Ini bukan tajuk lagu atau sebuah filem cereka tetapi inilah persoalan yang seorang klien kemukakan kepada saya dalam satu sesi temujanji baru-baru ini.
Menurut klien saya itu, dia mengenali suaminya hampir 18 tahun, 3 tahun sebelum bersama dan 15 tahun selepas mendirikan rumahtangga. Sepanjang tempoh tersebut, dia mengenali suaminya sebagai seorang yang romantik, penyayang dan paling penting, ikhlas dan jujur.
Namun sejak tempoh kurang 6 bulan kebelakangan ini, sikap suaminya berubah. Sebelum ini tidak pernah menengking, sekarang ini herdikan dan caci maki menjadi menu sehari-hari. Bukan itu sahaja malahan segala yang dilakukan oleh klien saya itu, serba tidak kena di mata suaminya.
Apabila disiasat, terbukti suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain. Memang pedih dan perit tapi lebih terluka apabila si suami yang sebelum ini lurus bendul telah berubah menjadi penipu yang maha hebat. Lantaran itulah, saya ditanyakan kenapa suaminya boleh berubah menjadi penipu?
Hmmm… memang susah untuk menjawab soalan ini. Yang pasti adalah tiada lagi keikhlasan di dalam diri. Ya… saya akui, mungkin ada yang kata, kalau tak menipu tentulah terbongkar kisah sebenar sedangkan suami ingin merahsiakan semua itu. Mungkin juga kerana suami tidak ingin hati si isteri terluka lantas bertindak menipu untuk menyembunyikan perkara sebenar… seperti kata Seniman Agong, bohong sunat.
Secara faktanya, mana ada bohong sunat. Pembohongan, pendustaan dan penipuan adalah satu pengkhianatan. Satu perbuatan yang sewajarnya tidak dilakukan kepada insan yang kita sayangi malahan mana-mana ugama pun tidak merestui perbuatan tipu dan dusta ini. Di dalam Islam pula, mereka yang terbukti menipu atau berdusta di dalam percakapannya dikategorikan sebagai munafik. Betapa beratnya isu penipuan dan pendustaan ini.
Saya yakin, bukan klien saya sahaja malah ramai mereka di luar sana yang pernah ditipu dan didustai oleh pasangan masing-masing. Kononnya ‘meeting’ tapi ‘dating’… ayat biasa tu kan.
Sebenarnya, amalan menipu dan mendustai pasangan berlaku disebabkan beberapa keadaan. Ada yang menipu untuk menambat hati pasangan. Ada yang menipu untuk meningkatkan kualiti diri di mata pasangan. Ada yang menipu pasangan sedia ada demi mengelakkan hubungan dengan pasangan baru diketahui. Ada juga yang menipu untuk menjaga hati pasangan. Berbagai situasi dan berbagai keadaan.
Namun, selalunya penipuan demi menjaga hati pasangan sebagai contohnya suami mengakui masakan isterinya sedap walau sedikit masin demi menjaga hati isteri yang penat memasak, amat jarang dilakukan dan penipuan sebegini, jika diketahui oleh pasangan, tidak akan menikam jantung hati.
Berbanding penipuan kategori berat seperti mengakui dirinya seorang hartawan sedangkan nak isi perut pun berhutang ataupun memberitahu isteri mempunyai mesyuarat penting rupa-rupanya bercengkerama dengan wanita lain.
Sekiranya rahsia penipuan sebegini terbongkar maka sudah pasti pasangan tidak akan dapat menerima kenyataan tersebut. Malahan, terlalu sukar untuk kembali mempercayai setiap kata yang diucapkan walaupun hakikatnya kata-kata itu adalah benar.
Ya…manusia memang berubah…. Yang Esa pun mengampunkan hambaNya namun realiti hidup kita manusia biasa, tak mungkin jatuh ke dalam satu lubang yang sama.
Lantas, walau dalam apa jua keadaan, jangan biasakan diri mengucapkan kata dusta kerana sukar mengembalikan kepercayaan yang telah hilang entah ke mana. Seperti maksud hadis: Berkata benarlah walaupun pahit…
Jika mempunyai hubungan dengan orang lain, katakan saja berterus terang. Ada hikmahnya kepada pasangan sedia ada. Boleh memeriksa kelemahan diri dan berusaha meningkatkan ketrampilan diri memenuhi kehendak pasangan agar orang ketiga boleh dilenyapkan.
Penipuan untuk menjaga hati juga sewajarnya tidak diamalkan kerana ianya akan mendatangkan masalah belakang hari. Seperti contoh pujian dusta tentang masakan isteri tadi. Katakan saja… masakan ni dah sedap dah… cuma kalau kurang garam sikit, lagi sedap…isteri yang mendengar akan berbangga dan walau diberikan sedikit komen, hati tetap kembang gembira.
****Siaran Februari 2005
Tiada ulasan:
Catat Ulasan