11 Jun 2008

Biarkan kisah lama berlalu

Saya menyertai satu kumpulan emel kekeluargaan yang aktif dengan berbagai topik dan persoalan yang menarik. Walaupun saya jarang bersuara di dalam kumpulan emel tersebut tetapi saya sentiasa mengikuti perbincangannya.

Baru-baru ini terdapat satu emel daripada seorang isteri yang menceritakan rasa duka dan pilunya kerana suaminya merahsiakan satu kisah lama. Kisah cinta lama suaminya yang tidak kesampaian dan ditakdirkan suaminya bertemu semula dengan bekas kekasihnya itu. Walau sekadar terserempak, pengirim emel berasa amat marah kerana suaminya merahsiakan semua itu daripadanya.

Memang banyak maklum balas yang diterima daripada ahli kumpulan yang lain dan saya membawa kisah ini ke ruangan ini untuk renungan bersama.

Sebenarnya, sesebuah perkahwinan itu adalah satu alam baru malah satu hidup baru bagi setiap individu dan pasangannya. Apabila telah sah diijabkabulkan sebagai sepasang suami isteri, setiap detik yang dilalui adalah milik bersama dan segala yang bakal berlaku juga semestinyalah ditempuhi bersama. Semasa ini sewajarnya tiada rahsia tersembunyi antara keduanya.

Segala yang telah berlaku sebelum perkahwinan pula adalah satu kisah lama yang sepatutnya dibiarkan berlalu tanpa ada ungkitan atau ulangan. Seandainya prinsip ini dipatuhi maka pastilah sesebuah perkahwinan itu akan menepati matlamat dan impian individu yang menaunginya.

Apa yang ingin saya jelaskan di sini ialah tidak wajar samada kita sebagai isteri atau pun suami membangkitkan semula kisah lama pasangan kita. Bukan sekadar ianya menyemarakkan semula rasa cinta atau suka malah mungkin menimbulkan kebencian dan kepedihan bukan sahaja di hati kita tetapi di jiwa pasangan kita. Benci dan marah dengan si dia dan mungkin juga kepada kita yang sengaja mencari pasal dengannya.

Kenapa saya katakan sengaja mencari pasal? Ya.. sewajarnya apabila kita tahu kisah silam suami atau isteri, diamkan sahaja dan jadikan ianya teladan atau sempadan…itu sekiranya kita ketahui bukan daripada pasangan kita. Sebaliknya jika kisah tersebut terbongkar tanpa sedar… sama juga, jangan cepat melatah sebaliknya jadikan ianya sebagai satu bahan untuk lebih mengenali siapa sebenarnya pasangan kita?

Kebiasaannya kisah lama yang sering menjeruk rasa pasangan ialah apabila mengetahui suami atau isterinya pernah berhubungan dengan orang lain tetapi tidak kesampaian. Jika mengetahui keadaan sedemikian, bersyukurlah kerana kita berjaya memilikinya dan bersyukur juga dia sudi memiliki kita. Jika tidak, mustahil ikatan janji hidup bersama dimeterai dengan kita.

Selain kisah cinta, ada juga antara kita yang pasangannya mempunyai kisah silam berkaitan cara hidup yang melanggar nila-nilai murni masyarakat seperti bekas penagih dadah, bekas penjenayah dan lain-lain. Apabila kisah lama ini kita ketahui, jangan kecewa atau berputus asa lantaran terasa kita tersalah pilih. Sebaliknya jadikan diri kita penguat semangatnya dan jika perlu, berusahalah untuk mempertingkatkan kualiti diri yang ada padanya.

Paling penting, jangan sekali-kali menjadikan kisah silam tersebut sebagai senjata untuk menikamnya ataupun mempertahankan diri kita. Jika terlepas walau sepatah kata, natijahnya amat besar dan boleh meracun dirinya dan diri kita.

Seperti kata lagu P.Ramlee di dalam filem Tiga Abdul… buang yang keruh, ambil yang jernih, baru teguh peribadi…!!!!

****Siaran Februari 2005

Tiada ulasan: