Jangan cepat melatah membaca tajuk artikel saya kali ini. Saya tau, sebelum ini hampir kebanyakan artikel saya seperti menjelaskan bahawa saya ini pejuang feminisme ortodoks. Namun, saya tidak dapat lari daripada hakikat bahawa poligami itu ada dan dibenarkan di dalam Islam. Malahan, saya yakin, semua wanita mengetahui hakikat ini walaupun tidak dapat menerima kebenaran tersebut.
Saya berani mengatakan poligami itu indah kerana Allah membenarkan poligami dan kita tahu segala yang Allah benarkan dan jadikan, mempunyai hikmah yang tersendiri.
Kepada kaum lelaki pula, jangan mudah mengagah gembira kerana hakikatnya poligami itu adalah satu pilihan kepada mereka yang benar-benar mampu. Di dalam al-Quran menjelaskan kebenaran kepada kaum lelaki untuk mengahwini wanita seramai dua orang atau tiga orang atau empat orang tetapi jika tidak boleh berlaku adil, maka memadailah dengan satu.
Definisi keadilan di dalam poligami dan istilah mampu bagi seorang suami inilah yang menjadi titik tolak kepada sesebuah kerukunan rumahtangga bagi para isteri yang dipoligamikan. Seperti tajuk artikel saya kali ini, poligami itu indah sekiranya para lelaki yang mengamalkan poligami ini benar-benar menepati kehendak dan ketetapan Islam serta mematuhi etika para suami yang berpoligami.
Teringat satu kisah yang diceritakan oleh sahabat saya mengenai ibu saudaranya. Menurut sahabat saya itu, ibu saudaranya berkahwin dengan suami orang tetapi hubungan ibu saudaranya dengan madunya iaitu isteri pertama, amat baik malahan seperti kawan baik. Takjub betul saya dengan ceritanya, memang satu dalam seribu rasanya.
Rahsianya? Menurut sahabat saya, bapa saudaranya itu memang bersikap adil sama ada dari segi giliran hatta perbelanjaan. Sekiranya menghadiri mana-mana majlis ataupun keraian, kedua-dua isterinya akan dibawa bersama. Yang paling menarik, bapa saudaranya akan duduk seorang diri di tempat duduk belakang dan kedua-dua isterinya akan duduk di bahagian depan dan salah seorang isteri akan bergilir-gilir memandu kereta.
Apabila tiba hari perayaan pula, kedua-dua isteri akan pulang ke rumah mertua bererti beraya di rumah keluarga suami dan rumah keluarga isteri akan mengikut giliran bagi memenuhi raya kedua. Andailah semua lelaki yang berpoligami mengamalkan sikap seperti bapa saudara sahabat saya itu, nescaya pendirian kaum wanita mengenai poligami akan berubah.
Malangnya, bila disebut poligami, rata-rata yang kita dengar adalah penderitaan dan kemusnahan kebahagiaan sedia ada. Malahan, biasanya kita sangka isteri pertama yang akan menderita kerana kasihnya dirampas takhta tetapi jangan silap, banyak juga kes isteri kedua menderita. Saya teringat satu kes yang diajukan kepada saya mengenai derita isteri kedua walaupun hakikat sebenarnya isteri kedua ini bukan perampas…gelaran biasa diberikan kepada isteri kedua, ketiga atau keempat…kerana isteri kedua ini adalah kekasih pertama si suami.
Namun, yang menjadikan wanita ini isteri kedua kerana si suami terpaksa mengikut kehendak keluarga, mengahwini isteri pertama pilihan orang tua tetapi masih tidak dapat melupakan kekasih pertama. Atas rasa cinta dan kasih, wanita ini rela menjadi isteri kedua namun dipersiakan, segala perbelanjaan tanggung sendiri seperti tidak bersuami hatta berpeluang bersama suami sekali sahaja di dalam tempoh sebulan dan sekali itu pun, dalam keadaan curi-curi agar tidak sampai ke pengetahuan isteri yang pertama.
Inilah salah satu contoh ketidakadilan dan ketidakmampuan suami sebenarnya. Kemampuan seorang lelaki untuk berpoligami bukanlah bererti mampu dari segi kemahuan seksual sahaja malahan mampu untuk menjadi ketua keluarga kepada kedua-dua keluarga…sekiranya beristeri dua…dan bukannya menurut kata, tunduk seperti hamba kepada isteri pertama.
Kemampuan juga dikira berdasarkan faktor perbelanjaan dan harta. Di dalam undang-undang kekeluargaan Islam, ada satu peruntukan yang meletakkan syarat bahawa lelaki hanya dibenarkan untuk berpoligami sekiranya perkahwinan kedua (sekiranya untuk isteri kedua) tidak akan memudharatkan perkahwinan sedia ada (dengan isteri pertama). Kemudharatan ini adalah dikira merangkumi kemudharatan harta benda dan kesenangan hidup serta kewarasan dan ketenangan minda si isteri pertama.
Namun, bila membincangkan tentang kewarasan dan ketenangan, kita tidak dapat lari daripada kehendak Islam. Satu kes yang saya terima baru-baru ini, si isteri tidak dapat menerima hakikat suami menduakannya tetapi saya nasihatkan agar beliau menerima takdir tersebut. Kenapa? Kerana beliau sendiri jelaskan tak ada apa-apa kekurangan pada sikap suami walaupun setelah berpoligami dan si suami pula mengahwini seorang janda beranak lima kerana tujuan perkahwinan keduanya adalah kerana hajat untuk menikmati keriuhan suara anak-anak.
Kaum wanita semua, memang sakit bila terpaksa berkongsi kasih tetapi sekiranya pengorbanan kita membahagiakan suami yang kita sayangi malahan kita tetap di hatinya..relakanlah...kerana kasih suami kepada kita hanya pinjaman. InsyaAllah, ganjaran besar menanti kita di akhirat sana.
****Siaran Januari 2005
1 ulasan:
شكرا جزك الله خيراً كثيراً
Catat Ulasan