinggalkan.
Sungguh… apabila berjauhan begini terasa betapa kita menyayangi, mengasihi, menyanjungi dan mengharapkan dia sentiasa di sisi. Ingat lagi lagu Allahyarham Sudirman…pernah dulu kufikirkan tanpa cinta tak mengapa, bila kau pergi kurasakan sunyinya di hati, baru kini kutahu nilai cintamu…
Inilah masalah kebanyakan individu di dalam masyarakat kita hari ini. Hanya tahu menghargai apabila telah tiada. Apabila di depan mata, segalanya serba tak kena, serba menyemakkan mata. Apabila dah tiada, baru sedar betapa insan tersebut amat berharga. Baru tercari-cari ke mana pergi, baru akui kesilapan sendiri.
Bila memperkatakan tentang menghargai pasangan ini, saya teringat kisah seorang klien saya satu ketika dulu. Suaminya mengakui cintakan wanita lain. Bukan sekadar pengakuan cinta tetapi suaminya mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami malah tanggungjawab sebagai bapa kepada empat orang anak turut diketepikan. Langsung tidak dipeduli hal makan minum serta sakit si isteri dan anak-anak. Saban masa diluangkan bersama teman wanitanya. Pulang ke rumah hanya untuk tidur dan bertukar pakaian sahaja.
Hati dah terluka dan sakit sangat namun bila mintak dilepaskan, suami enggan konon masih sayang. Peliknya kalau benar masih sayang, kenapa diperlakukan bagai sampah di dalam longkang? Dicaci dimaki, diherdik saban hari, isteri dibuat bagai orang gaji. Akhirnya, lantaran tidak sanggup lagi menahan sabar, saya membantu beliau memohon perpisahan sementara. Bukan bercerai talak tetapi berpindah keluar tanpa adanya komunikasi dan pertemuan empat mata. Kepada klien saya, saya berpesan… jangan hubungi suami puan walau apa jua yang berlaku tetapi kalau dia hubungi, layan seperti kewajipan seorang isteri yang sepatutnya.
Klien saya mengikut nasihat saya. Izin suami cuba diperolehi. Seperti pucuk dicita ulam mendatang, suami memberi izin dengan suara ceria malah membantu klien saya mengemas segala keperluan. Hati cukup terhiris tapi digagahkan melangkah dengan tabah. Tiada pertanyaan ke mana kan pergi, di mana kan tinggal, tiada juga apa-apa pesanan agar cepat kembali. Sungguh sadis!!!
Dua bulan suaminya mendiamkan diri, langsung tidak menghubungi klien saya itu. Syukur, anak-anak yang asalnya rapat dengan ayah mereka bagai mengetahui kemelut yang melanda, tiada pertanyaan ke mana bapa mereka. Hidup seperti biasa… bahagia… ceria. Hati tambah terluka namun saya hanya minta klien saya berdoa… andai jodoh antara dia dan suaminya masih baik untuk dirinya dan anak-anak, mohon Allah mudahkan dan selesaikan masalah yang dihadapi… andai sebaliknya, mudahkanlah untuk jalan penyelesaian yang sewajarnya.
Hampir tiga bulan menyepi, suatu hari suami klien saya menghubungi. Katanya nak berjumpa dengan anak-anak. Saya nasihatkan agar klien saya bersetuju tetapi berjumpa di mana-mana tempat dan bukan di rumah tempat klien saya tinggal masa itu. Suaminya bersetuju. Pertemuan pertama, klien saya dipuji nampak makin cantik dan berseri. Klien saya gembira tetapi tidak berani mengharapkan sesuatu yang belum pasti.
Bermula sekali menghubungi, dah jadi acap kali. Pertemuan demi pertemuan namun klien saya masih jual mahal. Akhirnya hampir 5 bulan berpisah, suami klien saya itu merayu agar klien saya kembali ke rumah. Katanya dia tak betah tinggal sendiri, segalanya bagai tak kena, tiada lagi seri. Dia akui betapa dia amat memerlukan klien saya dan dia sedar betapa klien saya amat bermakna buatnya.
Klien saya mengucap syukur… Alhamdulillah, doanya telah dimakbulkan. Kini, selepas kembali bersama hampir dua tahun, suaminya lebih menghargai dirinya.
Kepada para isteri dan suami, hargailah pasangan anda selagi ada. Jangan pandang keburukan atau ketidak sempurnaannya sahaja kerana anda juga banyak kekurangannya. Syukurlah andai kita masih sempat merasai nilai kasih sayangnya andai kepergiannya hanya sementara. Bagaimana jika kepergiannya adalah pemergian abadi… tepuk hati tanya diri.
Suamiku… aku doakan kau selamat pergi dan selamat kembali ke pangkuanku dan anak-anak…. Rindunya hati ini!!!!
****Siaran Mac 2005
Tiada ulasan:
Catat Ulasan