Saya terfikir untuk membicarakan topik ini kerana sejak kebelakangan ini, saya sering menerima email daripada pembaca wanita yang meminta pandangan tentang layanan suami kepada mereka. Ada antara email tersebut yang menyatakan bahawa suami sering meluahkan kepada mereka atau lebih tepat lagi, memanggil mereka dengan perkataan bodoh, bengap, otak singkat dan berbagai lagi.
Saya menarik nafas panjang… kenapalah isteri yang sepatutnya adalah teman hidup dan rakan kongsi untuk segala hal diperlakukan sedemikian?
Islam menetapkan, sebagai isteri, seorang wanita berhak mendapat nafkah zahir, nafkah batin dan layanan yang baik daripada suaminya. Nafkah zahir adalah meliputi segala keperluan makan minum, tempat tinggal, pakaian dan pengetahuan mengenai Islam. Malah, sekiranya isteri bekerja, isteri berhak untuk tidak menggunakan langsung pendapatannya bagi menampung segala keperluannya kerana menyerahkan seratus peratus kepada suami untuk membiayai segalanya.
Namun, sebagai suami isteri, sikap toleransi dan tolong menolong adalah jalan terbaik untuk mengukuhkan kasih sayang di samping sama-sama berusaha membina empayar kebahagiaan perkahwinan dan rumahtangga. Inilah yang dilakukan oleh hampir kebanyakan para isteri sekarang ini malah ada tikanya, duit suami duit suami dan duit isteri duit suami kerana pendapatan suami gagal menampung keperluan maka perlu dibantu oleh isteri.
Bertindak sedemikian bukanlah satu masalah atau perkara yang berat bagi seorang isteri SEKIRANYA suami pandai menghargai tetapi sekiranya suami gagal melayani isteri dengan baik, bagaimana pula?
Maksud layanan yang baik bukan sekadar tidak memukul atau menampar tetapi layanan yang baik seperti yang dikehendaki di dalam Islam malah undang-undang perkahwinan agama lain juga ialah suami perlu menjaga hati dan perasaan isteri agar tidak dilukai dan disakiti. Isteri berhak dilayan dengan penuh kemesraan, kelembutan dan dengan penuh kasih sayang. Suami juga perlu berusaha memupuk kasih sayang isteri seperti di dalam kes perkahwinan paksa.
Saya teringat ulasan seorang hakim ketika saya mengendalikan kes fasakh seorang klien… menjadi tanggungjawab suami untuk memupuk kasih sayang isteri yang dikahwininya secara paksaan oleh ibu bapa si gadis. Sekiranya memujuk kasih isteri adalah kewajipan suami apatah lagi memupuk dan menyuburkan kasih yang sedia ada.
Layanan yang baik juga bermakna isteri perlu diperlakukan seperti seorang manusia merdeka, bukannya hamba yang menurut segala arahan tuannya yang membabi buta. Seorang isteri perlu dipanggil dengan ucapan yang menunjukkan kasih sayang seperti nama manja isteri ataupun apa jua panggilan yang menggambarkan betapa suami menyintai dan menghargai isteri.
Seorang isteri tidak berhak menerima kata-kata seperti bodoh, otak singkat atau apa juga panggilan yang menyakitkan hati. Fikirkan, sekiranya kata-kata tersebut dikembalikan kepada suami, apa pulak yang suami akan rasa? Bukan sahaja isteri atau suami malahan tidak ada seorang pun yang bernama manusia yang waras di dunia ini, suka dipanggil sebegitu.
Sebenarnya, panggilan di dalam sesebuah perkahwinan juga merupakan faktor penyumbang ke arah kebahagiaan atau sebaliknya. Seperti artikel saya yang terdahulu, kata-kata itu adalah sebagai satu doa. Sekiranya kita memanggil isteri atau suami dengan panggilan yang elok maka baiklah jadinya. Begitu juga sekiranya kita menggunakan panggilan yang tak elok maka buruklah jadinya.
Layanan yang baik juga bererti isteri berhak mengetahui ke mana perginya suami sekiranya di luar waktu kerja. Bukan memohon izin isteri tetapi sebagai makluman dan pengetahuan. Bayangkan sekiranya seorang isteri tidak tahu ke mana suaminya pergi. Tiba-tiba, semasa ketiadaan suami di rumah, isteri menerima berita penting yang perlu disampaikan segera kepada suami ataupun seseorang mencari suami, bagaimana? Tentu terpalit muka apabila terpaksa mengatakan tak tahu suami ke mana.
Saya akui, sememangnya kita mempunyai sistem telekomunikasi canggih dan terkini tetapi bukankah lebih berbahasa dan menyenangkan hati isteri apabila mengetahui ke mana suaminya pergi. Takkan gugur keegoan suami hanya dengan memberitahu isteri ke mana anda pergi.
Yang peliknya, semasa bercinta, segalanya ingin diceritakan hatta makan apa pun, ingin dicakapkan kepada teman wanita. Kenapa bila dah dimiliki, sering saja hatinya kau sakiti dan kau lukai.
Insaflah wahai suami… isteri bukannya tebu yang boleh kau campakkan setelah kau hisap manisnya. Isteri adalah tiara yang memayungi hidupmu dengan kebahagiaan dan kasih sayang, hargailah!!!
****Siaran Januari 2005
Tiada ulasan:
Catat Ulasan